BTC USD 61,610.0 Gold USD 4,328.60
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Belanjawan Selangor 2021

RM1J Bina Kebuk Sampah Kampung Tradisi

30.10.2020 - Shah Alam, Sejumlah RM1 juta diperuntuk bagi membina kebuk sampah di kampung tradisi untuk mengawal pembuangan sampah yang boleh memudaratkan rakyat dan alam sekitar. Dato’ Menteri Besar berkata isu longgokan sampah tidak terkawal di kawasan kampung dan pembuangan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab masih menjadi ancaman terhadap kelestarian alam sekitar.

“Masalah longgokan sampah tidak dikawal mendatangkan bau busuk, sampah berterabur apabila diselongkar haiwan liar yang mencari makanan sehingga masalah lebih serius seperti pencemaran sungai. Ini berlaku apabila air sampah dari longgokan sampah memasuki aliran longkang dan memasuki sungai,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Beliau berkata terdapat Loji Rawatan Air (LRA) yang terpaksa ditutup apabila berlaku pencemaran bau ekoran daripada masalah longgokan sampah. Katanya, penutupan LRA menyebabkan rakyat perlu menghadapi gangguan bekalan air.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm1-juta-bina-kebuk-sampah-kampung-tradisi/
 
Kaji Selidik - Pendapatan Penduduk, Peniaga Tterjejas Akibat PKP

30.10.2020 - Shah Alam, Pendapatan bulanan 36 peratus penduduk negeri ini terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 22 peratus peniaga terjejas, henti berniaga (lapan peratus) dan guna kaedah lain berjualan (14 peratus). Beliau berkata sebanyak 22 peratus penduduk didapati membuat kerja sampingan sebagai peniaga, penjaja dan pemandu e-panggilan

“Sebanyak 65 daripada 22 peratus ini melakukan kerja sampingan kerana pendapatan yang tidak mencukupi,” katanya pada pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Kaji selidik itu dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) membabitkan 1,100 respondan. Selain itu, Amirudin berkata sebanyak 72 peratus penduduk pangsapuri dan rumah teres setingkat terutama golongan muda antara 20 hingga 34 tahun tertekan kerana pendapatan terjejas.

“Sebanyak 56 peratus rakyat Selangor merasakan terbeban dengan pembelian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman,” katanya.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/kaji-selidik-pendapatan-penduduk-peniaga-terjejas-akibat-pkp/
 
Penjawat Awam Terima Bantuan Khas Kewangan Setengah Bulan Gaji

30.10.2020 - Shah Alam, Penjawat awam Gred 54 ke bawah menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji yang akan dibayar pada 29 Disember 2020. Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif kali kedua pada tahun ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM16.5 juta. Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini, beliau berkata insentif RM1,000 sebelum ini diberi kepada penjawat awam Gred 54 ke bawah pada 9 Jun lalu.

“Untuk menghargai usaha serta komitmen para penjawat awam negeri yang tidak kenal erti penat lelah bersama-sama memakmurkan negeri, sukacitanya saya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kali kedua untuk tahun ini,” katanya.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/penjawat-awam-terima-bantuan-khas-kewangan-setengah-bulan-gaji/
 
RM26.4J Bangunkan Sektor Pertanian

30.10.2020 - Shah Alam, Kerajaan Selangor memperuntuk RM26.4 juta bagi membangunkan sektor pertanian dengan menggariskan lima teras utama. Dato’ Menteri Besar berkata teras itu meliputi pertanian bernilai tinggi, mesra alam dan lestari, penggunaan teknologi dan internet untuk segalanya, pembangunan modal insan dan agropelancongan.

“Kesemuanya untuk memastikan golongan petani mendapat pulangan pendapatan lumayan selain menggalakkan lebih ramai menceburi sektor pertanian,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian menumpukan pertanian bernilai tinggi yang mampu memberi hasil lumayan di kawasan kecil. Amirudin berkata fokus turut meliputi penggunaan teknologi yang dapat menghasilkan pulangan tinggi untuk kawasan terhad seperti fertigasi, hidroponik, teknik filem nutrien, kilang tanaman, teknologi persekitaran terkawal dan akuaponik.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm26-4-juta-bangunkan-sektor-pertanian/
 
Kursi Menteri Besar Selangor Di Tubuh, Perkasa Pendidikan Tinggi

30.10.2020 - Shah Alam, Sejumlah RM5 juta diperuntuk bagi penubuhan Kursi Profesor yang dinamakan sebagai Kursi Menteri Besar Selangor. Dato’ Menteri Besar berkata usaha bagi memperkasa pengajian tinggi dibuat dengan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar dan Universiti Putra Malaysia.

“Kerajaan Negeri optimis penubuhan kursi ini akan memperkasa pendidikan tinggi Selangor dalam aspek kajian dan penyelidikan ekonomi, kewangan serta keusahawanan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Beliau berkata sebanyak RM8 juta turut diperuntuk kepada Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor, manakala RM1 juta bagi program khas Bitara. Amirudin berkata semua peminjam di bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor turut diberi kemudahan moratorium secara automatik berikutan krisis pandemik Covid-19.

“Moratorium ini diberikan selama enam bulan bermula April yang memanfaatkan 3,991 peminjam dengan jumlah pinjaman RM6 juta,” katanya lagi.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/kursi-menteri-besar-selangor-ditubuh-perkasa-pendidikan-tinggi/
 
RM29.2J Perkasa Pengajian Tinggi

30.10.2020 - Shah Alam, Kerajaan Negeri memperuntuk RM29.2 juta bagi memperkasa institusi pengajian tinggi (IPT) di Selangor mengikut kepakaran masing-masing. Dato’ Menteri Besar berkata pengajian tinggi keutamaan berikutan negeri ini memiliki bilangan institusi paling banyak, lebih 150 buah.

“Selangor turut mempunyai kelebihan tersendiri kerana ada IPT sendiri iaitu Universiti Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Selain itu, katanya, sejumlah RM35 juta diperuntuk secara pinjaman kepada Unisel dan Kuis untuk memastikan pentadbirannya berjalan lancar.

“Dana itu membolehkan kedua-dua IPT merancang semula urusan komersial bagi meningkatkan hasil dan potensi kewangan,” kata Amirudin lagi.

Kerajaan Negeri turut mengumumkan program Bantuan Yuran Asas Universiti, iaitu pelepasan yuran asas kepada pelajar Unisel dan Kuis pada 2021 dengan peruntukan RM4 juta.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm29-2-juta-perkasa-pengajian-tinggi/
 
Khairat Kematian Di Sambung Mulai 2021, Waris Terima RM500

30.10.2020 - Shah Alam, Bantuan khairat kematian warga emas melalui Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang diberhentikan pada Mei 2019 akan disambung semula mulai 2021. Dato’ Menteri Besar berkata sejumlah RM7.5 juta disediakan bagi melayakkan waris berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima bantuan RM500.

“Kerajaan Selangor juga menyediakan dana RM20 juta bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE. Keseluruhannya berjumlah RM27.5 juta,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Amirudin turut mengumumkan peruntukkan RM6 juta bagi menjayakan Program Bank Makanan di 56 Dewan Undangan Negeri sebagai usaha membantu golongan miskin bandar negeri ini.

“Daripada jumlah itu, RM1 juta akan dikhususkan untuk Program Bank Makanan Kanak-kanak, khas untuk kanak-kanak enam tahun ke bawah dari keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Kerajaan juga menyediakan kediaman komuniti emas berkonsepkan penempatan sebumbung antara datuk dan cucu bagi menghilang kesunyian, selain mengubah Hotel De Palma Ampang sebagai kediaman dilengkapi pelbagai kemudahan bagi menjaga dan memantau golongan itu,” katanya.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/khairat-kematian-disambung-mulai-2021-waris-terima-rm500/
 
RM56.5J Di Peruntukkan Untuk Sektor Kesihatan Tahun Hadapan

30.10.2020 - Shah Alam, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM56.5 juta bagi aspek kesihatan dalam Belanjawan Selangor 2021. Jumlah peruntukan itu mencatatkan peningkatan 23 peratus berbanding peruntukan untuk aspek sama dalam belanjawan tahun ini iaitu RM 46 juta. Peruntukan itu adalah usaha kerajaan negeri dalam mendepani cabaran kesihatan global dan domestik yang berterusan, seterusnya melahirkan individu, keluarga dan masyarakat yang progresif.

Jumlah itu merangkumi:

– RM42.5 juta bagi Skim Insurans Peduli Sihat
– RM5 juta bagi aktiviti kawalan denggi
– RM5 juta bagi Bantuan Sihat Selangor
– RM3.25 juta bagi program pemberdayaan orang kelainan upaya (OKU)
– RM1.5 juta bagi aktiviti dan promosi gaya hidup sihat
– RM1 juta untuk Program Insentif Rawatan Tibi
– RM1 juta bagi Program Peduli Sihat Penjawat Awam
– Program kesihatan awam dianjurkan pihak berkuasa tempatan (PBT)

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm56-5-juta-diperuntukkan-untuk-sektor-kesihatan-tahun-hadapan/
 
Selangor Belanja RM76J Wujud 15,000 Peluang Kerja

30.10.2020 - Shah Alam, Sejumlah RM76 juta diperuntuk bagi mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan sebagai usaha mengurangkan kadar pengangguran yang semakin meningkat. Dato’ Menteri Besar berkata jumlah pengangguran di Malaysia meningkat secara mendadak dalam tempoh 30 tahun dengan 745,000 penganggur setakat Julai lalu. Antara inisiatif bakal dilaksana ialah:

1) Selangor Kerjaya yang menyasarkan 10,000 peluang pekerjaan bersesuaian dengan Industri 4.0 melalui kaedah kemahiran baharu, meningkat tahap kemahiran (upskilling) dan latihan semula kemahiran (reskilling)

2) Inisiatif Selangor Automotif TVET mencadangkan padanan kerja antara 3,000 graduan teknologi automotif dan bengkel automotif sekitar Selangor

3) 1,000 orang Rakan Digital Selangor akan dilantik untuk membiasakan rakyat kepada aplikasi digital termasuk inisiatif Kerajaan Negeri yang akan memudahkan dan meningkatkan kualiti hidup

4) Inisiatif Selangor Freelancers bertujuan membina kesedaran dan insentif untuk rakyat menggunakan kemahiran bagi menjana pendapatan daripada kerja sambilan yang menyasarkan graduan, individu diberhentikan kerja dan suri rumah

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/selangor-belanja-rm76-juta-wujud-15000-peluang-kerja/
 
IKTISAAS Dapat RM15J, Sedia Latihan Bertaraf Antarabangsa

30.10.2020 - Shah Alam, Sejumlah RM15 juta diperuntuk bagi meneruskan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar. Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama melalui perjanjian usaha sama diwujudkan dengan industri antarabangsa bagi memastikan bidang latihan memenuhi piawaian melalui penyediaan pusat latihan di rantau Asia Tenggara.

“Program ini bersifat holistik dan menyeluruh dengan penglibatan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor bagi melengkapkan ekosistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional. “Melaluinya, peserta akan mempelajari kemahiran, menjalani latihan serta memperoleh peluang pekerjaan untuk melengkapkan kitaran yang dirancang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan Kerajaan Negeri akan mewujudkan inkubator bagi mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing mencipta peluang pekerjaan baharu. Sementara itu, katanya, Kerajaan Negeri akan melakukan ikhtiar berterusan untuk membasmi salah guna dadah dengan peruntukan RM1 juta.

Usaha tersebut meliputi:

– Inisiatif Bersepadu Menangani Penyalahgunaan Dadah melibatkan tiga kawasan rintis
– Program Total Enforcement Community Control (TECC) di 13 kawasan fokus terutama Desa Mentari
– Program pendidikan dan kesedaran di peringkat sekolah serta institut pengajian tinggi

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/iktisass-dapat-rm15-juta-sedia-latihan-bertaraf-antarabangsa/
 
Back
Top
Log in Register