combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Sultan Nazrin Berkenan Terima Zakat Perniagaan Lebih RM18 Juta
--kredit Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM18,755,278.77 daripada enam syarikat korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) di Istana Kinta di sini hari ini.
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam kenyataan memaklumkan penyerahan zakat didahului Empayar Indera Sdn Bhd berjumlah RM200,000 dengan diwakili Pengurus Besarnya Datuk Hasrin Abdul Rahman.
Penyerahan disusuli Kumpulan Kewangan Islam Maybank diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Seri Khairussaleh Ramli berjumlah RM4.087 juta.
Dalam pada itu, zakat perniagaan berjumlah RM6,497,476.64 turut diterima daripada Lembaga Tabung Haji yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mustakim Mohamad serta Public Islamic Bank Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Syamsul Azuan Ahmad Fauzi dengan jumlah RM300,000.
Ia diikuti Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad Datuk Shamsul Ahmad yang menyalurkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM7.285 juta dan penyerahan zakat perniagaan diakhiri YP Nominees Holdings Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Rozita Ramli berjumlah RM385,802.13.
Sultan Nazrin kemudian berkenan menyerahkan zakat tersebut kepada Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Terdahulu, turut berlangsung majlis pengurniaan watikah kepada Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak Asmori Sa’ahari sebagai anggota MAIPk.
MAIPk turut memaklumkan sumbangan zakat diterima hari ini bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah malah menjadi lambang kepercayaan dan iltizam berterusan para pembayar zakat dalam memperkasakan agenda pembangunan ummah.
Menurut kenyataan itu, ZAPAR komited mengurus dan mengagihkan dana zakat secara cekap, telus dan berakauntabiliti agar manfaatnya dapat dirasai oleh golongan asnaf yang benar-benar memerlukan.