BANGI, 20 Safar 1440H, Isnin – Langkah kerajaan untuk meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), boleh mencetuskan huru-hara di negara ini, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor.
Meluahkan kebimbangannya, beliau berkata, walaupun sebelum ini menteri Pakatan Harapan (PH) menafikan pelaksanaan ICERD memberi kesan kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, namun kesan ratifikasi ICERD itu sendiri dipercayai akan merungkai hak agama Islam bagi mereka yang mencabar atau keluar dari Islam.
Malah katanya, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera juga akan tergadai.
“Di sebalik agenda lain, umat Islam akan semakin hilang identitinya, kuasa dan kekuatan agama Islam dalam negara akan hilang pengaruh. Tindakan meratifikasi ICERD juga mendedahkan negara kepada tekanan antarabangsa supaya undang-undang yang tidak selari dengan konvensyen itu dipinda.
“Malah tindakan meratifikasi tanpa meminda undang-undang berkaitan, hanya akan memalukan negara pada mata dunia, kerana kerajaan dilihat bersetuju dengan konvensyen, tetapi tidak mengambil apa-apa langkah ke arah persetujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menyatakan kerajaan komited untuk mengesahkan enam ‘treaty’ hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.
Katanya, perkara tersebut selaras dengan dengan manifesto PH.
Komitmen itu turut diberikan oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mujahid Rawa dan diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini.
Riduan berkata, turut dibimbangi negara akan terdedah kepada peruntukan perjanjian dan akan tertakluk kepada kehendak PBB.
“Ancaman paling serius adalah keadaan di mana kerajaan Malaysia akan terikat, tunduk dan dikawal oleh kuasa luar secara tidak langsung. Kedaulatan negara semakin mudah dicabar, diceroboh bahkan dikuasai oleh pihak lain dengan cara ini,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan Pakatan Harapan berfikiran jauh sebelum membuat keputusan melibatkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, sebagai kerajaan yang memerintah, sebarang kenyataan perlu dibincangkan dan diperhalusi kerana jika salah percaturan, ia boleh menimbulkan polemik tidak sihat dalam kalangan masyarakat.
“Perpecahan antara kaum dan bangsa perlu dielakkan. Sebarang jarum yang mahu merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat mesti ditentang,” katanya.