Opsyen
Opsyen memberi pembeli/pemegangnya hak, tetapi bukan kewajipan untuk membeli atau menjual aset tertentu pada harga tertentu (harga laksana), pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan daripada penjual, dan pembeli membayar premium. (Ini mengehadkan potensi kerugian pembeli dalam pasaran opsyen bagi jumlah premiumnya.) Opsyen yang memberikan pembeli hak untuk membeli dikenali sebagai opsyen beli. Opsyen yang memberikan pembeli hak untuk menjual dikenali sebagai opsyen jual. Penjual opsyen mempunyai liabiliti bersyarat atau kewajipan, yang dijalankan jika pembeli melaksanakan haknya.
Untuk memahami pergerakan opsyen, di sini kami berikan contoh yang tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan untuk berurus niaga dalam opsyen, tetapi hanya bertujuan untuk memberi gambaran sahaja.
Pertama, opsyen beli. Andaikan bahawa anda membeli opsyen beli sebanyak RM2 premium satu saham dengan harga laksana sebanyak RM30 satu saham bagi 1,000 saham Syarikat XXX. Oleh itu, opsyen anda berharga RM2,000 (RM2 x 1,000 saham). Ini bermakna anda telah membeli hak untuk membeli 1,000 saham XXX sebanyak RM30 satu saham sehingga tarikh luput.
Sekarang, oleh sebab anda memiliki opsyen beli, anda mahu harga saham XXX naik lebih tinggi daripada RM30 supaya anda mendapat untung. Andaikan bahawa harganya naik hingga RM40. Harga opsyen boleh melambung naik daripada RM2 kepada RM10. Apabila ini berlaku, opsyen anda mendapat keuntungan, kerana harga saham RM40 lebih tinggi daripada harga laksana anda iaitu RM30.
Terdapat dua cara untuk anda mendapat untung. Pertama, anda boleh laksanakan opsyen anda, iaitu anda boleh tunaikan hak anda untuk membeli 1,000 saham XXX daripada penjual opsyen anda dan membayar RM30,000. Kemudian anda menjual 1,000 saham itu pada harga pasaran sebanyak RM40 dan keuntungan anda ialah: RM40,000 ditolak dengan RM30,000 sama dengan RM10,000, tolak premium anda RM2,000 sama dengan RM8,000.
Atau kedua, anda tidak laksanakan opsyen anda tetapi sebaliknya menjual hak anda untuk membeli 1,000 saham XXX. Anda boleh menjual opsyen anda RM10 satu saham dan menerima RM10,000. Keuntungan anda ialah: RM10,000 tolak premium RM2,000 sama dengan RM8,000.
Pilih salah satu cara ini dan keputusannya masih sama (keuntungan sebanyak RM8,000), tetapi lebih mudah menjual opsyen anda. Ia bergantung kepada cara mana yang ingin anda gunakan, walaupun biasanya pelabur tidak melaksanakan opsyen mereka untuk membeli sekuriti.
Jika harga saham XXX tidak meningkat lebih daripada harga laksana anda (sebanyak RM30), opsyen anda akan dianggap rugi dan apabila tarikh luput tiba, opsyen anda luput tanpa nilai serta anda rugi semua wang pelaburan, iaitu premium anda sebanyak RM2,000.
Opsyen jual. Pelabur membeli opsyen jual untuk melindungi portfolio pelaburan mereka daripada risiko sampingan, atau untuk mendapat keuntungan dengan mengharap pasaran sekuriti sandaran akan menjunam.
Sebagai contoh, katakan satu ketika dahulu anda telah membeli 1,000 saham Syarikat YYY pada RM10 satu saham. Harganya sekarang meningkat kepada RM15 tetapi anda menjangka bahawa harga saham akan jatuh menjunam beberapa bulan kemudian. Bagaimanapun anda tidak mahu menjual saham anda kerana anda fikir kejatuhan itu hanyalah untuk jangka pendek, tetapi anda perlu melindungi pelaburan anda daripada kemerosotan. Jadi, anda boleh mengambil jalan keluar dengan membeli opsyen.
Katakan harga YYY mula merosot kepada RM12. Anda membeli opsyen jual sebanyak 1,000 saham YYY dengan harga laksana RM10. Jika harga saham YYY terus jatuh sebelum tarikh luput opsyen anda, anda boleh melaksanakan hak anda untuk menjual saham YYY pada harga RM10 satu saham, tidak mengira takat mana kejatuhan harga pasaran. Atau anda boleh memegang saham YYY dan menutup kedudukan anda dengan menjual opsyen jual anda. Selagi harga saham YYY jatuh bawah RM10, anda akan mendapat keuntungan kerana opsyen jual anda sedang untung. Ingat bahawa harga laksana anda ialah RM10. Tetapi jika harga pasaran meningkat, opsyen jual anda mungkin mengalami kerugian dan opsyen anda akan luput tanpa nilai dan anda kehilangan premium yang dibayar untuk membeli opsyen jual.
Terdapat opsyen cara Amerika dan cara Eropah. Cara Amerika boleh dilaksanakan oleh pembeli pada bila-bila masa daripada tarikh membeli hingga (dan termasuk) tarikh luput. Opsyen cara Eropah boleh dilaksanakan oleh pembeli hanya pada tarikh luput yang ditetapkan.
Pada 1 Disember 2001, Bursa Opsyen dan Kewangan Hadapan Kuala Lumpur (KLOFFE) melancarkan opsyen pertama negara, indeks opsyen saham pada Komposit BSKL yang didagangkan dengan cara Eropah.
Tahun lepas, KLOFFE bergabung dengan COMMEX (Bursa Komoditi dan Wang Malaysia) untuk membentuk MDEX (Bursa Derivatif Malaysia). MDEX kini menawarkan urus niaga dalam empat derivatif: kontrak niaga hadapan Komposit Indeks BSKL, kontrak niaga hadapan minyak kelapa sawit mentah, kontrak niaga hadapan KLIBOR dan kontrak opsyen komposit BSKL.