dloanman
CG Top Poster Club
- Messages
- 40,514
Top Poster #9
- Joined
- Apr 15, 2012
- Messages
- 40,514
- Reaction score
- 4,047
- Points
- 266
- Awards
- 1
Kos projek kerajaan jadi tinggi kerana campur tangan menteri, ahli politik
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi- Disember 2, 2022 @ 12:05pm[email protected]
Campur tangan ahli politik termasuk menteri dan timbalan menteri dalam urusan perolehan dan tender kerajaan diakui berlaku sehingga mengakibatkan banyak kontrak kerajaan berdepan pelbagai kesulitan untuk diselesaikan, Tan Sri Abdul Halim Ali. - Foto NSTP
KUALA LUMPUR: Campur tangan ahli politik termasuk menteri dan timbalan menteri dalam urusan perolehan dan tender kerajaan diakui berlaku sehingga mengakibatkan banyak kontrak kerajaan berdepan pelbagai kesulitan untuk diselesaikan.
Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali, berkata akibatnya dalam situasi tertentu, kerajaan terpaksa membayar jumlah lebih tinggi daripada kos sepatutnya.
Malah, katanya ada yang menekan dan mengugut Ketua Setiausaha (KSU), ketua jabatan dan Ketua Pengarah atau pihak yang menguruskan tender.
Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) itu mendedahkan campur tangan orang politik terhadap perolehan kerajaan biasanya tertumpu kepada kontrak rundingan terus.
DISYORKAN UNTUK ANDA
Harapan tinggi pada Kerajaan Perpaduan, serik 'peristiwa sedih 2018'
'Elak pilih kasih, campur tangan politik lantik anggota kerajaan'
Menteri berintegriti jamin perkhidmatan awam dihormati
Anggota Kabinet perlu tunjuk teladan urus kementerian
"Tak bersetuju dengan direct nego (rundingan terus), kerana direct nego ini, biasanya dipengaruhi politik dan kerana itu kerajaan tidak dapat sebut harga yang terbaik dan menjimatkan wang kerajaan," katanya dalam pertemuan dengan BH baru-baru ini.
Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali dalam temubual dengan wartawan BH di kediamannya di Bukit Damansara. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Abdul Halim pernah bertugas sebagai Timbalan KSU I di Kementerian Luar Negeri pada 1991 dan dinaikkan pangkat kepada KSU pada 1996. Pada Julai 1998, beliau dilantik sebagai KSN dan bersara pada Mac 2001.
Mesti patuhi peraturan
Beliau juga berkata, dalam peraturan pengurusan kewangan, sepatutnya semua mesti patuhi termasuk oleh orang politik.
"Contohnya, pemberian kontrak ada beberapa cara. Kontrak yang besar dan penting semuanya mengikut tender terbuka. Kita ada juga kontrak kecil yang diberi terus kepada kontraktor dan syarikat.
"Tapi ada beberapa syarat termasuk tak boleh ada campur tangan politik. Orang politik pun tak boleh terbabit dalam pemilihan kontraktor. Yang terbabit menentukan siapa menang tender adalah pegawai kerajaan, sama ada daripada kementerian atau jabatan teknikal contohnya seperti dari JKR (Jabatan Kerja Raya) yang mempunyai kepakaran dalam soal bangunan," katanya.
Abdul Halim berkata, dalam urusan pengendalian tender dan perolehan kerajaan, orang politik tidak dibenarkan campur tangan, termasuk mempengerusikan atau mengambil bahagian dalam jawatankuasa perolehan yang dibentuk.
"Orang politik termasuk menteri dan timbalan menteri tak boleh duduk (dalam jawatankuasa). Mempengerusikan mesyuarat pun tak boleh. Itu sudah jelas dalam peraturan. Tapi biasanya persaingan mendapatkan tender ini banyak tindakan lobi melobi.
"Orang melobi menteri, timbalan menteri. Jadi kita tak mahu oleh kerana hasil daripada lobi ini, pegawai tidak dapat menjalankan tugasnya dengan telus dan jujur," katanya.
Melobi untuk dapat tender
Beliau juga menjelaskan, kontraktor atau syarikat yang mahu mendapatkan tender akan menggunakan apa sahaja cara, termasuk melalui menteri untuk dapat sokongan dan melobi.
"Itu biasa. pejabat menteri beri sokongan. Sokongan itu kemudian dia beri kepada KSU minta pertimbangkan... tapi ikut dengan proses yang ada. Itu tidak apa. Bagi saya itu tidak salah.
"Yang salahnya adalah menggunakan tekanan kepada ketua jabatan, KSU, ketua pengarah atau sesiapa sahaja yang menguruskan tender itu. Kadang-kadang ada juga ugutan. Ini kita rasa tidak patut dan bertentangan dengan konsep atau prinsip ketelusan dan integriti," katanya.
Beliau berkata, pegawai dan penjawat awam mesti dibenarkan menjalankan tugas dengan mengikut peraturan dan prosedur ditentukan serta mengelak untuk mereka berdepan sebarang tekanan.
"Tekanan atau ugutan yang digunakan kepada ketua jabatan supaya dia memihak kepada sesuatu pihak. Itu merugikan kerajaan sendiri.
"Kalau biarkan itu berterusan kemungkinan harga tender itu lebih besar daripada yang sepatutnya. Itu merugikan, jadi kerajaan tidak dapat value for money," katanya.
Pembabitan politik gugat kelancaran pentadbiran awam
Campur tangan berterusan menteri dalam pelantikan perkhidmatan awam mengundang pelbagai kerumitan dalam urusan pentadbiran kerajaan, mengakibatkan ketirisan wang negara terus berlaku hingga kini.
Abdul Halim berkata, campur tangan berlaku dalam beberapa senario, termasuk berkaitan urusan penempatan dan kenaikan pangkat pegawai serta kakitangan dalam kementerian atau jabatan tertentu.
"Katalah dalam hal ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), bertanggungjawab dalam soal penempatan pegawai termasuk untuk tujuan latihan. Dia sudah ada perancangan untuk menempatkan pegawai berkenaan di kementerian atau jabatan tertentu.
"Tiba-tiba tidak dipersetujui oleh orang politik, atas satu sebab itu ia akan menggugat pengurusan perkhidmatan awam yang baik. Kita mahu satu perkhidmatan awam yang cekap, amanah," katanya.
Beliau berkata, jika wujud campur tangan begini, besar kemungkinan pegawai yang ditempatkan di mana-mana jabatan atas 'restu' orang politik ini, mereka akan dipengaruhinya untuk menyempurnakan tugas tertentu.
"Kita tidak mahu ini berlaku kerana kita beranggapan perkhidmatan awam yang baik adalah yang berkecuali dalam soal politik. Yang profesional, yang pakar dalam bidang tertentu dan dia dikehendaki memberi khidmat kepada kerajaan tanpa dipengaruhi oleh politik.
"Kerajaan menentukan dasar dan pegawai kerajaan akan melaksanakan. Tapi kalau ada campur tangan atas satu dua sebab, jadi pegawai itu tidak dapat berfungsi dengan efisien, cekap, bersih dan amanah," katanya.
Elak konflik dalaman
Beliau juga berkata menteri dan timbalan menteri serta pentadbiran awam perlu mempunyai sikap saling hormat menghormati dan sentiasa bekerjasama dalam menyempurnakan segala urusan kerajaan dan rakyat.
Katanya, kedua-dua pihak mesti memahami bidang tugas masing-masing bagi mengelak wujud konflik dalaman yang hanya akan menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan.
"Orang politik ada tanggungjawab dia masing-masing, kita perkhidmatan awam pun ada tanggungjawab kita iaitu untuk melaksana dasar yang sudah ditentukan oleh Parlimen atau Kabinet.
"Jadi orang politik dan pentadbiran awam mesti bekerjasama dalam suasana pengurusan tadbir yang baik. Dalam suasana di mana korupsi, rasuah tidak akan mempengaruhi pelaksanaan dasar yang sudah ditentukan," katanya.