BTC USD 60,659.4 Gold USD 4,328.60
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Belanjawan Selangor 2021

Belanjawan Selangor 2021 Tumpu Atasi Pencemaran Air

30.10.2020 - Shah Alam, Belanjawan Selangor 2021 memberi tumpuan untuk mengatasi isu pencemaran sumber air di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar. Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mengatasi sehingga 90 peratus punca pencemaran yang menyebabkan henti tugas loji rawatan air.

“Isu gangguan bekalan air merupakan perkara kritikal di Selangor dan kita lakukan kajian untuk atasinya, jadi kita luluskan beberapa projek untuk dimulakan segera yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini (DNS) hari ini. Terdahulu ketika membentangkan belanjawan, Dato’ Menteri Besar menggariskan empat langkah untuk mengatasi isu gangguan bekalan air.

Perkara tersebut meliputi projek perintis rawatan biologikal bagi pemuliharaan kualiti air Sungai Gong dan menambah bilangan stesen telemetri kualiti air bagi sistem amaran awal di hulu muka sauk. Turut dilaksanakan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan Hybrid Off River Augmentation Storage (Horas) di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih serta pemantauan dan pengawasan 24 jam di kawasan sensitif.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/mb-belanjawan-selangor-2021-tumpu-atasi-pencemaran-air/
 
RM8B Nilai Ekonomi Bangunkan Sekitar Stadium Shah Alam

30.10.2020 - Shah Alam, Pekarangan Stadium Shah Alam akan diberi nafas baharu melalui projek pembangunan Bandar Belia dan Sukan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion. Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama strategik dengan swasta secara perkongsian berkonsepkan
perkotaan hijau berpaksi kelestarian alam dan bandar pintar.

“Di samping pembinaan infrastruktur daripada kosong, Kerajaan Negeri juga berhasrat melaksana projek ‘peremajaan’ (rejuvenasi) di kawasan berpotensi tinggi tetapi mengalami kemerosotan dan lusuh akibat dimamah usia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau mencadangkan pembangunan semula kawasan stadium berkenaan, yang dimajukan mulai awal 1990-an, dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini. Stadium itu tidak dapat digunakan buat masa sekarang akibat kerosakan struktur bumbung dan memerlukan dana RM250 juta untuk dibaik pulih.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm8-bilion-nilai-ekonomi-bangunkan-sekitar-stadium-shah-alam/
 
Pinda Syarat Bina Rumah Selangorku, Galak Pemaju Sedia Kediaman

30.10.2020 - Shah Alam, Pemaju dibenar meminda syarat Rumah Selangorku jenis A, B, C dan D kepada jenis E melalui Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik. Dato’ Menteri Besar berkata rumah berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi itu dijual tidak melebihi RM250,000 seunit dengan kelengkapan asas seperti penyaman udara, kabinet dapur dan baju serta pemanas air.

“Insentif ini juga akan menarik minat pemaju untuk mempercepatkan pembinaan Rumah Selangorku seterusnya memperbanyakkan lagi stok rumah tersebut. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor melalui Rumah Selangorku Harapan dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) melalui Rumah Selangorku Idaman diamanahkan untuk menerajui kedua-dua konsep ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Berikut insentif lain diumumkan untuk sektor perumahan:

-RM20 juta bagi Program Skim Smart Sewa menggunakan dana Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera
-Pengenalan Smart Sewa to Ownership (2STAY) untuk membantu golongan B40 dan individu sukar mendapat pembiayaan untuk memiliki rumah pertama
-Program 2STAY ini membabitkan Rumah Selangorku diperoleh daripada unit kontra percuma di bawah Program Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/pinda-syarat-bina-rumah-selangorku-galak-pemaju-sedia-kediaman/
 
Jayakan Agenda Pendigitalan, Rapat Jurang Pendapatan

30.10.2020 - Shah Alam, Kerajaan Negeri memberi tumpuan menjayakan agenda pendigitalan pada tahun depan sebagai usaha meningkatkan pendapatan rakyat. Dato’ Menteri Besar berkata Selangor perlu mempercepat ekosistem pendigitalan untuk merapatkan jurang pendapatan antara rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Banyak agenda digitalisasi kita kemukakan dalam Belanjawan Selangor 2021 untuk menjana pendapatan isi rumah, kita bakal adakan pelbagai program ke arah tersebut. Kita optimumkan digitalisasi serta tingkatkan kemahiran rakyat menggunakan platform digital sebagai jalan keluar kepada kelembapan ekonomi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Sejumlah RM369 juta diperuntuk bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi dalam Belanjawan Selangor 2021. Amirudin berkata usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.

Beliau menjelaskan dasar itu juga memecahkan stigma bahawa pendigitalan tidak membunuh peluang pekerjaan, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/mb-jayakan-agenda-pendigitalan-rapat-jurang-pendapatan/
 
RM15J Laksana 30 Projek Pemberdayaan Komuniti

30.10.2020 - Shah Alam, Sebanyak 30 projek pemberdayaan komuniti akan dilaksana Kerajaan Negeri tahun depan dengan peruntukan RM15 juta. Dato’ Menteri Besar berkata RM10 juta diperuntuk untuk skim Ceria, baik pulih kediaman projek perumahan rakyat (RM4.3 juta) dan program pemberdayaan komuniti lain (RM1 juta).

“Kerajaan Negeri tidak menekankan semata-mata pembangunan aspek fizikal, malah pakej rangsangan pembangunan komuniti turut diperkenal. Langkah itu bagi membina masyarakat berdaya saing dan harmoni melalui penyediaan kediaman selesa serta persekitaran kehidupan kondusif,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm15-juta-laksana-30-projek-pemberdayaan-komuniti/
 
RM2.6J Baiki Benteng Pantai Rosak Akibat Air Pasang

30.10.2020 - Shah Alam, Benteng pantai yang terjejas berikutan fenomena air pasang besar antara September hingga Oktober membabitkan kos RM2.64 juta. Dato’ Menteri Besar berkata kejadian itu menjejaskan kawasan pesisiran pantai, terutama Sabak Bernam dan Kuala Selangor dengan kerja baik pulih dilaksana tahun depan. Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan peruntukan RM2.5 juta kepada pihak berkuasa tempatan bagi memperbaiki kemudahan asas dan infrastruktur.

“Sebagai sebuah kerajaan prihatin, pembangunan bandar yang inklusif dan mesra pengguna diberi penekanan. Ini bagi memastikan masyarakat boleh menikmati semua usaha pembangunan telah dijalankan serta mempunyai hak dan peluang yang sama dalam pembangunan fizikal dan sosial,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm2-6-juta-baiki-benteng-pantai-rosak-akibat-air-pasang/
 
RM170J Tingkat Jaringan Jalanraya

30.10.2020 - Shah Alam, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menerima RM170 juta bagi meningkatkan sistem jaringan jalan raya dan merapatkan jurang antara daerah, kata Dato’ Menteri Besar. Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu, sejumlah RM8.1 juta disalurkan bagi pembinaan jambatan dan jejantas di lokasi berikut:

-Jambatan Rantau Panjang, Kuala Selangor
-Jambatan Sungai Kundang, Gombak
-Jambatan Kampung Sungai Buah, Sepang
-Jambatan di atas Sungai Serigala
-Jalan Hulu Bernam-Sungai Besar, Hulu Selangor

“Sebanyak RM36 juta pula disediakan untuk menampung kerja-kerja pembinaan jalan baharu yang sedang berjalan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Kerajaan Negeri juga menyediakan RM103.4 juta untuk menaik taraf jalan, iaitu RM80 juta bagi projek peringkat pembinaan, manakala RM23.4 juta pula bagi cadangan naik taraf baharu. Lokasi terbabit ialah:

-Jalan Bukit Rimau, Klang (pakej satu)
-Jalan Telok Gong dari persimpangan Glenmarie Cove ke persimpangan Jalan Ikan Tenggiri (pakej satu)
-Jalan Reko, Hulu Langat (pakej dua)
-Jalan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tiram Jaya, Tanjung Karang, Kuala Selangor
-Jalan Sungai Panjang dari persimpangan Jalan Kuala Selangor-Telok Intan ke Parit Empat Timur, Sabak Bernam


Amirudin turut mengumumkan beberapa cadangan jajaran baharu dan alternatif yang diluluskan peruntukkannya mengikut Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu:

-Naik taraf Jalan Utama Seri Cheeding ke Interchange Gamuda Cove, Kuala Langat (pakej satu)
-Naik taraf Jalan Terusan Utama sehingga ke Jalan Raja Musa, Tanjong Karang
-Membina dan naik taraf laluan Persiaran Bunga Raya ke Jalan Widuri, Bukit Beruntung, Hulu Selangor
-Membina laluan hijau ke Bandar Baru Selayang

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan masing-masing RM1 juta untuk melaksanakan kajian cadangan projek naik taraf jalan dan kerja pembaikan cerun, serta memperluaskan sistem pemantauan lampu isyarat menggunakan peralatan internet.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm170-juta-tingkat-jaringan-jalan-raya/
 
Selangor Peruntuk RM46J Laksana Projek Tebatan Banjir

30.10.2020 - Shah Alam, Projek tebatan banjir akan dilaksanakan di beberapa lembangan sungai termasuk empat lokasi kritikal membabitkan peruntukan RM46.75 juta, kata Dato’ Menteri Besar. Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM21 juta diperuntukkan untuk projek di lembangan Sungai Langat, lembangan Sungai Klang (RM10.3 juta), lembangan Sungai Selangor (RM7.5 juta) dan lembangan Sungai Buloh (RM2 juta).

“Projek-projek tebatan banjir ini perlu dilaksanakan segera terutamanya lembangan Sungai Langat kerana pada Julai lalu telah berlaku banjir di pekan Kajang dan Dengkil akibat daripada limpahan Sungai Langat. Projek tebatan banjir ini juga akan dilaksanakan secara sinergi dengan projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan keberkesanan lebih holistik dalam menangani isu banjir di Selangor,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga menyalurkan dana RM12.51 juta bagi pembangunan sistem saliran bersepadu dengan perancangannya dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam dengan kos RM3 juta.

“Ia membabitkan lima kawasan iaitu Klang Selatan dan Teluk Gong (Klang), Bandar Ampang (Hulu Langat), Puncak Alam (Kuala Selangor), Sungai Besar (Sabak Bernam). JPS Selangor juga akan melaksanakan projek kolam takungan banjir di Rawang bagi mengatasi masalah banjir di Sungai Gong, Gombak dengan kos RM15 juta,” katanya.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/selangor-peruntuk-rm46-juta-laksana-projek-tebatan-banjir/
 
5 Strategi Perkasa Ekonomi Bermaruah, Paksi Kecekalan Rakyat

30.10.2020 - Shah Alam, Belanjawan Selangor 2021 telah selesai dibentangkan kepada Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober 2020 bersamaan Jumaat 13 Rabiulawal 1442 Hijrah.

Belanjawan ini yang bertemakan “Melakar Realiti Baharu: Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat”, memperuntukkan RM2.323 bilion bagi perbelanjaan tahun 2021 yang mampu mencipta 15,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Selangor, terutamanya mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan ekoran pandemik COVID-19.

Belanjawan Selangor 2021 memfokuskan kepada lima strategi iaitu:

i) Agenda Digitalisasi Selangor, Pemangkin Negeri Pintar Ulung
ii) Selangor Sentosa, Ummah Sejahtera
iii) Memacu Penciptaan Nilai dan Pembangunan Modal Insan
iv) Memperkasa Kemampanan Alam Sekitar, Sumber dan Rantaian Bekalan Makanan.
v) Merancakkan Pemulihan Ekonomi dan Pembangunan Industri

RM1.103 bilion atau 47 peratus daripada peruntukan keseluruhan akan digunakan untuk Perbelanjaan Pembangunan selaras dengan hasrat membimbing kecekalan rakyat dalam melalui fasa-fasa berbeza wabak Covid-19 yang belum lagi kelihatan penghujungnya. Bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung serta Agenda Digitalisasi Selangor, sebanyak RM 369 juta diperuntukkan untuk pewujudan program baharu seperti Selangor Innovation Fund bagi membantu pengusaha startup dan memposisikan negeri Selangor sebagai ‘early stage investor’, Smartbox Pejabat Tanah Galian (PTG) untuk pemudahcaraan urusan tanah, Rakan Digital Selangor sebagai dorongan dan pendidikan awam serta kelangsungan program-program sedia ada seperti E-Kitchen 2.0 dan E-Sukan. Inisiatif Data Internet Selangor turut diperkenalkan dengan peruntukan RM17.5 untuk membantu pelajar serta golongan yang memerlukan mendapat perkhidmatan internet pada harga yang lebih berpatutan.


Program NaDi Perkasa Keusahawanan

Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Selangor menceburi bidang keusahawanan, satu inisiatif khas yang diberi nama Niaga Darul Ehsan (NaDi) akan memberi pinjaman serendah RM1 ribu untuk membantu rakyat Selangor memulakan perniagaan kecil. Inisiatif Selangor EPembekalan Peruncit Mikro turut diwujudkan bagi membantu peruncit mikro dan kecil di seluruh negeri.

Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM56.5 juta untuk memperkasa sektor kesihatan awam, lebih-lebih lagi pada saat pandemik semakin menjadi-jadi. Jumlah ini 23% lebih tinggi berbanding peruntukan kesihatan dalam belanjawan lalu iaitu RM46 juta.

Kerajaan Negeri telah menambah baik program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dengan peruntukan sebanyak RM62 juta untuk tahun 2021 melalui pemberian manfaat sebanyak RM200.00 sebulan dengan penambahan 5,000 orang penerima dari golongan ibu tunggal (KISS Ibu Tunggal) dari seluruh Selangor.

Bagi menyantuni warga emas, Kerajaan Negeri menyediakan RM27.5 juta untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) 2.0 yang memberi bantuan khairat kematian bernilai RM500 kepada waris yang berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) sambil meneruskan program Jom Shopping SMUE sedia ada.

Menyedari demografi rakyat Negeri Selangor yang melihat peningkatan golongan berumur, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya Selgate Healthcare bersiap sedia untuk menawarkan
inisiatif penjagaan warga emas dan kanak-kanak melalui suatu kediaman komuniti bersepadu khusus yang selesa. Ini akan dilengkapi infrastruktur kesihatan beserta akses mudah untuk penjagaan dan pemantauan sekeluarga.


OKU Diberi Perhatian

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sentiasa menjadi perhatian utama Kerajaan Negeri dan akan diberi peruntukan sejumlah RM3.25 Juta bagi keseluruhan program dan inisiatif pemberdayaan OKU seperti pembelian alatan sokongan, ubat-ubatan dan nutrisi tambahan; terapi pemulihan anak-anak istimewa; kursus latihan asuhan serta seminar kesedaran sokongan untuk anak istimewa.

Inisiatif Food Bank Selangor akan diperluaskan untuk merangkumi Program Food Bank Kanak-Kanak yang menyasarkan golongan kanakkanak di bawah umur enam tahun khusus untuk keluarga berpendapatan rendah bagi menangani masalah pertumbuhan terbantut dan ketidakseimbangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak, dengan peruntukan RM 6 juta.

Sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat yang memantapkan institusi Islam, Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan peruntukan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM1.1 juta sebagai caruman majikan bagi memberi manfaat kepada 4,200 orang guru Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) seluruh Selangor.

Kerajaan Negeri turut mengumumkan inisiatif Bantuan Pengusaha dan Guru-Guru Tadika berjumlah RM 2 juta untuk tahun 2021 agar kos tambahan bagi pematuhan SOP pandemik tidak menjejaskan operasi harian mereka.


Atasi Isu Pencemaran Air

Untuk membendung masalah pencemaran air yang berulang, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200 juta untuk pelbagai usaha seperti Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor yang akan membuat rondaan 24 jam, penggunaan teknologi dron serta penambahan jumlah keanggotaan LUAS, Projek Perintis Rawatan Biologikal / BioRemediation untuk memulihkan kualiti air di Sungai Gong, serta penaiktarafan kolam takungan Hybrid Off-River Storage 600 (HORAS 600).

Sebagai sebahagian daripada usaha urban rejuvenation bagi pembangunan semula kawasan perkarangan stadium Seksyen 13 Shah Alam, Kerajaan Negeri berhasrat untuk membangunkan Youth and Sports City dengan nilai anggaran GDV sebanyak RM8 Bilion yang akan didirikan secara Public – Private – Partnership (PPP).

Bagi merungkai isu perumahan mampu milik yang sering kali menjadi perhatian rakyat, Kerajaan Negeri menyasarkan pertambahan sekurang-kurangnya 30,000 unit Rumah Selangorku di bawah Program Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan
dengan nilai hartanah lebih daripada RM750 juta yang bakal disiapkan menjelang tahun 2023.


Mahasiswa Diberi Bantuan

Memandangkan mahasiswa merupakan golongan yang paling terkesan saat ini, Kerajaan Negeri mengumumkan program ‘Bantuan Yuran Asas Universiti’ (BAYU) iaitu pelepasan bagi yuran asas khusus buat pelajar-pelajar UNISEL dan KUIS pada tahun 2021 dengan peruntukan sebanyak RM 4 juta.

Bagi mendepani isu kesukaran mahasiswa mendapat tempat dalam pasaran kerja serta kehilangan pekerjaan yang dihadapi pekerja sedia ada, Kerajaan Negeri berusaha untuk mengurangkan pengangguran sekaligus cuba membasmi kemiskinan dengan beberapa inisiatif seperti Selangor Kerjaya dengan latihan new skill, upskilling dan reskilling; Selangor Automotif TVET yang memadankan graduan TVET teknologi automotif dan bengkel automotif; serta Selangor Freelancers kerana semakin ramai yang memilih waktu kerja lebih anjal bagi memenuhi keperluan ekonomi mereka.

RM76 juta diperuntukkan dari Menteri Besar Incorporated dan Permodalan Negeri Selangor Berhad bagi membiayai inisiatif-inisiaitf ini. Belanjawan Selangor 2021 diharap dapat membantu rakyat bagi mendepani realiti baharu dalam pasaran dunia pasca Covid-19.

Harapan dan semangat optimisme yang diangkat melalui dokumen ini sewajarnya mampu menawarkan jalan keluar bagi menampan kesan kelembapan ekonomi dan dijangka mampu membina kecekalan rakyat dalam melalui hari-hari mendatang.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/lima-strategi-perkasa-ekonomi-bermaruah-paksi-kecekalan-rakyat/
 
RM25J Untuk Terus Perkhidmatan Bas Smart Selangor

30.10.2020 - Shah Alam, Sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi meneruskan perkhidmatan Bas Smart Selangor, yang dilaksanakan oleh 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 2021, kata Dato’ Menteri Besar. Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, RM5 juta pula akan ditampung PBT sebagai perkongsian kos di antara Kerajaan Negeri dan agensi itu yang mempunyai lebihan rizab tunai baik dan berkemampuan menanggung kos perkhidmatan bas.

“Tanggungan bersama ini adalah sebagai langkah menggalakkan PBT mempelbagaikan usaha memberi lebih manfaat kepada rakyat, untuk terus menikmati kemudahan pengangkutan percuma,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga akan melancarkan sistem “Tap to Ride” pada Disember ini dan warga asing akan dikenakan tambang 90 sen seperti diumumkan pada Belanjawan 2020.

“Kutipan caj bayaran perkhidmatan ini akan digunakan untuk menampung kos penyelenggaraan bas, menambah baik kualiti perkhidmatan Bas Smart Selangor serta penambahan bilangan dan laluan bas pada masa akan datang,” katanya.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm25-juta-untuk-terus-perkhidmatan-bas-smart-selangor/
 
Back
Top
Log in Register