Soalan : Sebentar tadi Tok Guru ada menyentuh mengenai perbezaan pendekatan antara ahl sunnah dan shiah. Pada hemat Tok Guru, bolehkah suatu hari nanti semua aliran ummat Islam kembali bersatu seumpama ketika zaman Rasulullah SAW?
Mik Aziz : Cerita pendekatan antara ahl sunnah dan shiah ini telahpun diusahakan oleh Imam Muhammad Abduh pada awal kurun yang lalu. Dan ada majalah yang tertentu seperti majalah at-Taqrib. Dan mengikut sumber yang saya percayai, sewaktu zaman Khomeini, telah banyak perkara-perkara yang menjadi perbalahan telah diketepikannya. Misalnya, sebelum Khomeini muncul, orang Iran yang pergi ke Makkah mereka tidak bersembahyang dibelakang Imam orang sunni, tetapi bila mari datang Khomeini, dia minta orang shiah sembahyang di belakang Imam Masjidil Haram. Ini satu pendekatan yang penting. Begitu juga masalah sujud sembahyang. Zaman dulu, orang shiah sembahyang atas sekeping tanah yang katanya di ambil dari Karbala, Iraq. Tetapi sekarang, ini ia semakin kurang dan semakin kurang. Ini perubahan yang tetap berlaku. Jadi, Insha'Allah, suatu masa nanti akan berlaku perdekatan bersama. Lebih lagi Amerika kini menjadi musuh bersama, maka mulailah kini wujud kerjasama seperti hubungan di antara Iran dan Arab Saudi yang suatu ketika dahulu begitu sekali genting. Kita berdoa kepada Allah SWT, mohon segala kumpulan Islam bersatu kerana kita berdepan dengan musuh bersama iaitu zionis, Israel dan Amerika.
Soalan : Sebentar tadi juga Tok Guru ada bercakap mengenai Ruhollah Khomeini. Jadi, kalau tidak keberatan, bolehkah Tok Guru berkongsi sedikit pandangan peribadi Tok Guru terhadap keperibadian, kepimpinan dan perjuangan beliau?
Nik Aziz : Saya kenal Khomeini hanya melalui pembacaan. Tetapi yang saya tertarik dengan beliau ialah meskipun dalam keadaan beliau berjubah, berserban dan berjanggut, beliau masih dapat masuk ke dalam medan politik dengan meninggalkan begitu banyak sekali kesannya; sampai ke peringkat bila dia balik dari buangan - ranap kerajaan yang dibentuk sebelum itu. Ranap semuanya itu kerana pengaruh yang ada padanya. Inilah yang saya tertarik dengan Khomeini. Lagi satu, bila beliau menang dan membentuk kerajaan, beliau tidak masuk campur pun dalam kuasa eksekutif, tetapi tugas itu beliau serahkan kepada budak-budak beliau. Inilah satu sejarah yang akan dikenang.
source:
http://www.kelatedaily.net/ver2/modules.php?name=News&file=article&sid=105