Semakan gaji pemegang jawatan politik tepat pada masanya untuk tubuh pasukan terbaik bagi SG dan rakyatnya: PM Wong
Perdana Menteri Lawrence Wong berucap kepada para wartawan semasa sidang media di MDDI pada 22 Julai 2026. (Foto: CNA/Raydza Rahman)
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong membentangkan laporan jawatankuasa semakan bebas mengenai gaji penyandang jawatan politik dan menjelaskan bagaimana pemerintah melaksanakan saranan-saranan tersebut pada Selasa (8 Sep). Ia dilakukan tepat pada masanya.
Gaji para penyandang jawatan politik tidak dilaraskan selama 15 tahun, yang ramai di antara kita akan mendapati tidak dapat dipertahankan jika keadaan itu berlaku pada kedudukan kewangan kita sendiri. Sepanjang tempoh itu, inflasi meningkat dengan pantas, dan dunia yang kita diami menjadi lebih kompleks dan rumit.
IKLAN
Lantaran itu, langkah tersebut perlu, seperti yang digambarkan oleh PM Wong dan Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing, sebagai "peluang yang lebih baik untuk membina pasukan terbaik untuk berkhidmat kepada Singapura dan rakyat Singapura".
Sungguhpun demikian, reaksi terhadap pengumuman itu, yang termasuk kenaikan gaji sehingga 9 peratus kepada sekitar S$1.2 juta setiap tahun untuk seorang menteri pada gred MR4 terendah, tidaklah mengejutkan.
Pengumuman tersebut mendapat maklum balas negatif dalam kalangan netizen yang mengecam apa yang mereka lihat sebagai gaji yang sangat tinggi dan semakin meningkat, pada masa kebimbangan kos sara hidup dan prospek geopolitik yang tidak menentu membebani fikiran ramai.
PM Wong sendiri berkata bahawa gaji penyandang jawatan politik adalah "isu yang sukar dan emosional", sebahagian besarnya kerana jumlah yang terlibat adalah lebih daripada yang diperoleh kebanyakan rakyat Singapura.
REALITI YANG SUKAR
IKLAN
Jurang antara apa yang boleh diperoleh oleh pemimpin yang cekap dalam sektor swasta dan perkhidmatan awam berbanding pemegang jawatan politik telah melebar dengan ketara.
PM Wong dan Encik Chan menjelaskan bagaimana gaji dalam sektor swasta dan awam telah meningkat dalam tempoh 15 tahun sejak pelarasan terakhir pada tahun 2011 - dan perlu diingat bahawa gaji menteri dipotong sebanyak 37 peratus dan bukan dinaikkan.
Pada masa yang sama, pengorbanan asas yang diperlukan daripada mereka yang memilih untuk menceburi bidang politik dan keluarga mereka kekal tidak berubah. Pada masa yang sama juga, persekitaran politik di Singapura menjadi lebih tegang sementara dunia pula menjadi semakin kompleks.
Tumpuan awam terhadap ahli politik juga semakin meningkat akibat media digital dan media sosial, dan dengan pengundi yang lebih matang dan landskap politik yang sudah berubah bermakna lebih banyak tuntutan terhadap mereka.
Jika kita menghadapi tuntutan yang serupa dalam pekerjaan kita sendiri, kita menjangkakan akan diberi pampasan yang setimpal. Tetapi perkhidmatan dalam bidang politik, tidak seperti pekerjaan biasa.
IKLAN
Terdapat jangkaan bahawa mereka yang menceburi bidang politik berbuat demikian atas dasar yang lebih mendalam dan keinginan untuk berkhidmat kepada negara, dan bukan sekadar keinginan untuk gaji yang lebih baik. Malah, Encik Chan menyatakan dengan jelas: “Jika wang adalah sebab utama anda ingin menjadi Menteri, secara terus terang, anda bukanlah orang yang kami cari.”
Itulah sebabnya jawatankuasa semakan terkini mengesahkan beberapa prinsip utama rangka kerja gaji penyandang jawatan politik: penggunaan penanda aras pasaran bagi pendapatan tahunan median 1,000 penerima pendapatan tertinggi Singapura untuk memastikan penanda aras pasaran mencerminkan etos perkhidmatan dalam bidang politik.
Ini mencerminkan realiti yang sukar. PM Wong memperincikan dalam ucapannya tentang cabaran yang dihadapinya untuk menarik bakat terbaik daripada sektor swasta dan perkhidmatan awam menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025): “Kita tidak boleh berpura-pura seolah-olah kos lepas (ooportunity cost) tidak wujud.”
TUGAS PENGIMBANGAN YANG SUKAR
Dengan ini sebagai latar belakang, seseorang mungkin tertanya-tanya sama ada pelarasan yang disarankan oleh jawatankuasa semakan itu sudah memadai.
IKLAN
Dengan mengambil gaji penanda aras baharu untuk menteri gred MR4 sebanyak S$1.8 juta, ini membentuk kadar pertumbuhan pendapatan tahunan kompaun sebanyak 3.6 peratus dari 2011 hingga 2025, lebih rendah daripada pendapatan rakyat Singapura pada persentil dan median ke-20.
Walau bagaimanapun, perdana menteri telah memilih untuk tidak melaksanakannya sepenuhnya untuk pemegang jawatan politik sedia ada. Mereka akan menerima pelarasan sekali sahaja sehingga 9 peratus bergantung kepada keadaan tertentu, termasuk prestasi.
Pada peringkat tertinggi pelarasan ini, seorang menteri gred MR4 mungkin menerima kenaikan kira-kira S$100,000 berbanding rakan sejawatannya 15 tahun yang lalu.
Walaupun tiada penjelasan yang diberikan secara jelas atas penyederhanaan ini, tidak sukar untuk membayangkan bahawa ia boleh bertujuan untuk memastikan pelarasan tersebut sesuai dan boleh dipertahankan dari segi politik. Ini amat penting bagi Singapura, lebih-lebih lagi dengan penekanan terhadap ketelusan dalam hal gaji penyandang jawatan politik. Satu lagi prinsip teras rangka kerja gaji penyandang jawatan politik ialah keperluan untuk menawarkan gaji bersih, tanpa faedah tersembunyi, insentif, bonus dan pencen.
Tumpuan terhadap ketelusan ini telah menjadi ciri utama sistem politik Singapura, tetapi ia menimbulkan kemungkinan hasil yang tidak diingini.
Singapura perlu terus membawa masuk pemimpin yang cekap untuk menerajui negara di tengah-tengah persekitaran global yang semakin rumit, di samping memastikan dasar dan sistem politik Singapura terus mengutamakan kepentingan negara ini.
Semakan gaji pemegang jawatan politik tepat pada masanya untuk tubuh pasukan terbaik bagi SG dan rakyatnya: PM Wong
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong membentangkan laporan jawatankuasa semakan bebas mengenai gaji penyandang jawatan politik dan menjelaskan bagaimana pemerintah melaksanakan saranan-saranan tersebut pada Selasa (8 Sep). Ia dilakukan tepat pada masanya. Gaji para penyandang jawatan politik...