combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,146
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,146
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Ops Gali Mega: Polis Rampas Hasil Bumi Hampir RM21 Juta, Tahan 99 Individu
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri bercakap pada sidang media mengenai Op Gali Mega di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Turut bersama, Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Teknikal Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Datuk Ir Ahmad Zukni Ahmad Khalil (dua, kanan).
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Polis merampas hasil bumi seberat 33,000 tan bernilai hampir RM21 juta daripada 24 lombong haram menerusi Ops Gali Mega Pasukan Gerakan Am (PGA) di 10 negeri bermula 19 hingga 23 Ogos lepas.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sebanyak 99 individu berusia antara 18 hingga 64 tahun ditahan dalam operasi itu terdiri daripada 61 warga tempatan dan 38 pendatang tanpa izin.
“Operasi itu melibatkan lombong kaolin, arang batu, kuari batu, tanah serta pasir. Sebanyak 45 lokasi diperiksa dengan 24 daripadanya didapati beroperasi secara haram,” katanya pada sidang media operasi berkenaan di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Datuk Ir Ahmad Zukni Ahmad Khalil.
Beliau berkata polis turut merampas 55 kenderaan bernilai hampir RM14.8 juta, 87 jentera berat (RM38.7 juta) serta 194 pelbagai unit peralatan perlombongan bernilai RM44.3 juta, menjadikan nilai keseluruhan rampasan hampir RM119 juta.
Mohd Yusri berkata siasatan turut mengenal pasti 32 individu dan 21 syarikat dipercayai terbabit dalam kegiatan itu, dengan senarai nama berkenaan diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyiasat kemungkinan berlaku ketirisan cukai.
“Risikan sebelum operasi dijalankan mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan, manakala tempoh sebenar operasi lombong haram itu masih disiasat, termasuk ada yang dipercayai beroperasi antara tiga hingga lima tahun,” katanya.
Sabah merekodkan jumlah lokasi lombong haram tertinggi yang dikesan iaitu 14, diikuti Sarawak (tujuh), Pahang (enam), Selangor (empat), Terengganu, Kelantan, Perak masing-masing tiga, Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing dua dan Johor satu.
Polis juga sedang menyiasat keseluruhan rantaian kegiatan itu termasuk pihak yang mengeluarkan, membeli dan memasarkan hasil bumi berkenaan, yang dipercayai diperdagangkan secara tidak sah melalui pasaran gelap.