combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,160
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,160
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Titah Agong Mengenai Rukun Negara Peringatan Tepat Pada Masanya - Pakar
Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz
Selepas lebih lima dekad diperkenalkan sebagai asas perpaduan negara, Rukun Negara dilihat masih belum dihayati sepenuhnya apabila isu berkaitan kaum, agama dan institusi negara terus menjadi polemik dalam ruang awam.
Dalam konteks ini, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengenai kepentingan mematuhi prinsip Rukun Negara disifatkan pakar sebagai peringatan yang tepat pada masanya agar rakyat kembali menghayati nilai kenegaraan yang menjadi asas keharmonian, kestabilan dan perpaduan negara.
Pakar perundangan dan perlembagaan Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata titah Seri Paduka Baginda itu selaras dengan kedudukan Rukun Negara sebagai falsafah negara yang menggariskan cita-cita nasional serta prinsip yang perlu didukung oleh setiap rakyat Malaysia.
"Oleh itu, mentaati Rukun Negara juga bererti menjunjung Institusi Diraja yang menjadi antara teras sistem kenegaraan negara.
"Titah Yang di-Pertuan Agong itu bertepatan dengan hasrat negara kerana Rukun Negara merupakan landasan penting dalam membentuk perpaduan, memperkukuh amalan demokrasi dan memandu rakyat menghayati lima prinsip yang terkandung di dalamnya," katanya kepada Bernama.
Terdahulu pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 itu merupakan aku janji dan ikrar setiap rakyat Malaysia untuk membina semula perpaduan kaum serta menjamin keharmonian masyarakat.
Sultan Ibrahim turut bertitah semua pihak perlu mengambil iktibar daripada peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang tercetus akibat tindakan segelintir pihak yang keterlaluan, menghina orang lain dan hilang rasa hormat terhadap bangsa serta kedaulatan negara.
Shamrahayu yang juga Pensyarah Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata setiap rakyat bertanggungjawab untuk mengetahui, memahami dan menghayati intipati Rukun Negara bagi merealisasikan aspirasi pembentukan sebuah negara yang bersatu padu.
Beliau berkata penghayatan terhadap prinsip itu menjadi semakin penting ketika masyarakat berdepan pelbagai cabaran termasuk penyebaran sentimen yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum serta keharmonian negara.