kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
PRN N.Sembilan: Aminuddin Seru Kekalkan Mandat Kepada PH
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru rakyat negeri itu memberikan mandat baharu kepada gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 bagi memastikan kesinambungan kestabilan politik serta pembangunan ekonomi dapat diteruskan.
Beliau berkata kerajaan negeri yang stabil amat penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur selain memastikan inisiatif dan bantuan kepada rakyat dilaksanakan secara berterusan.
"Kita perlukan kemenangan untuk memastikan Negeri Sembilan kekal stabil. Banyak manifesto telah kita tunaikan sejak 2018, pelbagai insentif diteruskan dan pencapaian negeri terus meningkat hasil kestabilan kerajaan," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan di sini malam ini.
Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil serta Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari.
Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata kerajaan negeri komited meneruskan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk bantuan pendidikan, penyediaan tablet percuma kepada pelajar serta memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi manfaat rakyat.
Beliau turut menggesa seluruh jentera pilihan raya dan penyokong PH bekerja bersungguh-sungguh sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan mesej serta informasi kerajaan sampai kepada semua pengundi termasuk mereka yang berada di luar Negeri Sembilan.
Negeri Sembilan, katanya terus mencatat prestasi ekonomi memberangsangkan apabila berjaya menarik pelaburan berjumlah RM19.1 bilion, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
Aminuddin berkata kutipan zakat Negeri Sembilan selepas beliau mengambil alih pentadbiran meningkat kepada hampir RM200 juta daripada kira-kira RM80 juta, sekali gus membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada golongan memerlukan.
Dalam pada itu, beliau berkata hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga penting bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.