BTC USD 63,419.5 Gold USD 4,331.29
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Belanjawan Selangor 2021

Pelepasan Yuran Asas, KUIS Jangka Jumlah Pelajar Bertambah

01.11.2020 - Shah Alam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menjangka kemasukan pelajar baharu akan bertambah tahun hadapan susulan pengenalan program pelepasan yuran asas. Rektornya berkata Bantuan Yuran Asas Universiti (Bayu) mendorong minat pelajar untuk menyambung pengajian kerana mampu meringankan kos dan beban ibu bapa.

“Difahamkan ia diberikan kepada semua pelajar meliputi yuran ko-kurikulum dan teknologi maklumat (IT) tetapi perincian ini akan dimaklumkan nanti. Insentif ini memberi impak besar dan diharap pelajar di luar negeri atau anak Selangor memilih Kuis kerana kita menawarkan pelbagai program dalam bidang pengajian Islam serta Sains Sosial,” kata Prof Dato’ Ab Halim Tamuri ketika dihubungi.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program Bayu iaitu pelepasan bagi yuran asas kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) dan Kuis pada 2021 dengan peruntukan RM4 juta. Selain itu, kedua-dua institusi pengajian tinggi terbabit turut menerima dana RM35 juta secara pinjaman bagi memastikan operasinya berjalan lancar.

Mengulas lanjut, Ab Halim berkata dana tersebut akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan institusi berkenaan.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana sentiasa prihatin malah banyak bantuan diberikan sebelum ini demi kepentingan warga Kuis,” katanya.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/11/pelepasan-yuran-asas-kuis-jangka-jumlah-pelajar-bertambah/
 
Kembalikan Bantuan Khairat Kematian, Kebajikan Rakyat Di Utamakan

01.11.2020 - Shah Alam, Bantuan khairat kematian yang diberikan semula adalah tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan rakyat. EXCO kebajikan masyarakat berkata pemberian menerusi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) itu jelas mengutamakan orang ramai yang mahu ia dikembalikan malah mampu meringankan beban ketika penularan Covid-19.

“Saya mengalu-alukan berita baik ini apabila Dato Menteri Besar mengumumkan bantuan khairat kematian diwujudkan semula. Pengekalan program baucar hari lahir yang sebelum ini menggantikan bantuan tersebut juga dihargai,” kata V Ganabatirau kepada SelangorKini.

Program bantuan khairat kematian menyasarkan warga emas yang layak dan berdaftar tanpa mengira jantina, kaum dan agama. Jumaat lalu, ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program bantuan terbabit menerusi SMUE yang diberhentikan pada Mei 2019 akan disambung semula mulai tahun hadapan.

Justeru, sejumlah RM7.5 juta disediakan bagi melayakkan waris berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) untuk menerima bantuan RM500 seorang.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/11/kembalikan-bantuan-khairat-kematian-kebajikan-rakyat-diutamakan/
 
Tingkatkan Peluang Kerja Graduan, Golongan Muda

01.11.2020 - Shah Alam, Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada peningkatan peluang pekerjaan terutama untuk graduan dan anak muda yang berdepan pengangguran susulan penularan Covid-19 di negara ini, dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat depan.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Mursyid Arshad berkata golongan itu merupakan antara kelompok yang terkesan dengan hampir 40 peratus tenaga buruh di Malaysia adalah belia berusia 15 hingga 30 tahun.

“Jika dilihat setiap tahun, sekitar 200,000 graduan yang dihasilkan daripada institusi pengajian tinggi di negara ini dan hampir 300,000 graduan dalam dan luar negara menantikan peluang pekerjaan di Malaysia.

“Berdasarkan dapatan kajian tinjauan yang dilakukan terhadap golongan belia oleh pasukan penyelidik UPM baru-baru ini, mendapati mereka inginkan pekerjaan dan sumber pendapatan yang tetap dan mendambakan gaji yang setimpal dan berpadanan dengan kelayakan,” katanya kepada Bernama.

Namun, dengan peluang pekerjaan yang terhad akibat penyusutan beberapa sektor ekonomi susulan Covid-19, golongan belia bimbang akan pengangguran dengan hampir 544,500 belia dikatakan masih menganggur pada Julai 2020.

Justeru, Mohd Mursyid mencadangkan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan berorientasikan pendigitalan yang secara tidak langsung membolehkan golongan belia dan mereka yang hilang pekerjaan tidak lagi bergantung kepada pekerjaan ‘makan gaji’ semata-mata.

“Penjanaan pendapatan melalui Ekonomi Gig (Gig Economy) merupakan ruang yang berpotensi besar dalam suasana pendigitalan pada hari ini dan golongan belia disaran untuk merebut peluang sebaik-baiknya dan memanfaatkan insentif yang disediakan oleh kerajaan melalui program myGIG Belia.

“Namun, Belanjawan 2021 juga perlu memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur jalur lebar secara lebih agresif kerana sektor pekerjaan dan pendidikan kini sangat bergantung kepada jalur lebar tetapi masih terdapat ‘blind spot’ di kawasan dalam bandar yang mengalami masalah Internet apatah lagi bagi kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan memperbanyakkan hab keusahawanan dalam melatih belia agar mahir dalam perniagaan dan mampu menghasilkan golongan itu yang berdaya tahan, di samping menyediakan program pembangunan kompetensi belia.

Program seumpama itu, beliau berkata perlu menekankan aspek pembangunan kemahiran baharu (upskilling), memperkasa kemahiran belia sedia ada (reskilling) dan menyilangkan belia dengan kemahiran lain (cross-skilling) supaya mampu melaksana kepelbagaian tugas agar selari dengan keperluan semasa ketika berdepan dengan situasi pandemik Covid-19 yang kian mencabar.

“Kerajaan juga disaran meneruskan insentif ‘Place and Train’ melalui program latihan perantisan dengan menggalakkan lebih banyak pemain industri terutamanya syarikat korporat dalam menyediakan latihan, pengalaman dan peluang pekerjaan kepada graduan dan individu yang kehilangan pekerjaan.

“Peluang kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dengan pemain industri perlu disemarakkan secara berterusan agar graduan yang dihasilkan sepadan dengan keperluan industri pada masa kini,” katanya.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/11/belanjawan-2021-tingkatkan-peluang-kerja-graduan-golongan-muda/
 
Peruntukan Tepat Untuk Pembangunan Sukan Negeri - EXCO

01.11.2020 - Shah Alam, Peruntukan pembangunan sukan berjumlah RM27.9 juta tepat pada masanya ketika kontinjen Selangor membuat persediaan ke Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun hadapan.

EXCO pembangunan generasi muda dan sukan berkata kemudahan itu akan menambah baik segala program dirancang dan diyakini Selangor mampu meneruskan kecemerlangan pada temasya dwi tahunan itu walaupun berdepan cabaran susulan penularan Covid-19.

“Peruntukan diberikan Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2021 amat sesuai pada saat kita bersiap untuk ke Sukma dan ia juga membolehkan proses menaik taraf kemudahan atlet dilaksanakan. Rekod (Sukma) Selangor sebelum ini adalah di tangga tiga teratas dan kita yakin ia mampu dikekalkan pada kejohanan itu nanti,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan pihaknya juga akan terus mengembangkan potensi e-Sukan dengan peruntukan RM3 juta tahun hadapan meliputi pemberian latihan dan bimbingan untuk golongan muda memasuki industri tersebut. Sebelum ini, Selangor muncul negeri pertama menganjurkan Permainan Siber Selangor (SCG), termasuk versi duduk di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menerima sambutan mengalakkan.

Selain itu, RM2 juta diperuntuk bagi meneruskan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) untuk membantu kira-kira 3,000 belia mencari pendapatan atau kerjaya baharu sebagai penunggang motosikal dalam perkhidmatan e-panggilan.

Di samping itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.83 juta dalam usaha untuk memartabatkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) serta sumbangan 20 juta kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) adalah dari peruntukan Kerajaan Negeri, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Berita asal https://selangorkini.my/2020/11/exco-peruntukan-tepat-untuk-pembangunan-sukan-negeri/
 
Tarikh SPM Di Pinda, Selangor Hasrat Lanjut Tuisyen Percuma

09.11.2020 - Shah Alam, Kerajaan Negeri bercadang untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sehingga Januari 2021. Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia susulan pindaan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada Februari 2021.

“PTRS dijadual berakhir pada Disember ini. Kita akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Selangor sama ada untuk melanjutkan PTRS kepada Januari. Kerajaan Negeri akan cuba mendapatkan sokongan daripada pusat khidmat masyarakat bagi menyediakan lokasi PTRS supaya tidak menyusahkan penduduk, namun perlu sesuai dengan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran Leong Tuck Chee pada sidang Dewan Negeri Selangor. Amirudin yang juga ADN Sungai Tua berkata tahun lalu seramai 10,000 pelajar menerima manfaat PTRS dan meningkat kepada 12,000 tahun ini.

“Menerusi program pendigitalan yang diumumkan menerusi Belanjawan Selangor 2021, ada saluran data untuk rakyat Selangor manfaatkan dan ia membolehkan mereka akses kepada aplikasi pembelajaran seperti PTRS. Untuk itu kita yakin sasaran PTRS untuk membantu 54,000 keluarga berpendapatan rendah (B40) dapat dilaksanakan,” katanya lagi.

Semalam menteri pendidikan mengumumkan semua sekolah ditutup di semua negeri bermula hari ini. Dr Radzi Jidin berkata tarikh peperiksaan SPM, Peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula dipinda kepada 22 Februari tahun depan.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/11/mb-tarikh-spm-dipinda-selangor-hasrat-lanjut-tuisyen-percuma/
 
Selangor Belanja RM400J Tangani Covid-19

09.11.2020 - Shah Alam, Selangor membelanjakan RM400 juta bagi menangani penularan pandemik Covid-19, kata Dr Siti Mariah Mahmud. Menurut EXCO kesihatan, antara langkah awal diambil termasuk melaksanakan saringan komuniti di kawasan zon merah membabitkan kos RM2.96 juta.

“Selain itu, kita turut menyumbangkan pelitup muka kepada pelajar sekolah, jabatan pendidikan, pejabat pendidikan daerah, pusat khidmat masyarakat dan semua penjawat awam dengan RM5.8 juta telah diperuntukkan. Tambahan daripada itu, Kerajaan Negeri turut memberi sumbangan kit pembasmi kuman kepada 854 taska berdaftar di Selangor perbelanjaan RM690,000,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Sementa, Dr. Daroyah Alwi pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Tambah Dr Siti Mariah, Selangor turut melaksanakan inisiatif yang tidak dijalankan negeri lain iaitu penjagaan anak petugas barisan hadapan.

“Kita juga membantu rakyat terjejas dengan pemberian geran serta pelbagai inisiatif,” katanya.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/11/selangor-belanja-rm400-juta-tangani-covid-19/
 
Peruntukan Sekolah RM24J Tetap Di Agih Tahun Ini

11.11.2020 - Shah Alam, Kerajaan Negeri tetap menyalur bantuan kepada sekolah berjumlah RM24 juta walaupun sesi pembelajaran tidak berjalan sepenuhnya pada tahun ini. Dato’ Menteri Besar berkata bantuan diberikan kepada sekolah agama rakyat, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta sekolah persendirian Cina berdasarkan permohonan pihak sekolah.

“Agihan dibuat mengikut keperluan sekolah sama ada untuk naik taraf infrastruktur atau keperluan lain, jadi kita harap bantuan diberikan diharap dapat membantu pihak sekolah menyelesaikan isu berbangkit. Peruntukan ini masih berbaki antara RM200,000 hingga RM300,000 dan kita akan lihat mungkin ada sekolah lagi yang memerlukan bantuan,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 pada Sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program penyerahan bantuan sepatutnya diadakan pada Mac dan April tetapi terpaksa ditunda beberapa kali susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sehubungan itu kita ambil keputusan memasukkan bantuan terus ke akaun sekolah sejak Oktober lalu. Kerajaan Negeri komited menyediakan banyak manfaat pendidikan secara berterusan kepada rakyat,” katanya.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/11/mb-peruntukan-sekolah-rm24-juta-tetap-diagih-tahun-ini/
 
Back
Top
Log in Register