combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Anak Tempatan Kekal Dominan Di Universiti Awam, Pelajar Antarabangsa Hanya 8.9 Peratus - IPPTN
Pelajar tempatan kekal sebagai kumpulan dominan di universiti awam dengan 96.56 peratus enrolmen prasiswazah, sekali gus membuktikan keutamaan kepada anak tempatan masih terpelihara.
Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) Prof Madya Dr Thein Lei Mei berkata data Kementerian Pendidikan Tinggi bagi 2026 menunjukkan pelajar antarabangsa di universiti awam hanya 56,565 orang, iaitu 8.9 peratus daripada keseluruhan enrolmen dan hanya 3.44 peratus di peringkat prasiswazah.
“Data prasiswazah jelas menunjukkan pelajar tempatan kekal sebagai kumpulan dominan di universiti awam dan kehadiran pelajar antarabangsa pada kadar 3.44 peratus di peringkat prasiswazah tidak boleh secara munasabah dilihat sebagai tekanan besar terhadap peluang pelajar tempatan.
“Pada masa sama, pelajar antarabangsa tidak boleh dinilai hanya sebagai angka enrolmen. Dalam ekosistem pendidikan tinggi moden, mereka adalah sebahagian daripada strategi pengantarabangsaan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Thein berkata kehadiran pelajar antarabangsa di peringkat ijazah tinggi menyumbang kepada penyelidikan, penerbitan akademik, pembangunan kepakaran, pertukaran ilmu dan kerjasama rentas negara.
Beliau berkata pelajar antarabangsa turut memberi limpahan ekonomi melalui pembayaran yuran pengajian, penginapan, makanan, pengangkutan, insurans, perkhidmatan harian dan aktiviti pelancongan pendidikan yang memberi manfaat kepada universiti, komuniti setempat serta sektor perumahan dan perkhidmatan.
“Bagi universiti awam pula, pendapatan daripada pengantarabangsaan turut membantu memperkukuh kelestarian institusi kerana sumber itu boleh menyokong penambahbaikan makmal, perpustakaan, kemudahan pembelajaran, prasarana kampus, perkhidmatan pelajar dan aktiviti penyelidikan,” katanya.
Thein berkata prasiswazah berkait rapat dengan akses, mobiliti sosial dan peluang anak tempatan memasuki universiti awam manakala pascasiswazah pula berperanan dalam penghasilan ilmu, penyelidikan, kepakaran tinggi dan jaringan akademik antarabangsa.
“Oleh itu, mencampurkan kedua-dua kategori ini untuk membuat rumusan umum tentang persaingan tempat adalah tidak tepat dari sudut dasar.