Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Pertubuhan Komuniti Besut Beri Khidmat Urus Jenazah, Ambulans Percuma
Pengerusi Pertubuhan Amal Komuniti Besut (PAKB), Mohd Azizul Azli Mohd Sani
-- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketika kos pengurusan jenazah dan pengangkutan pesakit boleh mencecah ribuan ringgit, Pertubuhan Amal Komuniti Besut (PAKB) tampil meringankan beban masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah dan ambulans komuniti dengan sebahagian besar khidmat yang diberikan adalah percuma.
Pengerusi PAKB Mohd Azizul Azli Mohd Sani berkata pertubuhan itu menguruskan purata 70 jenazah dan membantu kira-kira 100 pesakit setiap bulan menerusi perkhidmatan yang digerakkan oleh 40 anggota, termasuk 12 wanita dengan kemudahan 10 van jenazah serta tiga ambulans.
“Penubuhan PAKB tercetus daripada keperluan untuk membantu waris yang berdepan kos tinggi bagi pengurusan jenazah. Ambulans digunakan untuk membawa pesakit yang discaj dari hospital pulang ke rumah, menghantar pesakit terlantar dari kediaman ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebelum dibawa pulang selepas selesai rawatan.
“Antara hospital terlibat ialah Hospital Besut, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu,” katanya kepada Bernama sempena Majlis Kesyukuran Sambil Menderma PAKB di Kampung Gaung di sini baru-baru ini.
Beliau berkata perkhidmatan pengurusan jenazah pula meliputi urusan di unit forensik hospital, pusat pengurusan jenazah dan kediaman waris.
“Semua urusan jenazah diberikan secara percuma. Bagi ambulans, perkhidmatan dalam daerah juga percuma manakala perjalanan ke HSNZ dikenakan bayaran RM250 dan HUSM RM200. Bagaimanapun, bayaran ambulans turut dikecualikan bagi golongan asnaf,” katanya.
PAKB yang sebelum ini dikenali sebagai JNZA Gaung Global mula beroperasi pada 2018 dan berkembang daripada pasukan kecil yang hanya mempunyai lima sukarelawan kepada sebuah organisasi kebajikan dengan rangkaian perkhidmatan lebih luas.
Mohd Azizul berkata PAKB kini turut mempunyai cawangan di Pasir Puteh, Kelantan yang menguruskan jenazah di Forensik Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh selain Hospital Bachok, Hospital Machang, HUSM dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan manakala cawangan Kuala Nerus mempunyai sebuah ambulans dan tiga van jenazah serta Kuala Berang dua van jenazah.