BTC USD 75,446.5 Gold USD 4,261.14
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Menjangkaui STEM: Institut pengajian tinggi SG beri lebih penekanan terhadap seni, sains sosial

adi19

Fun Poster
Messages
766
Joined
Oct 30, 2013
Messages
766
Reaction score
3
Points
25

Menjangkaui STEM: Institut pengajian tinggi SG beri lebih penekanan terhadap seni, sains sosial​

screenshot_2026-09-07_142409.jpg

Menurut PSB Academy, permintaan terhadap pendidikan STEAM meningkat 47 peratus dalam tempoh dua tahun lalu. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Membolehkan sebuah robot untuk melakukan beberapa pergerakan sebelum ini memerlukan masa untuk menulis kod.

Kini, dengan kecerdasan buatan (AI) mengendalikan sebahagian besar daripada kerja teknikal, para pelajar dapat melakukannya dalam masa kurang seminit.

IKLAN

Perkembangan tersebut memberi mereka lebih banyak masa untuk memikirkan apa yang mahu dilakukan dengan teknologi itu dan mencari penyelesaian bagi pelbagai senario.

Hal tersebut merupakan satu contoh kecil bagi perubahan lebih luas yang sedang berlaku di institut-institut pengajian tinggi di Singapura: daripada STEM, iaitu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, kepada STEAM, yang turut merangkumi bidang seni.

PSB Academy menyatakan permintaan bagi pendidikan STEAM meningkat 47 peratus dalam tempoh dua tahun lalu, dengan jumlah pelajar bertambah daripada sekitar 3,400 pada 2023 kepada 5,000 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Derrick Chang berkata permintaan tersebut didorong para pelajar yang mahu memperluas kemahiran melangkaui bidang utama pengajian mereka.

Sebagai contoh, beliau berkata pelajar dalam bidang teknikal mahu mengembangkan kemahiran seperti pemikiran reka bentuk dan komunikasi, manakala pelajar bukan teknikal pula memerlukan kemahiran dalam menggunakan AI.

IKLAN

“Zaman yang membolehkan seseorang dalam bidang teknikal untuk hanya menumpukan perhatian kepada kemahiran teknikal untuk tempoh yang lama sudah berlalu,” kata beliau.

“Sebagai seorang jurutera pada hari ini dan pada masa depan, anda perlu mempunyai kebolehan untuk mengetengahkan pemikiran dan inovasi anda.”

Sambil menyatakan bahawa laluan kerjaya kini bukan lagi tertumpu kepada satu bidang sahaja, Encik Chang berkata keupayaan untuk menguasai pelbagai disiplin akan terus menjadi penting dalam menyesuaikan diri dengan ekonomi baharu.

Institut pendidikan swasta itu juga sedang membangunkan Hab STEAM Bersepadu di Tai Seng, yang akan menyediakan ruang pembelajaran rentas disiplin yang lebih besar serta kemudahan berteknologi tinggi. Hab tersebut dijangka siap pada 2027.

MEMAHAMI MASALAH DENGAN TEPAT

IKLAN

Di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), tumpuan juga semakin diberikan kepada usaha menggabungkan teknologi dengan bidang kemanusiaan dan sains sosial.

Universiti itu menyatakan kurikulumnya yang diperbaharui direka untuk menarik pelajar yang mempunyai minat mendalam dalam bidang-bidang seperti ekonomi, perniagaan, psikologi dan falsafah, di samping mereka yang mahir dalam matematik dan sains.

Penolong Ketua Program Dr Grace Dixon berkata bidang-bidang tersebut tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai “kemahiran insaniah” yang ditambah kepada pengajian teknologi.

Sebaliknya, ia membantu para pelajar memahami konteks dan masalah yang ingin ditangani sebelum menggunakan keupayaan reka bentuk dan AI untuk mencari penyelesaian.

“Ia bukan sekadar bertanya, ‘bolehkah kita melakukannya’, tetapi ‘patutkah kita melakukannya’, untuk siapa dan dalam keadaan bagaimana?”

IKLAN

“Jika kita memahami sesuatu masalah dengan tidak tepat, penyelesaian teknikal yang sangat baik sekalipun mungkin menyelesaikan masalah yang tidak betul,” tambah beliau.

Di universiti tersebut, para pelajar dan alumni juga akan menerima pembiayaan dan sokongan menerusi sebuah wadah pelaburan bernilai S$35 juta untuk melaksanakan projek keusahawanan.

Di kampus Universiti James Cook di Singapura, para pelajar juga digalakkan menangani masalah dunia sebenar.

Kemudahan penetasan ikan siakapnya yang baharu membolehkan para pelajar menjalani latihan dalam keadaan yang mencerminkan industri akuakultur, termasuk mempelajari cara untuk menangani situasi apabila sesuatu yang tidak dirancang berlaku.

“Kami benar-benar mahu memastikan para pelajar memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah, mempunyai kemahiran praktikal dan berdaya tahan,” kata Timbalan Naib Canselor universiti tersebut bagi Singapura, Profesor Carole-Anne Upton.

“Daya tahan agak sukar untuk diajar, dan kami melihat daya tahan serta keupayaan menyesuaikan diri sebagai kemahiran utama bagi tenaga kerja yang sedang berubah.”

‘A’ DALAM STEAM

Universiti-universiti lain pula menerapkan komponen seni dalam pendidikan STEAM secara lebih langsung.

Diilhamkan Festival Seni pada tahun lalu, Universiti Pengurusan Singapura (SMU) sedang merintis kursus koreografi tarian yang meneroka budaya dan identiti Singapura sambil mengembangkan kreativiti serta empati – kemahiran yang dipercayai belum dapat ditiru AI.

Profesor Pengurusan Komunikasi (Amalan) SMU Mark Chong berkata tarian boleh menjadi lebih daripada sekadar kegiatan kokurikulum apabila ia digabungkan dengan penelitian intelektual.

“Dengan menggabungkannya dengan penelitian intelektual dan menjadikannya wadah untuk mengkaji pengaruh budaya yang membentuk identiti Singapura … kita dapat menggalakkan para pelajar supaya tidak sekadar mempelajari teknik tarian semata-mata,” kata beliau.

Menurutnya, ia juga dapat menggalakkan mereka memikirkan persoalan lebih luas berhubung “makna kepelbagaian budaya dan identiti nasional”.

KEMAHIRAN YANG DICARI MAJIKAN DALAM ERA AI

Keperluan untuk menyesuaikan diri bukan sahaja melibatkan para pelajar yang bakal memasuki alam pekerjaan.

Di Kaplan, sekitar enam daripada 10 pelajarnya di Singapura dibentuk golongan karyawan pada peringkat awal atau pertengahan kerjaya.

Sedang AI mengambil alih lebih banyak tugas rutin dalam pelbagai industri, para majikan kini mencari gabungan kemahiran yang berbeza-beza.

Mereka semakin mahukan para individu yang mampu mentafsir maklumat yang diberikan AI dan menggunakannya untuk membuat keputusan, kata Pengarah Urusan Kaplan Singapura Alex Chevrolle.

“Mereka mencari individu yang boleh … memikirkan maklumat itu, menganalisisnya, menghasilkan dapatan yang boleh disusuli tindakan, menyampaikan dapatan tersebut, mengetengahkannya dan kemudian bekerjasama dengan rakan sekerja lain dalam perniagaan tersebut untuk melaksanakannya,” kata beliau.

Perubahan serupa juga berlaku di Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS), di mana lebih separuh daripada pelajarnya merupakan golongan dewasa yang bekerja.

Sebuah kampus baharu pada tahun depan akan memberi para pelajar akses kepada peralatan digital yang bertujuan merangsang kreativiti, sambil mengekalkan pembelajaran bersemuka yang dihargai golongan pelajar dewasa.

Institut itu juga beralih daripada pembelajaran yang tertumpu kepada peperiksaan kepada tugasan berdasarkan masalah sebenar dalam dunia perniagaan.

Sementara itu, EHL Hospitality Business School (Sekolah Perniagaan Hospitaliti EHL) mencatat peningkatan hampir 40 peratus dari tahun ke tahun bagi penyertaan golongan karyawan yang bekerja dalam kursus-kursusnya.

Menurut sekolah tersebut, para pelajar dewasa semakin mahukan latihan praktikal yang boleh diterapkan dengan segera di tempat kerja, termasuk dalam bidang kepimpinan, celik AI dan transformasi perniagaan.

Ia turut melihat peningkatan minat terhadap pembelajaran yang menggabungkan teknologi, perniagaan dan keupayaan manusia.

Sedang teknologi menjadi semakin bijak, para pendidik berkata kemahiran manusia seperti kreativiti, pertimbangan dan keupayaan untuk terus belajar menjadi semakin penting.

 
Back
Top
Log in Register