Ayob Khan Bersara Ahad Ini Selepas 35 Tahun Berkhidmat Dalam PDRM
Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam (dua, kanan) menyampaikan buku biografi Tan Sri Mydin Pitchay: Dari Pendang ke Bukit Aman, Jejak Integriti kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar (dua, kiri) pada Pelancaran Buku Biografi tersebut di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara, hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar (kanan).
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Selepas hampir 35 tahun menabur bakti dalam pasukan "Sang Saka Biru", Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mengesahkan beliau bakal menamatkan perkhidmatan Ahad ini.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat dalam Cawangan Khas termasuk Bahagian Counter-Terrorism, selain menyandang jawatan Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Jun 2023.
“Insya-Allah pada Ahad ini (26 Julai) adalah hari terakhir saya dalam pasukan setelah berkhidmat hampir 35 tahun dalam PDRM,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran buku biografi beliau “Dari Pendang ke Bukit Aman: Jejak Integriti” di sini hari ini.
Mengulas hala tuju selepas bersara, anak kelahiran Kedah itu berkata beliau sudah menerima beberapa tawaran, namun belum membuat sebarang keputusan.
"Ada 'offer' (tawaran) sikit apa semua, saya belum memikirkan lagi. Insya-Allah saya akan fokus untuk rehat dulu sekejap," katanya.
Ayob Khan turut berseloroh mahu membuka restoran mamak sebelum menjelaskan niat sebenarnya untuk meluangkan masa berkualiti dan berehat selepas bersara.
Beliau turut membayangkan perancangan untuk menghasilkan sebuah lagi naskhah yang lebih terperinci mengenai operasi-operasi berprofil tinggi yang pernah dikendalikannya, namun tertakluk kepada proses penyahklasifikasi bahan berkaitan.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis pelancaran buku biografi itu, Ayob Khan berkata setiap jawatan dan pangkat akhirnya akan berakhir, justeru seseorang perlu belajar melepaskan amanah yang dipikul.
“Pangkat akan berakhir, jawatan akan bertukar, seragam akhirnya akan digantung. Belajarlah untuk melepaskan. Semua yang ada pada kita hari ini tidak kekal,” katanya.