Saya pasti akan hadir prosiding PAC, kata Pengerusi 1MDB
KUALA LUMPUR – Pengerusi syarikat pelaburan strategik 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin menyatakan komitmen sepenuhnya untuk hadir dalam prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sekiranya dipanggil.
Kata Lodin, beliau akan memberi kerjasama penuh bagi tujuan penyiasatan ke atas syarikat milik Kementerian Kewangan itu yang didakwa kononnya terdapat penyelewengan di sebalik pelaburan yang dibuat.
“Jika mereka jemput, saya pasti akan hadir. Saya masih belum periksa dengan pengurusan, saya belum terima apa-apa lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat beli belah Boustead’s MyTown di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur di sini.
Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam satu kenyataan pada Isnin berkata pihaknya akan memulakan prosiding siasatan ke atas syarikat 1MDB pada 19 Mei ini selepas ahli PAC sebulat suara bersetuju dalam perbincangan khas pada 30 April lalu.
Kata Jazlan, prosiding itu akan dimulakan dengan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF) Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah.
Pada 26 Mei 2015 pula, PAC akan meneruskan prosiding dengan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB ketika ini, Arul Kanda Kandasamy serta Mantan CEO 1MDB pertama, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi yang berkhidmat daripada tahun Mac 2009 hingga Mac 2013.
Meskipun 1MDB dikecam pelbagai pihak akhir-akhir ini, Lodin menegaskan tiada apa yang disembunyikan daripada pengetahuan umum berhubung operasi syarikat itu.
“Tidak ada setakat yang saya tahu,” ujarnya.
Sumber:
http://selangorpost.com/?p=3023