afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,226
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,226
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Beri penghormatan sama kepada semua agama, Suhakam ingatkan ahli politik
Suhakam kata permohonan maaf dalam perkara melibatkan sensitiviti agama hendaklah melangkaui usaha untuk menjawab kritikan awam.
Suhakam menegaskan bahawa tokoh agama, kitab suci dan amalan keagamaan tidak seharusnya dijadikan bahan seksual, diputarbelitkan atau digunakan sebagai hiburan politik, tanpa mengambil kira sama ada kenyataan dimaksudkan sebagai jenaka.
“Kepelbagaian Malaysia menuntut penghormatan yang sama terhadap semua agama,” menurut kenyataan.
“Mereka yang mengharapkan kepercayaan dan tradisi mereka sendiri dihormati hendaklah memberikan penghormatan yang sama kepada kepercayaan dan tradisi orang lain.”
Suhakam berkata permohonan maaf dalam perkara melibatkan sensitiviti agama hendaklah melangkaui usaha untuk menjawab kritikan awam, dan mengakui rasa terluka yang telah ditimbulkan.
Suruhanjaya itu menyeru pihak berkuasa hendaklah melaksanakan penilaian secara bebas dan tidak berat sebelah. Ia juga menyeru sebarang sekatan terhadap kebebasan bersuara hendaklah mematuhi undang-undang dan berkadaran, dan penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan secara konsiten dan tanpa pilih kasih.
Suhakam mengulas ‘jenaka’ yang dibuat oleh Ketua Umno Sepang, Noorazli Said, yang berkisar tentang seorang paderi dan seorang biarawati.
Kenyataan yang dibuat dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Umno pada Sabtu itu dikecam, dan laporan polis dibuat terhadapnya.
Noorazli menyatakan bahawa beliau memohon maaf dalam satu kenyataan di Facebook.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, menggesa pihak berkuasa menyiasat ucapan Noorazli di bawah Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan, serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
Aaaron berkata jenaka yang menyentuh institusi keagamaan, agamawan, kitab suci atau kepercayaan mana-mana penganut, tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dianggap sebagai perkara remeh, walau apa sekalipun niat di sebalik analogi.