kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Anwar Tiba Di Maldives Bagi Lawatan Rasmi Dua Hari
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turun dari pesawat khas setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana pada 8.12 malam waktu tempatan bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Maldives.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Maldives malam ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari yang dijangka memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sejak 1968.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana di sini pada 8.12 malam waktu tempatan (11.12 malam waktu Malaysia), dan ketibaan beliau disambut oleh Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu.
Kehadiran Muizzu secara langsung mencerminkan kemesraan dan hubungan baik antara kedua-dua pemimpin.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan serta delegasi Malaysia.
Yang turut menyambut ketibaan beliau ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam, Menteri Hal Ehwal Agama Maldives Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed sebagai menteri pengiring serta pegawai kanan kedua-dua negara.
Sejurus tiba, Anwar diberikan penghormatan oleh kawalan kehormatan dan sebelum berangkat ke Official Jetty, beliau diraikan dengan persembahan kebudayaan oleh pelajar sekolah bersempena dengan ketibaan Perdana Menteri ke republik kepulauan itu.
Muizzu kemudian mengiringi Anwar ke Official Jetty, melengkapkan sambutan mesra kepada Perdana Menteri pada permulaan lawatan sulung rasmi beliau.
Esok, jadual Perdana Menteri dijangka bermula dengan sambutan rasmi di Republic Square Male sebelum beliau mengadakan pertemuan empat mata dengan Muizzu yang disusuli mesyuarat dua hala melibatkan delegasi kedua-dua negara.