SG, Indonesia lancar inisiatif alumni pertahanan perkukuh hubungan ketenteraan dua hala
Menteri Pertahanan Chan Chun Sing dan Menteri Pertahanan Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin bersama pegawai-pegawai lain semasa pelancaran Inisiatif Alumni Pertahanan Indonesia-Singapura (INDOSIN) di Jakarta, Indonesia, pada 14 Julai 2026. (Gambar: Kementerian Pertahanan)
SINGAPURA: Singapura dan Indonesia melancarkan inisiatif alumni pertahanan baharu pada Selasa (14 Jul) bagi menghimpunkan generasi pegawai tentera kedua-dua negara yang pernah mengikuti kursus dan latihan bersama.
Menteri Pertahanan Singapura Chan Chun Sing dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin, melancarkan Inisiatif Alumni Pertahanan Indonesia-Singapura (INDOSIN) di Jakarta, di mana kedua-dua menteri turut menandatangani arahan penubuhan alumni itu dan melancarkan logonya, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF).
IKLAN
Inisiatif tersebut dikenali sebagai Persahabatan Alumni Pertahanan (PERSAHAN), yang menggabungkan perkataan Indonesia bagi "persahabatan" dan "alumni pertahanan".
Panglima Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Panglima Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI) akan menjadi presiden bersama persatuan alumni itu bagi membimbing perancangan dan aktivitinya, menurut MINDEF.
Presiden bersama itu juga boleh mempelawa pegawai-pegawai lain daripada SAF dan TNI yang sudah memberikan sumbangan besar kepada hubungan dua hala antara kedua-dua angkatan tentera.
Keanggotaan persatuan alumni itu turut merangkumi atase pertahanan sedia ada dan bekas atase pertahanan yang pernah berkhidmat di Singapura dan Indonesia.
Majlis pelancaran itu dihadiri para pegawai SAF dan TNI daripada pelbagai kohort kursus ketenteraan profesional, mencerminkan hubungan rapat yang sudah dibina antara kedua-dua angkatan tentera sejak beberapa dekad lalu.
IKLAN
Ketua Angkatan Pertahanan Indonesia, Jeneral Agus Subiyanto, berkata "ia suatu penghormatan dapat menghadiri pelancaran inisiatif tersebut, yang akan mengukuhkan hubungan antara para anggota TNI dengan SAF serta kedua-dua institusi itu pada masa depan".
Dalam satu pertemuan, kedua-dua menteri turut mengesahkan komitmen untuk bekerjasama rapat dan meneroka bidang baharu kerjasama dua hala, kata MINDEF.
Kedua-dua pihak juga bersetuju mengenai pentingnya meneruskan kerjasama menerusi platform berbilang hala seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).
Encik Chan berada di Indonesia dari Selasa hingga Rabu. Sepanjang lawatan itu, beliau turut menghadiri Majlis Resepsi Hari SAF, acara diplomatik dan ketenteraan tahunan anjuran Pejabat Atase Pertahanan Singapura.
SG, Indonesia lancar inisiatif alumni pertahanan perkukuh hubungan ketenteraan dua hala
SINGAPURA: Singapura dan Indonesia melancarkan inisiatif alumni pertahanan baharu pada Selasa (14 Jul) bagi menghimpunkan generasi pegawai tentera kedua-dua negara yang pernah mengikuti kursus dan latihan bersama. Menteri Pertahanan Singapura Chan Chun Sing dan rakan sejawatnya dari Indonesia...