combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
PISA 2025: Asas Pendidikan Malaysia Kukuh, Catat Peningkatan Dalam Sains Dan Bacaan - Fadhlina
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek menunjukkan pelaporan PISA 2025 semasa hadir ke Sidang Media Pengumuman Programme for International Student Assessment (PISA) 2025 di Putrajaya hari ini.
Keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 menunjukkan sistem pendidikan Malaysia mempunyai asas yang kukuh, khususnya dalam pencapaian sains, bacaan, penyelesaian masalah komputasional dan sokongan guru.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata keputusan pencapaian sains murid Malaysia meningkat tiga mata kepada 419 mata berbanding 2022 manakala pencapaian bacaan turut menunjukkan peningkatan lima mata kepada 393 ketika purata negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mencatatkan penurunan.
Beliau berkata PISA 2025 turut menunjukkan murid Malaysia mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi, cekal, tabah dan semakin mampu mengurus pembelajaran sendiri. Selain itu, kesediaan mereka mendapatkan bantuan apabila diperlukan adalah yang tertinggi di dunia manakala kekentalan mereka untuk belajar berada pada kedudukan ketiga tertinggi di dunia.
“Satu lagi kekuatan murid Malaysia dapat dilihat menerusi penyelesaian masalah komputasional, dengan Malaysia mencatat 484 mata dan adalah antara enam negara yang pencapaiannya melebihi jangkaan,” katanya pada sidang media berhubung pengumuman keputusan PISA 2025 di sini hari ini.
Fadhlina bagaimanapun berkata pencapaian matematik menunjukkan penurunan sebanyak 11 mata kepada 397 dan perkara itu perlu ditangani secara lebih serius serta intensif, bukan secara defensif.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan telah memulakan Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik yang memberi lebih perhatian kepada pemahaman konsep, penaakulan dan penyelesaian masalah sebagai intervensi kepada perkara itu.
“Kita tidak mahu matematik menjadi perlumbaan mencari jawapan. Kita mahu matematik melatih anak-anak mencari jalan kepada jawapan,” katanya.
Fadhlina turut menggariskan bahawa sokongan keluarga terhadap pembelajaran anak perlu diperkukuh susulan PISA 2025 mendapati hanya 34 peratus murid melaporkan mereka berbincang setiap minggu dengan ibu bapa tentang masalah di sekolah, berbanding 46 peratus pada 2022 manakala hanya 51 peratus melaporkan perbincangan dengan ibu bapa mengenai aktiviti sekolah sekurang-kurangnya sekali seminggu (2022: 57 peratus).
“PISA memberitahu kita bahawa potensi itu sudah ada dalam diri anak-anak kita dan sekarang adalah masa untuk kita bekerja bagi memastikan anak-anak kita semua mendapat peluang pendidikan yang bermutu serta anak-anak kita mendapat peluang untuk belajar di semua sekolah tanpa kecuali,” katanya.