Saidina Umar RA Membunuh Anak Perempuan Beliau
Teks Bahasa Melayu :
Saidina Umar RA memejamkan matanya. Anaknya itu ditendang masuk ke dalam lubang yang sudah siap digalinya, lalu anaknya itu menangis. Saidina Umar r.a tidak menghiraukan anaknya itu. Beliau menutup matanya dan berkata dalam hati : “Oh anakku yang comel dan bijak. Mengapa kamu dilahirkan sebagai seorang perempuan?”. Beliau menangis. Tangannya gementar dan tubuhnya menggigil. Sambil menahan kesedihan, tanah pasir terus dikambus sehingga anaknya itu tadi tenggelam dalam tanah.
Status : Palsu
Huraian:
- Menurut Syeikh Hasan al-Husaini, kisah ini palsu dan bertentangan dengan nas-nas yang sahih.
- Hadis sahih yang menunjukkan bahawa Saidina Umar RA tidak pernah menguburkan anak perempuannya hidup-hidup pada zaman jahiliah:
Daripada Nu’man bin Basyir r.a beliau berkata : Aku pernah mendengar Saidina Umar r.a berkata ketika ditanya tentang firman Allah SWT: “Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, “Apakah dosa yang menyebabkan mereka dibunuh?” (Surah al-Takwir, ayat 8 dan 9)
Saidina Umar r.a menjawab: “Qais bin Ashim pernah mendatangi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam seraya berkata, ‘Sesungguhnya aku pernah menguburkan hidup-hidup 8 orang anak perempuanku pada zaman jahiliah.’ Maka, Nabi Muhammmad sallallahu alaihi wasallam berkata: ‘Merdekakanlah seorang budak untuk setiap anak perempuan yang kamu kuburkan hidup-hidup sebagai kifarah dosa kamu.’
Qais bin Ashim menjawab, ‘Aku memiliki unta.’ Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam menyatakan, ‘Jika kamu mahu, bersedekahlah dengan seekor unta untuk setiap anak perempuan yang kamu kuburkan hidup-hidup.’ .”
(Hadis laporan al-Bazzar 1/60, al-Haithami berkata, “dan para pelapor (dalam isnad) al-Bazzar adalah para pelapor yang ada dalam Kitab al-Sahih (Bukhari dan Muslim), kecuali Husain bin Mahdi al-Ailiy, dia pelapor yang thiqah (dipercayai). (Majma’ al-Zawaid)
Hadis sahih yang dilaporkan oleh Umar RA ini menerangkan tentang kaffarah (penebus dosa) untuk mereka yang pernah menguburkan hidup-hidup anak perempuannya pada zaman jahiliah. Ketika Saidina Umar r.a melaporkan hadis tentang perbuatan Qais bin Ashim tadi, beliau tidak menceritakan tentang perbuatan dirinya menguburkan anak perempuan hidup-hidup.
Ini membuktikan bahawa Saidina Umar r.a tidak pernah menguburkan anak perempuannya hidup-hidup, sebagaimana laporan dusta dan batil yang tersebar luas dalam kalangan umat Islam.
Rujukan :
Majma’ al-Zawaid 7/283
sumber ilmu:
http://semakhadis.com/saidina-umar-r-a-membunuh-anak-perempuan-beliau/