afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Agih peruntukan guna konsep ‘asas saksama, keperluan berbeza’, kerajaan disaran
Penganalisis cadang formula hibrid dalam agihan peruntukan untuk kawasan Parlimen bagi menangani cabaran struktur kewangan yang berbeza antara kawasan bandar dan luar bandar.
Penganalisis di Universiti Malaya, Tawfik Yaakub, mencadangkan konsep ‘asas saksama, keperluan berbeza’ iaitu kerajaan menetapkan peruntukan asas yang sama dan kemudian menambah jumlah berdasarkan beban sebenar kawasan.
Indikator tambahan perlu merangkumi saiz penduduk, tahap kemiskinan, serta kerentanan sosioekonomi, katanya.
“Malah untuk sebahagian peruntukan pembangunan dan bantuan sosial, saya lebih cenderung menggunakan jumlah penduduk berbanding pengundi sahaja kerana kanak-kanak dan golongan belum mendaftar turut menggunakan kemudahan awam,” katanya kepada FMT.
Tawfik menarik perhatian kepada cabaran struktur kewangan yang berbeza antara kawasan bandar dan luar bandar, di mana kawasan bandar berdepan kos liputan penduduk dan permohonan bantuan yang tinggi manakala kawasan luar bandar terikat dengan kos geografi berikutan jaringan prasarana yang panjang serta komuniti berselerak.
Beliau menyorot data Jabatan Perangkaan Malaysia 2024 yang menunjukkan kadar kemiskinan luar bandar berada pada tahap 10.0%, jauh lebih tinggi berbanding 3.7% di kawasan bandar.
Tawfik mencadangkan formula peruntukan berasaskan sekurang-kurangnya empat komponen iaitu peruntukan asas, jumlah penduduk, tahap kemiskinan, dan faktor geografi.
“Ini selari dengan prinsip bahawa peruntukan adalah untuk pembangunan rakyat, bukan ganjaran kepada Ahli Parlimen,” katanya.
Kelmarin, DAP menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyediakan peruntukan yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen dan seterusnya menggubal undang-undang bagi menjamin peruntukan itu secara kekal.
Pengerusi DAP Gobind Singh Deo berkata undang-undang yang mewajibkan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen akan menghapuskan unsur budi bicara politik dalam pengagihan peruntukan pembangunan kawasan serta melindungi hak pengundi.
NGO proreformasi, Bersih menyahut gesaan itu dan menyeru kerajaan menggubal kerangka perundangan bagi menjamin semua Ahli Parlimen diberi peruntukan pembangunan kawasan berdasarkan prinsip kesaksamaan dan ketelusan, mewujudkan sistem pengagihan dana awam berasaskan formula, dan menyediakan garis panduan terperinci dan pekeliling berkaitan CDF.
Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan meneruskan gesaan dengan berkata prinsip kesaksamaan dalam pemberian dana perlu disertai pendekatan berkadaran mengikut jumlah pengundi, selain mengambil kira keadaan khusus setiap kawasan.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata peruntukan seharusnya diberi mengikut keperluan berbanding pemberian secara sekali beri (one-off) tanpa projek ataupun program yang hendak dilakukan, bagi memberi insentif kepada Ahli Parlimen melakukan sesuatu projek yang bermanfaat kepada penduduk.
“Saya rasa itu lebih adil dan itu akan membuatkan Ahli Parlimen bekerja lebih kuat, bekerja lebih keras untuk mendapatkan peruntukan,” katanya.
Azmi berkata memberi peruntukan sama rata kepada setiap kawasan merupakan teori yang elok “di atas kertas”.
“Tetapi kita ada 222 kawasan Parlimen dan mungkin satu kawasan Parlimen tu mungkin paling banyak dapat RM100,000,” katanya.
