ULASAN
Nikah Mut'ah telah diharamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w buat selama-lamanya sehingga hari kiamat menerusi hadith-hadith sahih sebelum baginda wafat dan salah seorang perawi hadith tersebut ialah Saidina Ali sendiri. Antara hadith-hadith tersebut ialah:
Daripada Ali bin Abu Talib katanya: "Bahawa Rasulullah s.a.w. melarang nikah mut'ah pada hari peperangan Khaibar dan melarang juga memakan daging kaldai jinak".
(Riwayat Ibn Majah dan al-Nasai)
Daripada al-Rabi' bin Sabrah daripada bapanya katanya, kami keluar bersama-sama Nabi s.a. w. semasa haji Wida' di mana Baginda bersabda: "Wahai manusia sesungguhnya aku telah mengizinkan kamu melakukan mut'ah (tetapi) ketahuilah, sesungguhnya Allah S. W. T telah mengharamkannya sehinggalah hari kiamat, sesiapa yang masih ada perempuan mut'ah di sisinya, maka hendaklah ia melepaskan kehendaknya dan janganlah kamu mengambil sesuatu yang kamu telah memberikannya.
(Riwayat Ibnu Majah)
Daripada Ibnu Umar katanya, ketika Saidina Umar dilantik sebagai khalifah, beliau telah berkhutbah kepada orang ramai dengan katanya, "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah mengizinkan kami bermut'ah sebanyak 3 kali kemudian baginda telah mengharamkannya. Demi Allah, tidak aku mengetahui seseorang yang melakukan nikah mut'ah sedangkan ia muhsan (telah berkahwin) melainkan aku merejamkannya dengan batu, kecuali ia dapat membawa kepadaku empat orang saksi yang menyaksikan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menghalalkannya setelah baginda sendiri telah mengharamkannya."
(Riwayat Ibnu Majah)
"Daripada Rabi' bin Sabran daripada bapanya bahawasanya Nabi s.a.w. telah mengharamkan nikah mut'ah."
(Riwayat Abu Daud)