afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Sejauh mana kenyataan kontroversi Sanusi jejas sentimen pengundi?
Kenyataan Sanusi Nor dianggap menyinggung perasaan sesetengah pihak namun penganalisis percaya ia tidak akan memberi kesan besar terhadap sentimen pengundi.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata masyarakat Cina sememangnya sejak sekian lama kurang menerima PAS, manakala Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia percaya corak pengundian orang Melayu tidak akan berubah secara besar-besaran.
Secara umumnya, penganalisis berpendapat kenyataan pemimpin PAS itu menyukarkan usaha Barisan Nasional (BN) untuk meluaskan sokongan di luar kelompok pengundi Melayu.
Mereka juga bersetuju kontroversi itu menyerlahkan perbezaan antara BN dan rakan kerjasamanya, Perikatan Nasional (PN).
Pada 23 Julai lalu, Sanusi menyifatkan ‘Tanah Melayu’ sebagai satu-satunya tanah air orang Melayu, berbeza kaum lain, yang memberi tanggapan kelompok itu boleh kembali ke negara asal nenek moyang masing-masing.
Kenyataan itu mendorong Pengerusi BN Zahid Hamidi meminta pengarah pilihan raya PN berkenaan menumpukan perhatian kepada pentadbiran Kedah dan tidak lagi berkempen di Negeri Sembilan.
Sanusi bagaimanapun menafikan kenyataan itu sebagai saranan supaya kaum Cina dan India berbuat demikian.
Hisommudin berkata, kenyataan Sanusi mungkin merumitkan kempen BN, khususnya di kawasan cuba dirampas semula MCA dan MIC daripada komponen Pakatan Harapan (PH), iaitu DAP dan PKR.
“Kenyataannya menyebabkan pengundi Cina dan India menjauhkan diri daripada BN kerana kerjasama pilihan rayanya dengan PN, khususnya PAS,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, kontroversi itu turut menimbulkan rasa kurang senang di kalangan sebahagian penyokong Umno, ketika PAS semakin dilihat hanya menumpukan usaha mengukuhkan sokongan pengundi Melayu.
“BN secara tradisinya menampilkan dirinya sebagai gabungan berbilang kaum. Imej itu kini terjejas akibat strategi politik yang hanya tertumpu kepada usaha meraih sokongan orang Melayu,” katanya.
Menurutnya, kekecewaan Zahid boleh difahami kerana kontroversi itu mengganggu momentum dibina BN sejak kemenangan PRN Johor, apabila gabungan itu memperoleh sokongan daripada pelbagai kaum.
Katanya, cabaran BN sekarang adalah untuk memperluas sokongan berkenaan.
“Saya melihat BN dan PN berdepan cabaran dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu.
“Pengundi Cina masih sukar menerima PAS manakala ramai pengundi India masih berhati-hati dengan kenyataan keras parti itu dalam isu seperti rumah ibadat,” katanya.
Hisommudin berkata, cabaran itu mungkin menjadi lebih besar sekiranya BN dan PN mahu membentuk kerjasama politik yang lebih luas menjelang pilihan raya umum akan datang.
Buat masa ini, katanya, kerjasama itu disatukan oleh satu matlamat bersama, iaitu menewaskan PH di kawasan majoriti Melayu.
Namun, beliau memberi amaran persefahaman itu akan berdepan ujian lebih besar sekiranya kerjasama berkenaan diperluas ke negeri yang dikuasai PAS.
“Apabila mereka bergerak ke negeri didominasi PAS seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, persefahaman itu akan diuji,” katanya.
Laluan sukar menanti
Syaza pula berkata, BN dan PN mungkin boleh mentadbir bersama, tetapi kerjasama itu tidak akan terlepas daripada perselisihan.
“Mereka boleh bekerjasama seperti BN dan PH sekarang. Mereka boleh mempertahankan kerjasama itu pada tahap minimum diperlukan, tetapi perbezaan pendapat tetap akan timbul,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua gabungan itu mempunyai matlamat politik yang berbeza.
“PN akan sentiasa menyampaikan mesej kepada kelompok penyokong Melayu-Islamnya manakala BN masih melihat dirinya sebagai gabungan berbilang kaum.”
Menurut Syaza, pengundi Melayu biasa yang sudah menyokong kerjasama BN-PN dijangka kekal bersama gabungan itu kerana naratif penyatuan ummah dan keutamaan kepada orang Melayu.
“Pengundi bukan Melayu mungkin tidak lagi mengundi DAP seperti sebelum ini, tetapi sekiranya mereka juga tidak beralih kepada MCA dan MIC, keadaan itu tetap memberi kelebihan kepada DAP,” katanya.
Kesan bercampur buat PH
Hisommudin berkata, naratif sama yang mengukuhkan BN-PN di kawasan majoriti Melayu turut membuka peluang kepada PH di kawasan lain.
Walaupun PH masih bergelut mendapat sokongan di kerusi majoriti Melayu, kenyataan Sanusi membantu DAP dan PKR mengekalkan sokongan di banyak kawasan majoriti Cina dan kerusi campuran kerana pengundi bukan Melayu semakin keberatan menyokong MCA dan MIC.
“Kesannya adalah pertandingan menjadi semakin terpolarisasi, apabila peningkatan sokongan Melayu kepada BN-PN diimbangi penolakan dalam kalangan pengundi bukan Melayu,” katanya.
Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat kesan kontroversi itu telah diperbesar-besarkan.
Beliau berkata, PAS hanya mahu menunjukkan parti itu memainkan peranan utama dalam kerjasama BN-PN.
“Apa yang dikatakan Sanusi bukan sesuatu yang mengejutkan. Begitulah cara kepimpinan PAS berkempen, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu,” katanya.
Secara keseluruhannya, keadaan itu menggambarkan satu ‘paradoks gabungan’, kata Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting.
“Dua pihak bersatu untuk menewaskan musuh bersama, tetapi mula bersaing sesama sendiri apabila kuasa semakin hampir untuk dicapai,” katanya.
Menurutnya, selepas kuasa diperoleh, kedua-dua pihak akan berebut untuk menjadi rakan dominan dalam kerjasama itu.
“Musuh dari luar menyatukan mereka, tetapi persaingan sebenar akan muncul dalam kerjasama itu sendiri,” katanya.
