kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,707
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,707
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
MQA Lakar Sejarah Raih Anugerah Tadbir Urus Pendidikan Tinggi Terbaik Asia Pasifik
Ketua Pegawai Eksekutif MQA Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran menerima Anugerah Projek Tadbir Urus Terbaik – Pendidikan Tinggi peringkat Asia Pasifik sempena GovMedia Conference & Awards 2026, semalam - Kredit: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)
Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melakar sejarah muncul sebagai badan jaminan kualiti pendidikan tinggi pertama menerima Anugerah Projek Tadbir Urus Terbaik – Pendidikan Tinggi peringkat Asia Pasifik sempena GovMedia Conference & Awards 2026, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata pengiktirafan berprestij itu adalah satu penghargaan terhadap kecemerlangan MQA menerajui projek berimpak tinggi dalam memperkukuh tadbir urus, inovasi serta sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi negara menerusi penganjuran MQA Awards 2025.
Beliau berkata kejayaan tersebut membuktikan pendekatan strategik yang dilaksanakan MQA bukan sahaja berkesan dalam memperkukuh tadbir urus organisasi malah mendapat pengiktirafan komuniti antarabangsa.
“Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan MQA, malah menjadi pengiktirafan terhadap keupayaan Malaysia membangunkan sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi yang diyakini serta setanding dengan amalan terbaik dunia.
"Anugerah ini turut memperkukuh reputasi MQA dan negara di persada antarabangsa, di samping menyokong agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara seperti yang sering diuar-uarkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Penyampaian anugerah tersebut berlangsung di Marina Bay Sands Expo & Convention Centre, Singapura.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata anugerah itu turut mencerminkan komitmen berterusan warga MQA dalam memastikan sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi negara kekal relevan, diyakini dan memenuhi amalan terbaik di peringkat global.
Beliau berkata kejayaan berkenaan membuktikan penganjuran MQA Awards bukan sekadar mengiktiraf kecemerlangan institusi pendidikan tinggi, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembudayaan inovasi, pengukuhan tadbir urus dan penambahbaikan berterusan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
Katanya, penganugerahan itu menjadi pembakar semangat kepada MQA untuk terus memacu kecemerlangan sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi negara.