kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,712
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,712
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Ahli Politik, Rakyat Perlu Hayati Titah Agong, Jadikan Semangat Rukun Negara Panduan - Fahmi
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ditemui media selepas Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.
Ahli politik dan rakyat umumnya perlu menghayati dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mengingatkan rakyat mengenai kepentingan menghayati semangat dan nilai Rukun Negara dalam kehidupan seharian, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata penegasan yang dizahirkan Sultan Ibrahim berhubung detik hitam dalam sejarah negara, iaitu peristiwa 13 Mei 1969, perlu diambil serius oleh semua pihak bagi memastikan kejadian sama tidak berulang serta semangat perpaduan dan keharmonian negara terus terpelihara.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menyifatkan titah Seri Paduka Baginda itu sebagai peringatan penting yang hadir tepat pada masanya dan wajar dijadikan panduan oleh semua pihak.
“Saya menjunjung kasih atas titah Tuanku dan saya percaya dalam kalangan ahli-ahli politik akan menjunjung titah Tuanku.
“Ini satu peringatan penting untuk kita semua. Saya percaya ramai di luar sana, dalam kalangan ahli politik juga, akan menjunjung titah Tuanku untuk mengambil semangat dan mendalami, memahami serta menghidupkan semangat Rukun Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat menyempurnakan istiadat berkenaan.
Dalam Titah Diraja, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan setiap rakyat supaya menghayati semangat Rukun Negara dan menegaskan bahawa mana-mana individu yang tidak mahu berpegang kepada prinsip tersebut tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia.
Seri Paduka Baginda turut bertitah agar semua pemimpin politik sentiasa menjaga adab dan tutur kata serta berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
