Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Negara Perlu Lebih Ramai Bakat STEM Ke Arah Bina Malaysia Lebih Berdaya Tahan - PM Anwar
Malaysia memerlukan lebih ramai bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi membina masa hadapan negara yang lebih maju, berdaya saing dan berdaya tahan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia terus memperkukuh ekosistem yang membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk berkembang melalui universiti, penyelidikan, industri mahupun syarikat pemula niaga.
“Kita mahu idea yang lahir di sekolah hari ini berkembang menjadi penyelidikan, teknologi, inovasi dan perusahaan yang mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat serta mengangkat daya saing Malaysia di peringkat dunia.
“Sebab itu, Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) tidak seharusnya berakhir apabila piala disampaikan. Saya mahu bakat yang dikenal pasti melalui platform seperti ini terus dibangunkan dan diberikan laluan untuk pergi lebih jauh," kata beliau dalam ucapan sempena Peringkat Akhir NSC 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri di Institut Kesihatan Negara, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.
Anwar juga mahu MOSTI dan Akademi Sains Malaysia (ASM), bersama-sama Kementerian Pendidikan serta rakan strategik, menjadikan NSC sebagai satu laluan pembangunan bakat yang berterusan dan bukan sekadar acara tahunan.
Beliau berkata Malaysia tidak boleh selama-lamanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu menjadi negara yang mencipta, memiliki dan menguasai teknologi.
Perkara itu semakin penting memandangkan negara berdepan pelbagai cabaran termasuk keterjaminan makanan, bekalan tenaga, kesihatan awam, keselamatan air, perubahan iklim serta penggunaan kecerdasan buatan secara bertanggungjawab, kata beliau.
Beliau berkata pendidikan sains tidak boleh terhenti pada hafalan formula dan pencapaian peperiksaan, sebaliknya perlu membentuk pemikiran yang kritikal terhadap fakta, terbuka kepada idea, berani mencuba dan jujur apabila sesuatu percubaan tidak berjaya.