combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, menyantuni Nor Nadia Abdul Majid (kanan), balu kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, ketika menziarahi keluarga mangsa nahas kemalangan maut yang dirempuh pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol pada 29 Mac lalu di Jalan Raya Barat, Klang, di kediamannya hari ini.
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Beberapa agensi hal ehwal agama bekerjasama menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada balu Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dirempuh pemandu di bawah pengaruh dadah di Klang, Ahad lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata bantuan kepada Nor Nadia Abdul Majid, 32, itu melibatkan sumbangan daripada Tabung Haji (TH), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan TV Al-Hijrah bagi meringankan beban keluarga.
“TH membantu membuka akaun simpanan untuk anak-anak Allahyarham, manakala komuniti Surau TH turut menyumbang RM2,000. YAPEIM pula menaja kos persekolahan tiga anak Allahyarham selama setahun melalui Program Sinar Kasih dengan jumlah keseluruhan RM7,200.
“TV Al-Hijrah menyalurkan RM5,000 hasil sumbangan penonton dan agensi itu sendiri bagi menyokong pendidikan serta keperluan harian, manakala YADIM menyumbang bantuan tunai RM1,000,” katanya pada sidang media selepas menziarahi keluarga mangsa di Pangsapuri Ken Rimba, Seksyen 16, di sini hari ini.
Zulkifli berkata bantuan itu bukan bersifat sekali sahaja, sebaliknya bertujuan memastikan kesejahteraan anak-anak mangsa merangkumi aspek pendidikan, psikologi dan perkembangan rohani.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta jabatan agama negeri juga bersedia menyediakan khidmat kaunseling dan bimbingan agama kepada keluarga bagi membantu mereka mengatasi trauma akibat kehilangan insan tersayang.
Sementara itu, Nor Nadia menzahirkan penghargaan atas bantuan dan sokongan yang diterima selain merancang untuk menumpukan kepada masa depan anak-anak serta memulakan perniagaan sendiri.
Kehilangan suami mendorong dia untuk lebih berdikari, memastikan keselamatan anak-anak serta mencari sumber pendapatan yang stabil, selaras dengan perancangan yang telah disediakan oleh Allahyarham.
Nor Nadia berkata suaminya meninggalkan dokumen lengkap merangkumi urusan rumah, insurans dan perancangan kewangan, sekali gus memudahkan pengurusan keluarga serta memberi keyakinan untuk meneruskan kehidupan.
Nahas Pemandu Mabuk: Agensi Hal Ehwal Agama Kerjasama Bantu Balu, Anak Mangsa
Zulkifli Hasan, bantuan, kesejahteraan, Nor Nadia