Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Penggunaan Dron Lebih Berkesan Kekang Penyeludupan Di Sungai Golok - Polis
Gambar fail
Penggunaan teknologi dron dilihat jauh lebih efektif dalam mengekang aktiviti penyeludupan di sepanjang Sungai Golok berbanding rondaan bot oleh Polis Marin berikutan faktor sungai berkenaan yang sempit.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata memantau sempadan menggunakan bot peronda tradisional kini kurang berkesan kerana bunyi enjin yang terlalu mudah dihidu oleh anggota sindiket penyeludupan di seberang sempadan sebelum sempat pihak berkuasa mengambil tindakan.
Beliau berkata sungai yang sempit membolehkan penjenayah memantau rapat pergerakan aset air pihak berkuasa dari jarak jauh, sekali gus menyukarkan operasi tangkapan dilakukan secara bersemuka.
"Pada saya, tidak berkesan sangat kita ronda dengan bot sebab sungai terlalu sempit, tidak sempat buat apa-apa. Di seberang sana pun sudah boleh dengar bot sampai, jadi mereka tidak akan masuk (menyeludup) pada masa itu.
"Sebab itu pada pandangan saya, adalah lebih baik kita gunakan teknologi dron berbanding rondaan bot untuk memantau kawasan sempadan sebelum tembok atau pagar keselamatan dibina sepenuhnya di sebelah wilayah kita," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas mengenai logistik kawalan sempadan semasa, beliau berkata sebanyak 300 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditugaskan pada setiap bulan untuk mengawal jajaran sempadan sejauh 91 kilometer yang merangkumi 17 pos kawalan.
Bagaimanapun, Mohd Yusoff mengakui wujud ruang lompong ekoran jarak antara satu pos ke satu pos yang agak jauh, iaitu mencecah dua hingga tiga kilometer yang sering cuba dimanipulasi oleh sindiket penjenayah.
Katanya, sindiket berkenaan dikesan mengambil kesempatan berdasarkan perubahan cuaca, termasuk ketika fenomena Sungai Golok surut dan cetek sebelum ini yang menyaksikan cubaan menyeludup keluar kenderaan curi ke negara jiran.
Beliau berkata bagi mengatasi kekangan perimeter yang luas itu, kawasan titik buta tersebut kini diperkukuh menerusi penugasan Unit Risik PGA serta permohonan aset dron yang lebih canggih daripada Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melaksanakan operasi bersepadu.