BTC USD 62,412.2 Gold USD 4,328.60
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Belanjawan Selangor 2021

e-Sukan Dapat Dana RM3J, Tersenarai Agenda Pendigitalan

30.10.2020 - Shah Alam, Kerajaan Negeri memperuntuk RM3 juta bagi mengembangkan bidang e-sukan sebagai sebahagian agenda pendigitalan tahun hadapan. Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif yang menyasar belia berupaya memangkin ekosistem e-sukan dengan penganjuran kejohanan amatur.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia turut meliputi pemberian latihan dan bimbingan untuk golongan muda memasuki industri tersebut.

“Selangor meneraju e-sukan sebagai negeri pertama yang menganjurkan Permainan Siber Selangor (SCG), termasuk versi duduk di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menerima sambutan mengalakkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Sebelum ini, penganjuran SCG 2020 edisi Piala Duduk Rumah berjaya mengutip RM36,488 yang dimenangi NED Brotherhood bagi kategori PUBG Mobile dan Team Bosskurr untuk kategori Mobile Legend Bang Bang.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/e-sukan-dapat-dana-rm3-juta-tersenarai-agenda-pendigitalan/
 
Pameran Penerbangan Selangor 2021 Lonjak Sektor Aeroangkasa

30.10.2020 - Shah Alam, Pameran Penerbangan Selangor 2021 akan dianjurkan untuk mengalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan menyediakan platform kepada syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) meneroka bidang itu. Dato’ Menteri Besar berkata Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor mengenal pasti aktiviti perniagaan dan penerbangan umum (general aviation) yang bertepatan untuk membantu pertumbuhan segmen itu di Subang.

“Sektor ini mendapat permintaan ekoran pandemik Covid-19 yang membataskan penerbangan komersial. Peruntukan sebanyak RM2 juta akan disediakan. Penganjuran acara ini juga merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam menyediakan platform bagi syarikat tempatan dan IKS mempromosikan produk serta perkhidmatan. Melalui penganjuran ini, syarikat akan dapat meneroka peluang pelaburan dalam pelbagai cabang aktiviti,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/pameran-penerbangan-selangor-2021-lonjak-sektor-aeroangkasa/
 
RM11J Anjur Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa 2021

30.10.2020 - Shah Alam, Sebanyak RM11 juta diperuntuk untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2021 (SIBS) bagi mempromosikan negeri ini sebagai hab perdagangan global di rantau Asia Tenggara. Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sidang dianjurkan Invest Selangor akan memberi peluang kepada syarikat tempatan dan asing mempamerkan produk serta perkhidmatan selain menjalinkan kerjasama perniagaan.

Katanya, Kerajaan Negeri turut merangka tiga strategi lain untuk merancakkan aktiviti ekonomi dan pelaburan iaitu:

1. Menubuhkan gerbang perniagaan maya, Hab Perniagaan Selangor sebagai alternatif promosi pelaburan dan perindustrian berikutan penularan Covid-19 menerusi portal promosi pelaburan
2. SIBS virtual yang bakal menghimpunkan empat program utama SIBS, webinar dan sesi pemadanan perniagaan
3. Hab Perniagaan Halal Selangor yang dibangunkan melalui Pelan Tindakan Halal Selangor untuk membantu usahawan negeri ini mendapat sijil halal bagi produk mereka

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm11-juta-anjur-sidang-kemuncak-perniagaan-antarabangsa-2021/
 
Program Tuisyen Rakyat Di Teruskan, RM13J Di Peruntuk

30.10.2020 - Shah Alam, Menyedari akses terhad golongan pelajar sasaran untuk mengikuti pembelajaran dalam talian, Kerajaan Negeri prihatin untuk meneruskan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dengan peruntukan RM13 juta pada tahun 2021. Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu dianjurkan bagi kemudahan semua pelajar yang mengikutinya.

“Namun begitu, kesan daripada pembelajaran dalam talian dengan bimbingan guru perlu diterapkan dalam PTRS agar penyampaian lebih efektif,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini. Selain itu, katanya, Selangor akan meneruskan Pembangunan Modal Insan melalui peruntukan RM2.41 juta kerana aspek itu merupakan komponen penting dalam melahirkan rakyat cemerlang yang mampu menjadi aset berharga dan menyumbang kepada negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada masalah pengangguran dengan menyediakan platform dan ruang untuk golongan anak muda mendapatkan pekerjaan melalui program Selangor Job Fair.

“Dengan kerjasama erat bersama JobsMalaysia, program ini bukan sahaja membantu mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini, malah dapat memenuhi keperluan syarikat-syarikat bagi mendapatkan tenaga kerja khususnya di tahap kritikal dengan mendahulukan penglibatan di kalangan warga tempatan,” katanya.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/program-tuisyen-rakyat-diteruskan-rm13-juta-diperuntuk/
 
RM17.5J Laksana Inisiatif WiFi, Data Internet Selangor

30.10.2020 - Shah Alam, Sejumlah RM17.5 juta diperuntuk bagi menjayakan inisiatif WiFi dan Data Internet Selangor yang dijangka memberi manfaat hampir 54,000 pengguna. Dato’ Menteri Besar berkata program menumpukan mahasiswa, ibu tunggal dan berpendapatan rendah (B40) bagi memastikan agenda pendigitalan dinikmati rakyat.

“Inisiatif ini menyasar golongan B40 dengan menyediakan sambungan internet mudah-alih mampu milik yang dipakejkan dengan solusi pembelajaran dan keusahawanan. Ia juga dapat meningkatkan akses sumber pendidikan dalam talian selaras satu norma baharu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Jelasnya, Kerajaan Negeri akan menaik taraf tahap perkhidmatan jalur lebar internet dengan kos lebih rendah bagi menambah keberkesanannya. Amirudin berkata penempatan WiFi juga disusun semula dengan menumpukan kluster lebih memerlukan seperti perumahan, institusi pendidikan dan kesihatan, pusat komuniti, pengangkutan, sukan serta rekreasi.

Lebih 3,600 pusat akses WiFi Smart Selangor ditempatkan di seluruh negeri setakat ini.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm17-5-juta-laksana-inisiatif-wifi-data-internet-selangor/
 
Bantuan RM2J Kepada Pengusaha Tadika Terjejas Pandemik Covid-19

30.10.2020 - Shah Alam, Dato’ Menteri Besar mengumumkan inisiatif Bantuan Pengusaha dan Guru-guru Tadika berjumlah RM2 juta susulan penularan Covid-19. Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan terbabit dikhaskan kepada pengusaha tadika yang tidak dapat menjalankan operasi perniagaan ketika krisis pandemik itu melanda.

“Berdasarkan data diterima daripada persatuan taska Selangor, sebanyak 2,039 tadika terkesan. Antara kesan ketara adalah pengusaha perlu menanggung kos tambahan bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini. Amirudin turut mengumumkan dana RM200,000 bagi golongan wanita mengikuti program khusus kerja dari rumah pada tahun hadapan. Program ini dijalankan selama dua tahun. Hasilnya kumpulan ini berjaya melancarkan produk khusus golongan wanita Selangor iaitu Tanjung Suri selepas mendapat kerjasama pusat beli belah Isetan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Kerajaan turut menyediakan sejumlah RM300,000 bagi melangsungkan Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) 2.0 selepas melihat sambutan menggalakkan dengan menarik 5,000 pengunjung,” katanya.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/bantuan-rm2-juta-kepada-pengusaha-tadika-terjejas-pandemik-covid-19/
 
Ibu Tunggal, Wanita B40 Tterima RM200 Sebulan

30.10.2020 - Shah Alam, Ibu tunggal serta wanita dalam golongan berpendapatan rendah (B40) akan menerima bantuan RM200 sebulan bagi membeli barangan keperluan asas. Sumbangan akan disalurkan melalui Program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) yang diteruskan pada tahun depan dengan nilai peruntukan RM62 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan merangkumi bantuan khusus kepada 5,000 peserta Kiss Ibu Tunggal.

“Kajian dijalankan Institut Wanita Berdaya (IWB) menunjukkan 42 peratus ibu tunggal kehilangan pendapatan isi rumah akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021, di sini. Peruntukan RM62 juta turut membabitkan;

– RM300,000 bagi sukarelawan Jiran Baik Negeri Selangor
– Elaun kepada 62 ketua komuniti kaum India dan dana melaksana program
– RM500,000 untuk naik taraf dan kemudahan insfrastruktur perkampungan Orang Asli
– RM500,000 bagi mewarta tanah perkampungan Orang Asli

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/ibu-tunggal-wanita-b40-terima-rm200-sebulan/
 
RM40J Jayakan Skim Air Percuma Tahun Depan

30.10.2020 - Shah Alam, Skim Air Darul Ehsan diteruskan tahun depan dengan tambahan peruntukan sebanyak RM40 juta, kata Dato’ Menteri Besar. Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program air percuma memanfaatkan 250,000 pengguna sejak diperkenal pada 1 Mac 2019 dengan perkongsian kos bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Sepanjang tempoh pelaksanaan program air percuma, jumlah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri adalah RM1.8 bilion sehingga 31 Disember 2019. Konsep perkongsian kos membolehkan Kerajaan Negeri menyalurkan semula peruntukan negeri bagi projek pembangunan bekalan air,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Amirudin turut menyeru rakyat supaya mengamalkan sikap berjimat-cermat memandangkan penggunaan per kapita negeri ini adalah 222 liter setiap hari, lebih tinggi daripada purata negara dan piawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Cara dan gaya hidup kita harus berubah dengan memikirkan air sebagai antara sumber amat penting yang perlu ditangani secara mampan,” katanya lagi.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm40-juta-jayakan-skim-air-percuma-tahun-depan/
 
Denda Pencemaran Sumber Air Akan Di Pinda

30.10.2020 - Shah Alam, Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999 dipinda untuk meningkatkan bayaran denda bagi kesalahan pencemaran sumber air, bertujuan mengelak insiden sama berulang pada masa hadapan. Dato’ Menteri Besar berkata Luas akan menguatkuasakan pelepasan efluen berdasarkan keupayaan kapasiti sungai iaitu aplikasi jumlah beban harian maksimum (TMDL) di kawasan ditetapkan. Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan tindakan itu selaras Seksyen 56, Enakmen Luas 1999 dan prinsip pencemar membayar (polluters pay principle).

“Cadangan pindaan Enakmen Luas akan diangkat untuk mendapatkan persetujuan di dalam persidangan dewan negeri,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 hari ini.

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/denda-pencemaran-sumber-air-akan-dipinda/
 
RM200J Laksana Projek Tangani Pencemaran Air

30.10.2020 - Shah Alam, Sebanyak RM200 juta diperuntuk untuk mengatasi isu pencemaran air mentah di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar. Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek yang bermula tahun ini dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

“Semua projek itu diyakini mampu mengurangkan sehingga 90 peratus risiko henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 termasuk LRA Rantau Panjang serta LRA Semenyih 1 dan 2,” katanya pada pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Projek itu meliputi:

– Projek perintis rawatan biologikal bagi pemuliharaan kualiti air Sungai Gong
– Pemantauan dan pengawasan 24 jam melalui Skuad Pantas di kawasan sensitif sumber air
– Menambah bilangan stesen telemetri kualiti air bagi sistem amaran awal di hulu muka sauk berisiko
– Projek pengepaman air mentah dari kolam takungan Hybrid Off River Augmentation Storage (Horas) 600 di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih

Berita asal https://selangorkini.my/2020/10/rm200-juta-laksana-projek-tangani-pencemaran-air/
 
Back
Top
Log in Register