combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,151
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,151
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
RM6.7 Juta Perkukuh Agenda Sosioekonomi Masyarakat India Melalui Inisiatif MITRA - Ramanan
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan pada sidang media sempena majlis penyampaian Geran tuisyen MADANI, UYARVU MADANI dan DHARMA MADANI hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia Reveendran Nair K.Kesavan Nair (kanan).
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Peruntukan RM6.7 juta bagi melaksanakan tiga inisiatif utama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh agenda pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata pelaksanaan inisiatif Program Tuisyen MADANI, Uyarvu MADANI dan Dharma MADANI akan memberi manfaat secara langsung kepada pelajar, usahawan serta rumah ibadat Hindu di seluruh negara.
Beliau berkata Program Tuisyen MADANI 2026 melibatkan 28 pusat tuisyen di tujuh negeri, dengan 2,343 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima manfaat menerusi kelas tuisyen percuma selama lima bulan bermula Ogos hingga Disember ini.
“Program yang membabitkan peruntukan RM2.63 juta ini bertujuan meningkatkan pencapaian akademik, mengurangkan jurang pendidikan serta meringankan beban kewangan keluarga.
“Menerusi Program Geran Usahawan India B40/M40 (Uyarvu MADANI) Siri I 2026 pula, sebanyak128 usahawan dipilih menerima geran berjumlah lebih RM3.05 juta di bawah kategori mikro, pertumbuhan dan berimpak tinggi,” katanya pada Majlis Penyampaian Tuisyen MADANI, Uyarvu MADANI dan Dharma MADANI hari ini.
Beliau berkata bantuan itu bertujuan membantu usahawan meningkatkan kapasiti operasi, memperkukuh daya saing serta memperluas pasaran, sekali gus menyumbang kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masyarakat India.
Selain bantuan geran melalui MITRA, Ramanan berkata usahawan dalam kalangan masyarakat India juga boleh memohon bantuan geran perniagaan menerusi agensi lain seperti SME Bank, Bank Rakyat dan Amanah Iktiar Malaysia.
Beliau berkata bagi Program Dharma MADANI siri empat pula, sebanyak 52 rumah ibadat Hindu menerima peruntukan keseluruhan RM1.04 juta, manakala 324 rumah ibadat Hindu lain akan menerima geran berkenaan dalam masa terdekat, menjadikan jumlah keseluruhan penerima bagi siri berkenaan adalah 676.
Sementara itu, mengulas mengenai peletakan jawatan Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Ramanan yang juga Naib Presiden PKR berkata keputusan itu bukan sahaja mengecewakan parti malah rakyat yang mengundinya.
Loading…
www.bernama.com