BTC USD 62,082.0 Gold USD 4,328.60
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Belanjawan Selangor 2021

RM2J Teruskan Program RiDE

30.10.2020 - Shah Alam, Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM2 juta. Perkara tersebut diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini. Beliau berkata program itu membantu kira-kira 3,000 anak muda mencari pendapatan atau kerjaya baharu sebagai penunggang dalam perkhidmatan e-panggilan.

Pada 20 September, seramai 3,000 peserta bakal mengikuti kursus e-panggilan dalam tempoh terdekat. RiDE menyasarkan 3,000 belia miskin bandar mendapat subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM200 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/belanjawan-2021-rm2-juta-teruskan-program-ride/
 
RM15J Laksana 30 Projek Pemberdayaan Komuniti

30.10.2020 - Shah Alam, Sebanyak 30 projek pemberdayaan komuniti akan dilaksana Kerajaan Negeri tahun depan dengan peruntukan RM15 juta. Dato’ Menteri Besar berkata RM10 juta diperuntuk untuk skim Ceria, baik pulih kediaman projek perumahan rakyat (RM4.3 juta) dan program pemberdayaan komuniti lain (RM1 juta).

“Kerajaan Negeri tidak menekankan semata-mata pembangunan aspek fizikal, malah pakej rangsangan pembangunan komuniti turut diperkenal. Langkah itu bagi membina masyarakat berdaya saing dan harmoni melalui penyediaan kediaman selesa serta persekitaran kehidupan kondusif,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm15-juta-laksana-30-projek-pemberdayaan-komuniti/
 
Jayakan Agenda Pendigitalan, Rapat Jurang Pendapatan

30.10.2020 - Shah Alam, Kerajaan Negeri memberi tumpuan menjayakan agenda pendigitalan pada tahun depan sebagai usaha meningkatkan pendapatan rakyat. Dato’ Menteri Besar berkata Selangor perlu mempercepat ekosistem pendigitalan untuk merapatkan jurang pendapatan antara rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Banyak agenda digitalisasi kita kemukakan dalam Belanjawan Selangor 2021 untuk menjana pendapatan isi rumah, kita bakal adakan pelbagai program ke arah tersebut. Kita optimumkan digitalisasi serta tingkatkan kemahiran rakyat menggunakan platform digital sebagai jalan keluar kepada kelembapan ekonomi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Sejumlah RM369 juta diperuntuk bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi dalam Belanjawan Selangor 2021. Amirudin berkata usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif. Beliau menjelaskan dasar itu juga memecahkan stigma bahawa pendigitalan tidak membunuh peluang pekerjaan, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/mb-jayakan-agenda-pendigitalan-rapat-jurang-pendapatan/
 
Pinda Syarat Bina Rumah Selangorku, Galak Pemaju Sedia Kediaman

30.10.2020 - Shah Alam, Pemaju dibenar meminda syarat Rumah Selangorku jenis A, B, C dan D kepada jenis E melalui Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik. Dato’ Menteri Besar berkata rumah berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi itu dijual tidak melebihi RM250,000 seunit dengan kelengkapan asas seperti penyaman udara, kabinet dapur dan baju serta pemanas air.

“Insentif ini juga akan menarik minat pemaju untuk mempercepatkan pembinaan Rumah Selangorku seterusnya memperbanyakkan lagi stok rumah tersebut. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor melalui Rumah Selangorku Harapan dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) melalui Rumah Selangorku Idaman diamanahkan untuk menerajui kedua-dua konsep ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Berikut insentif lain diumumkan untuk sektor perumahan:

-RM20 juta bagi Program Skim Smart Sewa menggunakan dana Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera
-Pengenalan Smart Sewa to Ownership (2STAY) untuk membantu golongan B40 dan individu sukar mendapat pembiayaan untuk memiliki rumah pertama
-Program 2STAY ini membabitkan Rumah Selangorku diperoleh daripada unit kontra percuma di bawah Program Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/pinda-syarat-bina-rumah-selangorku-galak-pemaju-sedia-kediaman/
 
Selangor Sedia RM76J Bantu Belia Dapat Kerja

31.10.2020 - Shah Alam, Kerajaan Selangor serius membantu golongan belia mendapatkan pekerjaaan apabila menyediakan RM76 juta menerusi Belanjawan Selangor 2021. EXCO pembangunan generasi muda berkata peruntukan lebih besar kali ini dilihat bertujuan mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan di negeri ini.

“Ia satu usaha yang baik, selain memberi peluang pekerjaan Kerajaan Negeri bercadang menyediakan kemahiran untuk mereka bersesuaian dengan pasaran. Semoga usaha sebegini dapat mengurangkan jumlah pengangguran ketika pandemik Covid-19 seterusnya meningkatkan ekonomi rakyat,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini.

Terdahulu, menerusi Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selangor Kerjaya menyasarkan 10,000 peluang pekerjaan, Inisiatif Selangor Automotif TVET, 1,000 Rakan Digital Selangor akan dilantik untuk membiasakan rakyat kepada aplikasi digital serta Inisiatif Selangor Freelancers.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/selangor-sedia-rm76-juta-bantu-belia-dapat-kerja/
 
4,200 Guru KAFA Carum PERKESO Antara RM378J Dana Majukan Islam

31.10.2020 - Shah Alam, Seramai 4,200 guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) di Selangor bakal menerima caruman majikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai tahun hadapan. Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2021 semalam berkata sebanyak RM1.1 juta disediakan untuk urusan berkenaan.

“Kerajaan Selangor amat cakna dan prihatin dengan perkhidmatan guru Kafa yang menyumbang bakti memberi didikan agama kepada anak Selangor,” katanya.

Beliau berkata sejumlah RM377.77 juta disediakan termasuk mengurus dan membangunkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi memantapkan institusi Islam di negeri ini.

“Pada masa sama, Kerajaan Selangor memperuntukan RM2 juta untuk membiayai 200 pelajar menyertai Program Fast Track Tahfiz bagi memperkasa pendidikan tahfiz serta memberi peluang pelajar menceburi bidang profesional.

“Sebanyak RM2 juta turut diperuntuk bagi menjayakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) sebagai langkah melahirkan golongan tahfiz berdaya saing serta berkemahiran tinggi,” katanya.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/4200-guru-kafa-carum-perkeso-antara-rm378-juta-dana-majukan-islam/
 
Kebuk Sampah Mudahkan Urusan Buang Sisa Pepejal Di Kampung

31.10.2020 - Shah Alam, Pembinaan kebuk sampah di kawasan kampung diyakini dapat menguruskan pembuangan sisa pepejal lebih teratur, kata EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi. Borhan Aman Shah berkata peruntukan RM1 juta menerusi Belanjawan Selangor 2021 dapat menjaga persekitaran kampung sekali gus mewujudkan masyarakat lebih sihat.

“Kebuk sampah ini dijangka akan dibina secara berperingkat mengikut keperluan, oleh itu saya amat berharap supaya kemudahan ini dimanfaatkan penduduk sebaiknya. Pada masa sama, saya menggesa penduduk menjaga kebersihan memandangan industri pelancongan kini lebih tertumpu dalam negeri ekoran pandemik Covid-19, jadi selain bandar persekitaran kampung perlu dijaga,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar mengumumkan pembinaan kebuk sampah di kampung tradisi untuk mengawal pembuangan sisa pepejal yang boleh memudaratkan rakyat dan kawasan sekeliling. Dato’ Seri Amirudin Shari berkata isu longgokan sampah tidak terkawal di kawasan kampung dan pembuangan oleh pihak tidak bertanggungjawab masih menjadi ancaman terhadap kelestarian alam sekitar.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/kebuk-sampah-mudahkan-urusan-buang-sisa-pepejal-di-kampung/
 
Bas Smart Selangor Kekal Percuma, Keistimewaan Buat Rakyat

31.10.2020 - Shah Alam, Rakyat kekal mendapat keistimewaan berikutan perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor diteruskan tahun depan. EXCO pengangkutan berkata usaha yang dimulakan sejak 2015 adalah salah satu cara Kerajaan Negeri menghargai rakyatnya.

“Hanya warga asing dikenakan caj 90 sen sebagai hasil tambahan untuk mengekal dan menambah baik mutu perkhidmatan Bas Smart Selangor,” kata Ng Sze Han mengulas pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini semalam.

Sejumlah RM25 juta diperuntuk bagi meneruskan perkhidmatan tersebut yang dilaksana oleh 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 2021. Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM5 juta pula akan ditampung PBT sebagai perkongsian kos bersama Kerajaan Negeri. Tambahnya, sistem “Tap to Ride” akan dilancar pada Disember sebagai kaedah bayaran tambang melalui kad atau imbasan kod QR sebelum menaiki bas.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/bas-smart-selangor-kekal-percuma-keistimewaan-buat-rakyat/
 
Caruman PERKESO Naikkan Semangat Guru KAFA Terus Bertugas

31.10.2020 - Shah Alam, Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai tahun hadapan dapat meningkatkan semangat guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) untuk mendidik pelajar. Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata komitmen tinggi serta sikap bersungguh ditunjukkan guru akan melahirkan ummah terbaik selaras misi dan visi agensi itu.

“Jais harap guru meningkatkan kemahiran mendidik, terus mencuba menjadi yang baik dan berkesan, berdisiplin, menjaga masa serta bersemangat dalam bekerja,” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor dan Dato’ Menteri Besar atas keprihatinan menjaga kebajikan serta masa depan guru Kafa negeri ini.

“Berita ini merupakan langkah terbaik dan pastinya menggembirakan semua guru Kafa,” katanya.

Semalam ketika membentangkan Belanjawan 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1.1 juta bagi mencarum 4,200 guru Kafa.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/caruman-perkeso-naikkan-semangat-guru-kafa-terus-bertugas/
 
Hijrah Jangka 1,000 Usahawan Dapat Manfaat

01.11.2020 - Shah Alam, Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menjangkakan lebih 1,000 usahawan baharu bakal menerima manfaat menerusi peruntukan pinjaman RM15 juta tahun hadapan. Pemangku ketua pegawai operasinya Normaiza Yahya berkata inisiatif itu memberi peluang kepada usahawan memulakan perniagaan bagi meningkatkan ekonomi golongan terbabit.

“Hijrah Selangor berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas peruntukan yang diumumkan dan (peruntukan ini) membolehkan penyaluran modal dengan mudah, cepat serta tidak membebankan kepada usahawan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata peruntukan tersebut juga diharap dapat membantu usahawan ke arah mendigitalisasi kaedah perniagaan masing-masing terutama ketika negara masih berdepan ancaman Covid-19. Justeru, menurutnya inisiatif e-dapur 2.0 serta e-pembekalan peruncit mikro dan kecil yang akan dilaksanakan tidak lama lagi turut membantu usahawan negeri ini.

“Kita pernah melaksanakan e-dapur 1.0 dan usahawan yang menyertainya amat berpuas hati malah menerima sesuatu (keuntungan) tidak dijangkakan. Sudah pasti dengan pelaksanaan inisiatif baharu ini akan mendorong usahawan bergerak lebih maju,” katanya lagi.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 berkata Kerajaan Negeri di bawah program Hijrah akan menyalurkan peruntukan pinjaman sebanyak RM15 juta bagi membantu peniaga.

Katanya ini kerana dengan kadar bayaran balik pinjaman melebihi 70 peratus, Hijrah berjaya menjana dana pusingan untuk menambahkan lagi jumlah pinjaman dan seterusnya meningkatkan bilangan usahawan baharu. Sehingga kini, Hijrah berjaya menyalurkan pinjaman sebanyak RM517 juta yang berjaya membantu seramai 53,958 usahawan.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/belanjawan-2021-hijrah-jangka-1000-usahawan-dapat-manfaat/
 
Back
Top
Log in Register