combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
PM Cadang Sidang Khas Parlimen Bincang RCI TH Diadakan Secepat Mungkin
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan sidang khas Parlimen bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) diadakan secepat mungkin.
Beliau berkata bagaimanapun tarikh sebenar persidangan perlu mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul.
“Sidang Khas Parlimen juga kita dah putuskan tadi cuma tarikh kita kena dapat persetujuan Speaker Dewan Rakyat. Saya dah cadangkan secepat mungkin supaya ada masa sekarang untuk ahli-ahli Dewan Rakyat meneliti dan juga mendengar penjelasan lanjut kemudian membahas secara terbuka sepanjang hari,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata kepada pemberita selepas program Temu Anwar bersama-sama lebih 2,000 pelajar Tingkatan Enam dan Politeknik Negeri Sembilan di sini hari ini.
Anwar berkata keputusan Jemaah Menteri untuk membuka siasatan secara telus hingga ke akar umbi bukan sahaja meliputi perkara yang disiasat pada 2014 dan 2017, tetapi juga merangkumi perkembangan pada 2018, 2019 dan 2020 serta langkah pemulihan yang dilaksanakan selepas itu.
Perdana Menteri berkata rakyat perlu diberi ruang untuk menilai keseluruhan perkara berkenaan berdasarkan laporan dan penjelasan yang dikemukakan.
Dalam pada itu, beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Gabenornya ketika itu telah memberikan amaran pada 2014 dan 2017 mengenai perkara berkenaan, namun langkah sewajarnya tidak diambil sebelum keadaan menjadi lebih buruk pada 2018.
“(Laporan) itu nanti keluar dalam laporan penuh dan lengkap RCI mengenai Tabung Haji... ternyata amaran awal telah diberikan 2014, (dan) 2017, tidak diendahkan dan itu menyebabkan kerugian besar,” kata beliau.
Justeru, Anwar berkata langkah menyiasat perkara itu bukanlah bertujuan membongkar kisah lama sebaliknya menjadi pengajaran supaya perbuatan yang boleh merosakkan institusi dan mengkhianati amanah rakyat tidak berulang.