kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
F1, Makmal Inovasi Cetus Minat Generasi Baharu Terhadap STEM
Litar Antarabangsa Sepang yang akan menjadi lokasi penganjuran Grand Prix (GP) Bahrain pada Oktober ini.
Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain, bukan sekadar membawa perlumbaan bertaraf dunia itu kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), malah membuka peluang memperlihatkan bagaimana sukan permotoran menjadi medan aplikasi sebenar sains dan teknologi kepada generasi muda.
Walaupun penganjuran itu bersifat sekali sahaja susulan keadaan luar jangka yang menjejaskan kalendar perlumbaan musim ini, pakar berpandangan peluang berkenaan wajar dimanfaatkan untuk mendekatkan masyarakat, khususnya golongan muda, dengan dunia teknologi dan inovasi yang menjadi tunjang pembangunan F1.
Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Mas Sahidayana Mokhtar berkata F1 bukan sekadar sukan permotoran, sebaliknya sebuah ekosistem teknologi yang memperlihatkan bagaimana pengetahuan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diterjemahkan kepada penyelesaian dunia sebenar.
Di sebalik kelajuan melebihi 300 kilometer sejam, setiap jentera F1 dibangunkan hasil gabungan pelbagai disiplin sains dan teknologi, daripada kejuruteraan mekanikal serta aerodinamik hinggalah analisis data dan kecerdasan buatan (AI).
"F1 memanifestasikan elemen STEM secara langsung menerusi kejuruteraan mekanikal jentera, fizik struktur litar, kimia bahan api, matematik kelajuan serta biologi pemandu. Aspek ini perlu diketengahkan agar generasi muda melihat F1 sebagai medan aplikasi STEM yang nyata," katanya kepada Bernama.
Mas Sahidayana berkata generasi muda perlu didedahkan bahawa F1 bukan sekadar perlumbaan kereta semata-mata, sebaliknya sebuah makmal sains bergerak yang memacu teknologi masa hadapan,
Menurutnya, pendedahan kepada F1 juga dapat membantu pelajar menghubungkan pembelajaran STEM di bilik darjah dengan aplikasi sebenar dalam industri, sekali gus mengubah persepsi bahawa bidang itu hanya bersifat teori.
Beliau berkata industri sukan permotoran turut menawarkan pelbagai peluang kerjaya selain menjadi pelumba termasuk dalam bidang kejuruteraan mekanikal, sains bahan, pengaturcaraan perisian, analisis data, strategi perlumbaan, fisioterapi sukan serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.