Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Malaysia, Pakistan Cadang Meterai MoU Banteras Narkotik, Kukuh Kerjasama Keselamatan
Kredit: FB - Saifuddin Nasution Ismail
Cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama membanteras narkotik bakal menyediakan kerangka lebih tersusun untuk memperkukuh kerjasama sedia ada antara Malaysia dan Pakistan dalam menangani ancaman dadah semasa.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perbincangan mengenai MoU itu diadakan semasa lawatan beliau ke Ibu Pejabat Anti-Narcotics Force (ANF) Pakistan di Islamabad semalam, selain menerima taklimat daripada Ketua Pengarah ANF Mejar Jeneral Abdul Moeed.
Beliau berkata ancaman dadah kini semakin kompleks, khususnya peningkatan dadah sintetik seperti methamphetamine serta penglibatan rangkaian jenayah terancang transnasional yang beroperasi merentas sempadan.
“Kedudukan Pakistan yang berhadapan secara langsung dengan aliran dadah dari Afghanistan menjadikan kerjasama dengan negara ini penting kepada Malaysia, khususnya apabila laluan penyeludupan turut menjangkau Asia Timur dan Asia Tenggara.
"Kita tidak boleh menangani ancaman ini hanya dalam lingkungan sempadan negara atau rantau ASEAN,” katanya menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan lawatan rasmi selama dua hari ke Islamabad, Pakistan bermula Khamis (20 Ogos).
Saifuddin Nasution berkata dalam menghadapi rangkaian jenayah yang semakin canggih, kerjasama antara agensi penguatkuasaan tidak boleh sekadar di atas kertas, sebaliknya maklumat mesti dikongsi, risikan diterjemahkan kepada tindakan dan jaringan antarabangsa dimanfaat bagi memutuskan rantaian bekalan sebelum dadah sampai ke negara ini.
Beliau berkata Malaysia dan Pakistan mempunyai asas kerjasama operasi yang kukuh, termasuk lebih 28 kes pernah diselaraskan bersama antara 2012 dan 2018, justeru, fokus seterusnya adalah menggiatkan semula kerjasama tersebut melalui perkongsian risikan yang lebih aktif, operasi berasaskan risikan secara terselaras, latihan serta pertukaran kepakaran antara agensi kedua-dua negara.
Saifuddin Nasution turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Mohammad Ishaq Dar yang menyaksikan kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, kepentingan dialog dan diplomasi dalam menangani konflik, serta keperluan memperkukuh kerjasama antara negara Islam dalam menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi semasa.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi seperti perdagangan dan pelaburan, keterjaminan makanan termasuk potensi bekalan beras dan daging dari Pakistan, akses pasaran, serta usaha memperluas hubungan rakyat dengan rakyat melalui cadangan kemudahan visa.