BTC USD 75,698.5 Gold USD 4,346.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Gaji politik lebih tinggi tingkat peluang pikat bakat berkebolehan: PM Wong

Bob_SG

Fun Poster
Messages
719
Joined
Jun 14, 2025
Messages
719
Reaction score
2
Points
25

Gaji politik lebih tinggi tingkat peluang pikat bakat berkebolehan: PM Wong​

screenshot_2026-09-08_141926.jpg

Perdana Menteri Lawrence Wong menyampaikan kenyataan menteri di parlimen pada 8 September 2026. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Singapura perlu menaikkan gaji pemegang jawatan politik untuk mempunyai “peluang yang lebih baik” dalam meyakinkan rakyat Singapura yang berkebolehan supaya tampil menyertai politik, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (8 Sep). Beliau memberi amaran bahawa jurang antara gaji politik dengan sektor swasta berisiko menyukarkan pembaharuan kepimpinan.

Ketika mengumumkan pelarasan gaji menteri menyusuli semakan oleh sebuah jawatankuasa bebas, PM Wong memberitahu parlimen bahawa beliau memahami mengapa rakyat Singapura memberi perhatian khusus kepada gaji politik, memandangkan jumlahnya lebih tinggi daripada pendapatan kebanyakan rakyat.

IKLAN

“Namun, kita mengamalkan sistem yang terbuka dan percaya kepada ketelusan dalam soal gaji menteri. Kita tidak boleh mengelakkan isu ini hanya kerana ia mencabar dari segi politik,” kata beliau.

Perubahan tersebut akan memberi beliau dan perdana menteri pada masa depan peluang yang lebih baik untuk membentuk pasukan yang seteguh mungkin, tambah Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Menjelang Pilihan Raya Umum lalu, beliau mendekati beberapa setiausaha tetap kanan yang disifatkannya sebagai mempunyai perwatakan dan potensi untuk menjadi pemimpin politik. Beliau berkata pengalaman para individu tersebut membolehkan mereka mengambil alih portfolio utama dengan cepat.

“Pada akhirnya, tiada seorang pun yang bersedia untuk membuat peralihan itu. Namun, saya berjaya membawa masuk pegawai lebih muda yang mempunyai potensi besar dan tempoh lebih panjang untuk berkembang, seperti Jeffrey Siow, David Neo dan Jasmin Lau,” kata beliau.

Berhubung peralihan kepimpinan, Encik Wong berkata Menteri Kanan Lee Hsien Loong sebelum ini berharap untuk menyerahkan jawatan perdana menteri lebih awal, namun beberapa perkembangan yang tidak dijangka berlaku, termasuk serangan angin ahmar yang dialami mantan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan pandemik COVID-19.

IKLAN

Apabila mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri, beliau sedar bahawa pembaharuan kepimpinan perlu dilakukan dengan segera, katanya. “Dan pengurangan gaji politik pada 2012, disusuli 15 tahun tanpa pelarasan kepada gaji tanda aras, tidak menjadikan tugas tersebut lebih mudah.”

Tiga anggota kabinet paling kanan, kata beliau, ialah Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong, Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan. Ketiga-tiganya menerajui kementerian-kementerian utama dan akan mencecah usia 70 tahun ke atas menjelang penggal pemerintah seterusnya.

“Kita tidak seharusnya merancang dengan andaian bahawa mereka akan terus menerajui kementerian-kementerian tersebut ketika itu. Demi kebaikan pasukan dan kekuatan institusi kita, generasi seterusnya perlu mengambil alih,” kata Encik Wong, sambil menambah bahawa ketiga-tiga menteri itu menggesanya supaya menyediakan rancangan penggantian.

Para pengganti yang sudah bersedia untuk mengambil alih tugas menteri pada tahap yang dilakukan mereka amat sukar untuk dicari, katanya. PM Wong menambah bahawa beliau berdepan cabaran yang sama untuk mencari penggantinya di Kementerian Kewangan.

Usaha merekrut daripada perkhidmatan awam juga semakin sukar, kata beliau, dan cabarannya lebih besar dalam sektor swasta.

IKLAN

MEREKRUT DARIPADA SEKTOR SWASTA

Apabila gaji menteri mula dinaikkan pada 1970, Perdana Menteri ketika itu Lee Kuan Yew memberitahu parlimen bahawa salah satu sebabnya adalah untuk membolehkan beliau melantik Hon Sui Sen, yang ketika itu mengetuai Development Bank of Singapore, sebagai Menteri Kewangan.

Sejak itu, usaha membawa masuk individu yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor swasta menjadi semakin mencabar, kata PM Wong.

“Ini penting kerana kita tidak boleh membina kepimpinan politik kita daripada perkhidmatan awam sahaja. Saya mahukan individu dalam Kabinet yang menghabiskan sebahagian besar kerjaya mereka dalam perniagaan atau bidang profesional lain, khususnya mereka yang berpengalaman mengendalikan pertubuhan besar dan menyelia sistem yang rumit,” tambah beliau.

Calon-calon sedemikian biasanya merangkumi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat utama Singapura yang disenaraikan di bursa dalam sektor perbankan, telekomunikasi, penerbangan, kejuruteraan dan sektor lain, serta individu yang berpotensi memegang jawatan sedemikian, kata PM Wong.

IKLAN

Gaji mereka boleh mencecah beberapa juta dolar setahun – masih jauh lebih tinggi daripada gaji politik yang disemak semula, kata beliau.

“Kita tidak cuba untuk menyamai pendapatan mereka. Kita tidak akan berbuat demikian. Namun, apabila kita mendekati individu berkaliber sedemikian, kita tidak boleh berpura-pura bahawa tiada kos dari segi peluang yang perlu mereka tanggung,” kata Encik Wong.

Menjelang Pilihan Raya Umum lalu, beliau turut berbincang dengan beberapa CEO dan pemimpin kanan perniagaan yang menerima pendapatan beberapa kali ganda lebih tinggi daripada gaji seorang menteri dan yang menurutnya mampu memberi sumbangan besar.

Tiada seorang pun secara langsung menyatakan gaji sebagai sebab mereka menolak tawaran tersebut, kata beliau, namun itu tidak bermakna soal imbuhan tidak relevan. Seperti setiausaha tetap, tiada seorang pun bersedia untuk membuat peralihan tersebut.

Dari sudut pandangan mereka, individu-individu tersebut sudah menghabiskan bertahun-tahun membina kerjaya yang berjaya, katanya. “Kita meminta mereka untuk meninggalkan semua itu. Menerima pengurangan pendapatan yang besar, bertanding dalam pilihan raya tanpa jaminan akan menang dan bermula semula dalam persekitaran yang baharu sama sekali.”

Pengorbanan itu bukan sekadar dari segi kewangan, tambah PM Wong, sambil menyatakan bahawa kehidupan dalam politik turut memberi kesan besar kepada keluarga. Tiada pelarasan gaji yang dapat mengimbangi pengorbanan tersebut dan itu juga bukan tujuannya.

“Tujuan imbuhan jauh lebih sederhana: untuk memastikan bahawa di samping semua pengorbanan lain ini, kita tidak menjadikan rintangan kewangan lebih besar daripada yang diperlukan.”

Menurut beliau, inilah isu yang dihadapi parlimen dalam perbahasan mengenai semakan gaji politik.

“Ia bukan sekadar mengenai berapa banyak kita membayar menteri hari ini. Ia tentang sama ada perdana menteri pada masa depan akan terus mempunyai peluang yang realistik untuk meyakinkan rakyat Singapura yang berkebolehan – daripada perkhidmatan awam, sektor swasta dan pelbagai lapisan masyarakat – supaya tampil ke hadapan dan membentuk pasukan bertaraf tinggi untuk berkhidmat kepada Singapura dan rakyat Singapura.”

KEPIMPINAN POLITIK PENTING

Dalam perbahasan terakhir berhubung gaji politik pada 2012, Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) mengusulkan formula berbeza, namun kadar gaji yang terhasil secara umumnya berada dalam julat yang sama, kata PM Wong.

Kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa gaji politik harus telus dan cukup berdaya saing untuk memikat individu berkaliber yang diperlukan, di samping mengambil kira pengurangan gaji yang ketara yang mencerminkan perkhidmatan awam.

Sejak itu, pemerintah beberapa kali menangguhkan pelarasan. Sebuah jawatankuasa semakan bebas menyarankan kenaikan pada 2017, namun pemerintah tidak melaksanakannya, manakala satu lagi semakan yang dijadualkan pada 2023 pula ditangguhkan.

Atas sebab itu, kadar gaji pemegang jawatan politik tidak berubah selama 15 tahun, sedangkan gaji dalam sektor swasta, perkhidmatan awam dan badan kehakiman terus meningkat, kata PM Wong.

Akibatnya, gaji menteri semakin ketinggalan, kata beiau. Walaupun jurang itu paling ketara jika dibandingkan dengan sektor swasta, sesetengah setiausaha tetap kanan kini menerima gaji lebih tinggi daripada para menteri.

Terdapat sebab kukuh untuk menangguhkan pelarasan setiap kali ia dipertimbangkan, kata Encik Wong. “Dari segi politik, lebih mudah bagi saya membiarkan keadaan seperti sedia ada. Namun, itu bukan perkara yang betul untuk dilakukan.”

Sesetengah pihak mungkin berhujah bahawa perkhidmatan awam bertaraf tinggi Singapura mampu memastikan sistem terus berjalan, katanya. Namun, perkhidmatan awam yang kukuh tidak boleh menggantikan kepimpinan politik yang berkesan – malah mutu kepimpinan politik turut mempengaruhi perkhidmatan awam.

Para menteri memerlukan perwatakan – integriti, nilai dan komitmen untuk berkhidmat – selain kecekapan, dan di sinilah soal imbuhan menjadi relevan, kata Encik Wong.

“Ia tidak menentukan siapa yang berkebolehan. Namun, ia mempengaruhi sama ada cukup ramai individu berkebolehan bersedia untuk tampil dan memikul tanggungjawab tersebut.”

Pemerintah di negara lain sering mengetahui apa yang perlu dilakukan tetapi menangguhkan keputusan yang sukar disebabkan oleh kesan politik serta-merta, kata beliau. Singapura mempunyai ruang yang lebih terhad untuk berbuat demikian memandangkan saiz dan kekurangan kelebihan semula jadinya.

Singapura mempunyai pasukan menteri yang kukuh, yang mampu membuat pertimbangan, mempertahankan pendirian dan meraih kepercayaan awam, kata PM Wong. Namun, individu sedemikian tidak mudah untuk dicari.

Oleh itu, usaha membina dan memperbaharui pasukan politik yang kukuh memerlukan usaha berterusan, kata beliau, dan sistem yang ada perlu terus menyediakan perdana menteri pada masa depan peluang sebaik mungkin untuk membentuk pasukan sedemikian.

SISTEM SINGAPURA

Membina dan memperbaharui kepimpinan politik bukanlah suatu cabaran yang hanya dihadapi Singapura, kata PM Wong.

Oleh sebab gaji politik merupakan isu yang sangat sensitif, banyak sistem menetapkan gaji rasmi pada kadar rendah tetapi membenarkan pelbagai manfaat dan keistimewaan lain. Ahli politik di negara lain mungkin menambah pendapatan menerusi kepentingan luar atau menerima ganjaran lebih besar selepas meninggalkan jawatan.

“Jadi, gaji yang tertera mungkin kelihatan sederhana, tetapi gambaran keseluruhannya jauh lebih rumit,” kata beliau.

Walaupun begitu, banyak negara yang mempunyai kumpulan bakat yang lebih besar masih bergelut untuk menarik para individu yang mereka perlukan atau membentuk pemerintah yang stabil, kata Encik Wong.

Singapura merupakan suatu pengecualian dan sering dijadikan contoh pemerintah yang berkesan. “Kita sudah mengekalkan piawaian ini begitu lama sehingga ia mungkin mula dianggap sebagai sesuatu yang lazim oleh rakyat Singapura. Namun, ia bukan sesuatu yang lazim di negara lain dan sudah tentu tidak terjamin di sini juga.”

Singapura mencapai keadaan tersebut menerusi pilihan yang dibuat secara sedar, termasuk menangani soal imbuhan politik secara terbuka, kata beliau.

Negara ini mengakui bahawa individu yang berkebolehan tinggi mempunyai pilihan lain di luar politik. “Jadi kita membayar pemegang jawatan politik gaji yang kompetitif, tetapi pada kadar yang jauh lebih rendah bagi mencerminkan perkhidmatan politik.”

Sebagai balasan, rakyat Singapura sememangnya meletakkan harapan yang tinggi daripada pemimpin politik mereka – dan jangkaan itu turut merangkumi Anggota Parlimen, kata PM Wong.

“Jika kita mahu sistem politik kita kekal berkesan, kita tidak boleh membiarkan syarat asas perkhidmatan menjadi semakin berbeza daripada realiti,” kata beliau. “Ini terpakai kepada elaun Anggota Parlimen. Lebih penting lagi, ia terpakai kepada gaji pemegang jawatan politik.”

 
Back
Top
Log in Register