afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Ilham Centre ramal BN-PN menang PRN N Sembilan
Aminuddin Harun daripada PKR, Loke Siew Fook daripada DAP, Mohamad Hasan daripada Umno serta Jalaluddin Alias adalah antara tokoh terkenal bertanding PRN Negeri Sembilan.
Keputusan itu akan membolehkan dua gabungan berkenaan memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan negeri baharu, walaupun masih belum mencapai majoriti dua pertiga, 24 kerusi.
Dalam pada itu, Ilham Centre unjur Pakatan Harapan (PH) sekadar menang sembilan kerusi, manakala lima kerusi lagi disifatkan terlalu sengit untuk diramal, termasuk kerusi Chennah dan Linggi yang menyaksikan persaingan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Menteri Besar Aminuddin Harun.
Tiga lagi kerusi iaitu Nilai, Repah, dan Temiang, yang semuanya disandang DAP, sejak 2008. Semua lima kerusi itu ditandingi BN.
“Kerusi-kerusi ini memperlihatkan persaingan yang sangat dinamik dari segi demografi, sentimen tempatan serta pertembungan personaliti calon.
“Sekiranya, BN berjaya menawan beberapa kerusi ini, BN-PN berupaya melepasi majoriti dua pertiga majoriti dalam DUN,” katanya dalam kenyataan.
Kombinasi BN-PN satukan undi Melayu-Islam
Ilham Centre berkata, persefahaman BN-PN kelihatan berjaya mengukuhkan sokongan masyarakat Melayu-Islam, dengan jangkaan gelombang sokongan yang ‘lebih tersusun dan efisien’.
BN dan PN masing-masing dipimpin Umno dan PAS, dua parti Melayu-Islam terbesar.
Badan pemikir itu menjangkakan BN-PN akan menerima gelombang sokongan Melayu lebih besar, berbanding dukungan diperoleh BN pada PRN Johor pada 11 Julai, sebahagian besarnya berpunca daripada penggunaan politik identiti sepanjang berkempen.
“Gelombang ini bukan sekadar lahir daripada kerjasama kepimpinan parti, sebaliknya diperkukuhkan oleh naratif bersama yang dibawa sepanjang kempen.
“Isu penyatuan undi Melayu, kestabilan politik, dan keperluan menghalang kemenangan PH menjadi tema yang diulang secara konsisten sehingga berjaya mempengaruhi sebahagian besar pengundi Melayu, termasuk pengundi atas pagar.
“Kesan langsung daripada perkembangan ini ialah BN berjaya mengukuhkan penguasaan di hampir semua kubu tradisinya, manakala PN memperoleh manfaat berganda di kawasan yang ditandingi mereka melalui limpahan undi penyokong BN.”
Ilham Centre berkata, pemindahan undi daripada penyokong PN kepada BN dilihat sangat berkesan, iaitu kira-kira 92%, manakala pemindahan undi daripada penyokong BN kepada PN tidak begitu kukuh, 75%.
Ilham Centre berkata, perkara itu menunjukkan sebahagian penyokong tradisi BN masih dalam proses menyesuaikan diri dengan PN, terutamanya di kawasan yang sebelum ini menyaksikan persaingan sengit antara dua gabungan berkenaan.
“Namun demikian, jurang perpindahan undi tersebut tidak menjejaskan objektif utama kerjasama berkenaan. Keadaan ini turut membentuk persepsi bahawa keutamaan mempertahankan dominasi politik Melayu-Islam mengatasi pertimbangan sentimen kepartian yang wujud sebelum ini.”
Ilham Centre berkata, PH diramal meraih 18% sokongan pengundi Melayu, sekali gus meletakkannya dalam defisit yang ketara berbanding BN-PN.
“PH terus berdepan kesukaran untuk memecahkan blok sokongan Melayu yang semakin tersusun dan bersatu di bawah naratif politik identiti.”
