Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Bomba Kelantan Siap Siaga Bantu SAR Enam Pendaki Hilang Di Lojing
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berada dalam mod siap siaga bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam pendaki termasuk dua kanak-kanak berusia sembilan dan 13 tahun yang masih belum keluar dari kawasan Gunung Trans Gerah, Lojing, Gua Musang.
Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata empat anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat (STORM), empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang serta enam malim gunung kini dalam keadaan siap siaga.
“Mereka hanya akan digerakkan sekiranya terdapat keperluan daripada pihak Bomba Perak yang mengetuai operasi SAR,” katanya kepada Bernama hari ini.
Enam pendaki berkenaan ialah Shafiee Sidek, 49, Hazman Mamat, 43, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, Siti Zulaiha Norizan, 39, Diya Raisha Wan Ahmad Aslam, 13, dan Ahmad Raef Wan Ahmad Aslam, sembilan.
Bagaimanapun, seorang lagi individu yang namanya terdapat dalam permit pendakian dilaporkan tidak hadir menyertai aktiviti berkenaan.
Farhan Sufyan berkata operasi ketika ini masih difokuskan di kawasan Perak selepas kumpulan berkenaan dipercayai telah memasuki negeri itu dan dilaporkan pernah berselisih dengan pasukan lain pada 1 Sept lepas.
Beliau berkata sekiranya kumpulan berkenaan berpatah balik dan memasuki semula laluan dari Kelantan, pasukan yang disiagakan akan digerakkan bagi membantu operasi SAR.
“Berdasarkan maklumat daripada pendaki, kebiasaannya untuk merentasi ketiga-tiga gunung itu akan mengambil masa kira-kira tiga hari. Kita masih belum dapat memastikan sama ada mereka tersesat atau ada yang mengalami kecederaan,” katanya.
Beliau berkata perjalanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang ke kaki Gunung Trans Gerah pula mengambil masa kira-kira empat jam 30 minit, melibatkan sejam perjalanan melalui jalan berturap dan tiga jam 30 minit melalui laluan off-road.