Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, menunjukkan rakaman terakhir suspek yang dikehendaki melarikan diri dengan menaiki motorsikal biru susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini.
Suspek yang terbabit dalam kejadian letupan di kawasan Desa Palma, Nilai, dekat sini pada 22 Dis lepas dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata hal itu berdasarkan penemuan peranti dan peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki yang dikenali sebagai Yeoh Hock Sun, 62, itu termasuk alat pencetus letupan, bahan pencuci mudah bakar dan karbon selain unsur belerang.
“Siasatan mendapati suspek yang turut dikenali sebagai 'Ayang' mempunyai pengetahuan dalam bidang kimia dan pernah bekerja di kilang farmaseutikal selama tiga tahun sebelum ini selain berpengetahuan dalam bidang teknologi maklumat (IT).
“Penilaian terhadap bahan letupan itu mendapati bahan terbabit berada dalam keadaan sempurna, iaitu dari segi penyediaan bahan dan peranti yang digunakan termasuk pemasa dan sensor selain kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak enam bulan lepas,” katanya pada sidang media kes terbabit di sini hari ini.
Beliau berkata lelaki itu turut diklasifikasikan sebagai individu berbahaya dan amat dikehendaki kerana dipercayai terlibat secara langsung dalam penyediaan bahan letupan terbabit selain mempunyai satu kes jenayah lampau di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Katanya, pemeriksaan di rumah lelaki itu yang disyaki dijadikan sebagai makmal juga turut menemukan 31 lagi bahan peranti bahan letupan buatan sendiri atau Improvise Explosive Device (IED) dengan kesemuanya telah dimusnahkan polis.
Dalam pada itu, Alzafny berkata hasil pemusnahan yang dilaksanakan Unit Pemusnah Bom mendapati bahan letupan berkenaan mempunyai radius letupan hingga 20 meter, manakala serpihan boleh menjangkau sejauh 30 meter.
“Barang yang digunakan ialah paku dan pisau lipat yang diserpihkan secara halus, jadi melihat kepada penyediaan tersebut, kita tafsirkan bahawa dia mempunyai pengetahuan menyediakan suatu bahan letupan yang sempurna,” katanya.
Alzafny berkata lelaki itu dikategorikan sebagai sangat berbahaya kerana bijak menyembunyikan identiti dengan memakai pelitup muka atau bertopi selain turut mengenakan rambut palsu apabila berada di luar atau dalam kelompok masyarakat.
polis, suspek, letupan, pengetahuan, Nilai
www.bernama.com