combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Raja Muda Selangor Berkenan Terima Zakat Perniagaan Rm11.48 Juta
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) berkenan menerima cenderahati daripada Pengasas D "'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman (dua, kanan) sebagai simbolik penyerahan wakalah pada Majlis Hi-Tea Bersama Pengeluar Zakat di Kelab Shah Alam hari ini. Turut hadir, Pengerusi Lembaga Zakat Selangor Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Khaidzir Shahari (kiri).
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM11.48 juta daripada 44 syarikat bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor).
Zakat Selangor menerusi kenyataan memaklumkan Majlis Hi-Tea Raja Muda Selangor Bersama Pengeluar Zakat yang berlangsung di Kelab Shah Alam itu turut menghimpunkan kira-kira 200 pengeluar zakat daripada pelbagai latar belakang, khususnya golongan usahawan muda.
Majlis berkenaan turut menyaksikan kerjasama kali kedua antara Zakat Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dalam mendekati pengeluar zakat, khususnya sektor korporat serta usahawan di samping menyokong usaha yayasan itu dalam pembangunan potensi, pendidikan dan keusahawanan dalam kalangan B40 serta asnaf.
Di samping itu, lima syarikat turut diiktiraf sebagai penerima Inisiatif Pengiktirafan Muzakki Zakat Selangor (IKTIRAF), iaitu D’Herbs Holdings Sdn Bhd, Bawal Sdn Bhd, Eskayvie Sdn Bhd, Wawa Global Sdn Bhd dan V’Asia Health & Beauty.
Sementara itu, YRMS turut menerima dana wakalah berjumlah RM400,000, iaitu RM300,000 daripada Worldwide Holdings Berhad dan RM100,000 daripada Tenaga Nasional Berhad bagi menyokong program kebajikan, pendidikan serta pembangunan yang diusahakan yayasan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor Mohd Khaidzir Shahari berkata inisiatif IKTIRAF yang dilaksanakan pihaknya adalah bagi menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan menunaikan zakat perniagaan secara konsisten, di samping memperkasakan lagi kutipan zakat perniagaan yang dilihat mempunyai potensi pertumbuhan besar berbanding jenis zakat lain di negeri itu.
“Dari segi statistik, zakat perniagaan adalah satu bidang yang masih boleh diperluas. Melalui IKTIRAF, kita memberikan pengiktirafan kepada syarikat yang membayar zakat perniagaan melebihi RM20,000 mengikut kategori berperingkat bermula daripada Gangsa hingga Berlian bagi bayaran RM1 juta ke atas,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Turut hadir Pengerusi Zakat Selangor Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, Pengerusi YRMS Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Timbalan Pengerusi Zakat Selangor Tan Sri Ambrin Buang dan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir.
Mohd Khaidzir berkata syarikat yang menerima pengiktirafan IKTIRAF diberikan hak penggunaan label itu pada produk mereka selama 18 bulan dan akan diperbaharui secara automatik apabila membuat pembayaran zakat pada tahun berikutnya.