Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
PM Anwar Tiba Di Turkmenistan Untuk Lawatan Rasmi Dua Hari
Selepas menamatkan lawatan kerja dua hari di Kazan, Republik Tatarstan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu kota Turkmenistan, di sini yang terkenal sebagai “Kota Marmar Putih” pada Khamis, untuk satu lagi lawatan ke negara Asia Tengah.
Pesawat yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat pada 8 malam waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari bermula pada hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, serta pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.
Sejurus tiba, Perdana Menteri disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan Mohd Suhaimi Ahmad Tajuddin dan Timbalan Pengerusi Menteri Kabinet bagi Minyak dan Gas Turkmenistan Guvanch Agajanov.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan rasmi Anwar ke Turkmenistan merupakan undangan daripada Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov dan juga kunjungan balas susulan lawatan rasmi Berdimuhamedov ke Malaysia pada Disember 2024.
Lawatan ini juga menandakan lawatan rasmi Anwar yang pertama ke Turkmenistan dan kelima oleh Perdana Menteri Malaysia.
Anwar memulakan lawatan dengan menghadiri majlis makan malam dengan diaspora dan rakan Malaysia.
Majlis sambutan rasmi oleh Berdimuhamedov akan berlangsung di Istana Presiden pada Jumaat, diikuti pertemuan empat mata dengan presiden, mesyuarat dua hala, penandatanganan kenyataan bersama oleh kedua-dua pemimpin serta pertukaran perjanjian dan memorandum persefahaman yang dimuktamadkan oleh dua kerajaan.
Loading…
www.bernama.com