Adakah Mahatir terlibat bebaskan Guan Eng, soal Azalina
Diterbitkan Hari ini 11:48 am
Dikemaskini Hari ini 11:48 am
Bekas menteri undang-undang, Azalina Othman Said membidas ahli Parlimen Selayang, William Leong yang mempertikaikan apakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang meluluskan supaya dakwaaan pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB terhadap Riza Aziz digugurkan.
Azalina berkata soalan seperti itu juga boleh ditujukan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad apabila bekas menteri kewangan Lum Guan Eng dibebaskan daripada pertuduhan rasuah terhadapnya.
“YB Leong, saya khuatir kenyataan/soalan yang ditujukan kepada YAB PM itu bak kata “menjolok sarang tebuan”.
“Izinkan saya merujuk kepada keputusan mantan pendakwa raya untuk 'nolle prosequi' terhadap YB Bagan pada 2 Ogos 2018.
“Adakah PM7 terlibat dalam keputusan itu? Pasti tidak kan? Atau mungkin anggapan saya salah?” ciapnya di Twitter.
“Saya yakin saya tidak perlu mengingatkan YB mengenai prinsip pemisahan kuasa antara eksekutif, kehakiman dan badan perundangan, kan?,” katanya.
Pemimpin Umno itu berkata demikian apabila mengulas artikel Leong yang diterbitkan oleh
Focus Malaysia pada Ahad lalu.
Ahli Parlimen PKR itu bertanya adakah Muhyiddin meluluskan perjanjian tawar-menawar dengan Riza itu.
Bagaimanapun, Muhyiddin melalui kenyataan Pejabat Perdana Menteri sebelum ini menyatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam keputusan mahkamah yang
melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak itu.
Pada 14 Mei lalu, mahkamah berkata persetujuan telah dicapai antara pihak Riza dan pendakwaan dalam lima pertuduhan pengubahan wang haram.
Dalam persetujuan itu, Riza dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan itu dengan syarat memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta).
Jika Riza gagal untuk mematuhi perjanjian tersebut, maka pendakwaan berhak untuk mengenakan semula pertuduhan tersebut dan mendakwanya di mahkamah.
Pada Sept 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang
membebaskan bekas ketua menteri Lim Guan Eng daripada dua tuduhan rasuah selepas peguam negara menerima hujah balasan daripada peguam.
Lim yang ketika itu merupakan menteri kewangan didakwa bersama ahli perniagaan Phang Li Koon di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang George Town, menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan berkenaan ekoran urusan jual beli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town, di katakan di bawah harga pasaran semasa.
Ini susulan ahli parlimen PKR yang mempertikaikan apakah Muhyiddin meluluskan supaya pertuduhan ke atas Riza Aziz digugurkan.
www.malaysiakini.com