combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
SPRM Bertekad Perkukuh Keyakinan Masyarakat Menerusi Tindakan, Hasil Siasatan
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertekad untuk memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap agensi itu menerusi tindakan berkesan dan hasil siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata justeru, agensi antirasuah itu akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan pelaksanaan tugas dan hasil kerja bagi mengelakkan persepsi negatif segelintir pihak terhadap badan berkenaan.
"Kita gunakan istilah ‘walk the talk’... kita buktikan melalui apa yang kita lakukan... kita buktikan melalui tindakan kita, produk kita dan sebagainya... kita ketepikan apa orang nak kata... tugas kita ialah menyiasat sesuatu aduan dan sudah pasti orang yang disiasat itu tidak akan suka kita.
"Namun, selagi kita melaksanakan tugas berlandaskan landasan yang betul serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan, kita tidak perlu berasa takut atau gentar,” katanya dalam Audio Siar Kolar Hitam: Bukan Sekadar Operasi yang disiarkan di YouTube SPRM hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mencampuri atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mempengaruhi sesuatu siasatan kerana perbuatan itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 48 Akta SPRM 2009.
"Setiap individu mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan kita tidak boleh menafikan hak tersebut kerana ia sebahagian daripada hak asasi.
"Bagaimanapun, setiap hak mempunyai batasan dan ruang lingkupnya, justeru orang ramai tidak seharusnya mengeluarkan komen yang melampaui batas khususnya ketika sesuatu kes masih dalam siasatan,” katanya.
Meskipun sesuatu siasatan itu selesai, beliau berkata orang ramai disaran mengawal komen yang dibuat agar tidak dilihat sebagai mencampuri, prejudis atau mempengaruhi proses siasatan sehingga menjejaskan kelancarannya.
Dalam pada itu, Abdul Halim berkata selepas kira-kira dua bulan memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau mendapati sememangnya mutu kerja yang ditunjukkan oleh para pegawai dan kakitangan khususnya pegawai penyiasat berada pada tahap sangat baik malah bertaraf dunia.