SG tubuh sistem teguhkan urus niaga emas, perkenal khidmat simpanan
Gambar fail yang menunjukkan beberapa jongkong emas. (Gambar: iStock)
SINGAPURA: Singapura akan mewujudkan sistem kaunter (OTC) bagi penyelesaian urus niaga emas, selain memperkenalkan khidmat penyimpanan emas oleh bank pusat, kata Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong pada Isnin (15 Jun), sedang negara ini berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah hab perdagangan emas.
Bursa Singapura (SGX) akan mewujudkan sistem kaunter (OTC) bagi penyelesaian urus niaga emas bagi Loco Singapore, atau emas fizikal yang disimpan di Singapura, menjelang hujung tahun ini, kata DPM Gan semasa Persidangan Logam Berharga Asia Pasifik pada Isnin (15 Jun).
IKLAN
Enam bank iaitu DBS, Deutsche Bank, ICBC Standard Bank, JPMorgan, OCBC dan UOB akan menjadi anggota sistem tersebut, menurut DPM Gan.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pula akan memperkenalkan khidmat penyimpanan emas oleh bank pusat itu menjelang Oktober tahun ini bagi menyediakan pilihan yang selamat kepada bank-bank pusat asing dan entiti berdaulat untuk menyimpan rizab emas mereka, kata DPM Gan.
"Ini mengukuhkan daya tarikan Singapura sebagai bidang kuasa di mana aset rizab boleh disimpan dengan selamat, diuruskan secara aktif dan dihubungkan dengan kecairan pasaran yang lebih luas semasa waktu dagang Asia," kata DPM Gan.
SGX juga sedang meneroka kontrak niaga hadapan emas yang boleh diserahkan secara fizikal bagi meningkatkan penetapan harga dan pengurusan risiko dalam pasaran Loco Singapore, katanya lagi. MAS pula akan memansuhkan had lima peratus ke atas logam berharga fizikal untuk pelaburan di bawah skim insentif cukai bagi dana dan pejabat keluarga yang layak.
DPM Gan berkata Singapura akan menyelaraskan amalan pasarannya dengan piawai global yang relevan, seperti rangka kerja LMBA Good Delivery bagi jongkong emas bersaiz besar, selain piawai penghantaran dan penyelesaian yang diterima pakai oleh bursa-bursa utama seperti Chicago Mercantile Exchange dan Shanghai Gold Exchange bagi jongkong emas satu kilogram.
IKLAN
"Penyelarasan ini akan mengurangkan halangan bagi para peserta yang beroperasi merentasi pasaran, sambil mengekalkan fleksibiliti untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan struktur pasaran," tambah beliau.
Perubahan tersebut tercetus daripada sebuah kumpulan kerja yang ditubuhkan awal tahun ini, dan dibuat sedang bank-bank tempatan memperluaskan aktiviti perdagangan emas masing-masing, di samping pusat-pusat kewangan lain yang turut berusaha untuk mengembangkan perkhidmatan berkaitan emas.
Pada Mei lalu, Reuters melaporkan, Hong Kong Exchanges and Clearing juga sedang menimbangkan untuk melancarkan semula niaga hadapan emas sedang bandar itu berusaha menjadi hab perdagangan dan penyimpanan emas antarabangsa.
Minggu lalu, DBS, bank terbesar Singapura dari segi aset, menyatakan bahawa ia akan menawarkan emas fizikal yang ditokenkan kepada pelanggan runcit, manakala pesaingnya OCBC pula berkata ia akan membenarkan pelanggan institusi dan perbankan privet membeli, menjual dan menyimpan emas fizikal di Singapura.
"Permintaan Asia terhadap perkhidmatan kewangan semakin meningkat ... Pada masa yang sama, perpecahan global dan ketidaktentuan yang berterusan meningkatkan keperluan terhadap pusat perantaraan yang selamat, dipercayai dan berwibawa," kata DPM Gan.
IKLAN
"Inisiatif kami akan memperluaskan pasaran Singapura agar institusi dan syarikat dapat menguruskan pelaburan jangka panjang, mengekalkan nilai aset serta menjalankan urus niaga dengan penuh keyakinan."
SG tubuh sistem teguhkan urus niaga emas, perkenal khidmat simpanan
Singapura akan mewujudkan sistem kaunter (OTC) bagi penyelesaian urus niaga emas, selain memperkenalkan khidmat penyimpanan emas oleh bank pusat, kata Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong pada Isnin (15 Jun), sedang negara ini berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah hab...