kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,707
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,707
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Pengecas Awam EV Cecah 6,416 Unit Setakat Mei 2026 - MITI
Sebanyak 6,416 unit pengecas awam bagi kenderaan elektrik (EV) telah dipasang di seluruh negara setakat 31 Mei, 2026, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 2,143 unit ialah pengecas pantas arus terus (DC) manakala 4,273 unit ialah pengecas arus ulang alik (AC).
“Bagi menangani cabaran kekurangan pengecas, kerajaan telah mengenal pasti isu-isu yang timbul dan telah menyusun serta melaksanakan langkah-langkah bagi meningkatkan bilangannya di seluruh negara.
“Dalam hal ini, pendekatan ‘Whole-of-Government’ terus diperkukuh melalui pelaksanaan Garis Panduan Perancangan Petak Pengecas EV (GPP EVCB) oleh PLANMalaysia yang mempercepatkan kelulusan sehingga 14 hari bekerja.
Selain itu ia turut mengadakan libat urus berterusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Bhd (TNB), Charging Point Operator (CPO), Persatuan Industri Pengecas EV (PIPEV) dan Malaysia Zero Emission Vehicle Association (MyZEVA),” katanya.
MITI memaklumkan demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu mengenai pendekatan dan perancangan strategik kerajaan dalam memperluas penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
Ini termasuklah kemampuan pemilikan, kesiapsiagaan infrastruktur pengecasan dan pembangunan ekosistem EV tempatan bagi menyokong agenda mobiliti rendah karbon serta mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Selain itu, MITI juga menyatakan kerajaan memberi tumpuan kepada pengukuhan rantaian nilai tempatan melalui kerjasama strategik antara syarikat tempatan, syarikat pengeluar peralatan tulen (OEM) dan pembekal teknologi global.
Ini bagi mempercepat pemindahan teknologi serta meningkatkan pengeluaran komponen bernilai tinggi seperti bateri, motor pacuan elektrik dan Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS).