combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,146
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,146
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Polis Negeri Sembilan Rampas Dadah Bernilai RM19.4 Juta Bagi Enam Bulan Pertama
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad menunjukkan pelbagai dadah yang dirampas selepas sidang media sempena Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dadah pelbagai jenis bernilai RM19.4 juta dirampas menerusi kes pengedaran dan pemilikan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini di Negeri Sembilan, dengan syabu, ganja dan ketamin merupakan rampasan tertinggi
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya turut menahan 3,642 individu atas pelbagai kesalahan dadah membabitkan 626 pengedar iaitu meningkat 13 peratus berbanding 555 individu bagi tempoh sama tahun lepas, manakala 1,204 individu memiliki dadah, meningkat 11 peratus.
“Daripada 626 tangkapan, 97 ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 36 mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1952. Kebanyakan mereka merupakan dalang, perancang dan pembiaya sindiket dadah yang ditahan di pelbagai lokasi termasuk pusat hiburan dan makmal pemprosesan.
“Kebanyakan tangkapan adalah warga tempatan daripada pelbagai peringkat umur termasuk penjawat awam, bekerja sendiri dan tidak berkerja...kita tidak menolak sebahagian yang ditahan turut melibatkan warga asing,” katanya pada sidang media pelupusan dadah di sini hari ini.
Beliau berkata tangkapan kes urin pula menurun kepada 1,811 individu berbanding 2,354 individu bagi tempoh sama tahun lepas dan bagi sitaan harta pengedar, tindakan di bawah Akta Pelucuthakan Harta 1988 terhadap kesemua aset berjumlah RM1.1 juta.
Dalam pada itu, Alzafny berkata pihaknya melupuskan pelbagai jenis dadah dan peralatan memproses bahan itu berjumlah RM2.08 juta membabitkan 685.5 kilogram dadah dan 149.9 liter cecair termasuk heroin, ganja, syabu, ketamin dan air ketum daripada 2,184 kertas siasatan sejak 2001 hingga tahun ini.
Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Negeri Sembilan akan membuat pelupusan barang kes dadah pada hari ini dengan menghantar kesemua barang kes tersebut ke Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Port Dickson.
“Pelupusan dadah pada tahun ini membabitkan semua daerah dan kesemua eksibit adalah hasil serbuan dan rampasan yang dilakukan serta selesai daripada segala prosiding mahkamah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis meningkatkan penguatkuasaan di 26 kawasan “hotspot” dan 19 “flashpoint” kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini di seluruh Negeri Sembilan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.