kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,716
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,716
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
RCI Cadang TH Wujudkan Dana Haji, Dikawal Selia SSM Â
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mencadangkan penubuhan sebuah jabatan khusus dikenali sebagai Dana Haji di bawah TH bagi mengurus dana pendeposit, dengan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) untuk meningkatkan profesionalisme pengurusan pelaburan.
Menurut RCI, langkah itu membolehkan fungsi pengurusan pelaburan kekal di bawah TH tanpa perlu dijadikan sebuah syarikat subsidiari.
RCI dalam laporan dikeluarkan semalam berkata fungsi berkenaan perlu diasingkan sebagai sebuah jabatan khusus yang boleh dinamakan sebagai Dana Haji.
Laporan itu menyebut Dana Haji hendaklah dikanunkan dalam Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dan dikawal oleh SSM bagi menjadikan ia lebih terlindung disebabkan kawal selia sebuah badan yang mempunyai keupayaan untuk menyelia entiti pengurusan modal.
"Adalah dicadangkan Dana Haji ini akan mentadbir dan mengurus dana pendeposit dan melaburkannya bagi mendapatkan pulangan yang stabil. Dana Haji hendaklah didaftarkan atau dilesenkan di bawah SSM," menurut laporan itu.
RCI turut mencadangkan agar fungsi pelaburan TH dikawal selia oleh Menteri Kewangan bersama SSM, manakala pelantikan ahli Panel Pelaburan yang bertanggungjawab memberi panduan serta mengawal selia Dana Haji diletakkan di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan.
Menurut laporan itu, TH akan melantik pegawai kanan lain termasuk Ketua Pegawai Pelaburan yang akan diselia oleh SSM.
Bagi mengelakkan kekeliruan, RCI menegaskan TH tidak mempunyai kuasa untuk mengarah perkara berkaitan dengan pelaburan Dana Haji.
RCI berkata sebagai sebuah jabatan di bawah TH, Dana Haji perlu melaporkan pencapaiannya kepada institusi berkenaan secara berkala dan sistematik, manakala Jabatan Audit dan Jawatankuasa Audit hendaklah diberi kuasa untuk mengakses dokumen serta perkara berkaitan kewangan Dana Haji.