kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
UniMAP Meterai MoU, Buka Peluang Kerjasama Dengan 165 IPT Indonesia
Kredit: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majelis Pendidikan Tinggi Penelitian dan Pengembangan Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Yogyakarta, sekali gus membuka akses kerjasama dengan 165 institusi pendidikan tinggi (IPT) di seluruh Indonesia.
Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata kerjasama strategik itu dijangka memberikan lonjakan kepada bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat universiti berkenaan menerusi jaringan luas institusi pendidikan tinggi Muhammadiyah.
Beliau berkata kerjasama tersebut membuka ruang kepada mobiliti pelajar, pertukaran staf dan ahli akademik, pengajian pascasiswazah, penyelidikan dan permohonan geran bersama, penerbitan serta penyeliaan bersama.
“Turut diterokai ialah penganjuran syarahan, simposium, seminar, persidangan, bengkel dan program pensyarah pelawat yang boleh memperkaya pengalaman akademik kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan pagi ini.
MoU itu ditandatangani oleh Zaliman bagi pihak UniMAP, manakala majlis pendidikan tinggi berkenaan diwakili oleh Pengerusinya Prof Dr Bambang Setiaji dengan disaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turut berangkat pada majlis makan malam di sini, malam tadi.
Pemeteraian MoU itu diadakan bersempena dengan Istiadat Pemasyhuran Raja Muda Perlis sebagai Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) pertama yang berlangsung di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), di sini semalam.
Zaliman berkata kerjasama tersebut turut menyediakan peluang kepada pensyarah daripada rangkaian Universitas Muhammadiyah untuk melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UniMAP selain meneroka pelaksanaan program ijazah dual.
Beliau berkata langkah itu bukan sahaja mampu meningkatkan mobiliti akademik, malah turut berpotensi memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi antara Malaysia dengan Indonesia.