Mediacorp raih 15 anugerah ContentAsia 2026; CNA rangkul 8 anugerah
Kampus Mediacorp di one-north. (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Mediacorp meraih 15 anugerah di Anugerah ContentAsia 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, pada Khamis (27 Ogos), dengan lapan daripadanya dimenangi CNA.
Secara keseluruhannya, Mediacorp membawa pulang enam anugerah emas, lima perak dan empat gangsa merentasi kategori hal ehwal semasa, impak sosial dan alam sekitar, hiburan serta mikrodrama.
IKLAN
CNA, yang merupakan sebahagian daripada Mediacorp, meraih dua anugerah emas, lima perak dan satu gangsa.
Anugerah ContentAsia, yang dinilai oleh para anggota industri, mengiktiraf rancangan yang dihasilkan untuk pasaran di Asia serta penonton serantau dan antarabangsa.
Menurut Mediacorp, pencapaian itu menyerlahkan keupayaannya untuk memenuhi cita rasa penonton tempatan sambil menghasilkan kandungan yang relevan dan menarik merentas pelbagai pasaran.
2 EMAS UNTUK CNA
Antara pemenang emas CNA ialah One “Orphan” Every Hour, yang meraih anugerah Rancangan Hal Ehwal Semasa Terbaik Buatan Asia Untuk Rantau Asia dan/atau Pasaran Antarabangsa.
IKLAN
Rancangan itu meneliti bagaimana hampir 250,000 kanak-kanak Korea Selatan diambil sebagai anak angkat di negara-negara Barat sebagai “anak yatim” dalam tempoh 60 tahun selepas Perang Korea.
Inside the Great ATM Heist pula meraih emas bagi Rancangan Fakta Terbaik Buatan Asia Untuk Pasaran Tunggal Asia.
Rancangan tersebut mengupas kejadian penggodaman mesin ATM bank yang pertama di Taiwan.
CNA turut meraih lima anugerah perak menerusi Undercover Asia S12: Inside the Illegal “Dunki” Route, Insight: Southeast Asia's Scam Empire, Bones of Contention dan Insight: Southeast Asia's Big Problem with Microplastics.
Satu lagi anugerah gangsa diraih menerusi Separation Declassified.
IKLAN
ENAM EMAS KESELURUHAN
Empat lagi anugerah emas Mediacorp diraih menerusi Rail Life Story: Bangladesh bagi Rancangan Hiburan Fakta Terbaik Buatan Asia Untuk Pasaran Tunggal Asia dan Woke Up In The 60s In My Grandma's Apron bagi Siri Mikrodrama Terbaik Buatan Asia.
Chen Liping pula memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik bagi Rancangan/Siri TV Buatan Asia menerusi wataknya sebagai Zhu Niang dalam Emerald Hill – The Little Nyonya Story.
Through Time turut membawa pulang emas bagi Penggunaan Teknologi Terbaik Dalam Penerbitan Kandungan Di Asia.
Emerald Hill – The Little Nyonya Story turut mencatat beberapa kemenangan lain.
IKLAN
Ivory Chia meraih perak bagi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Dalam Rancangan/Siri TV Buatan Asia menerusi wataknya sebagai Xin Niang.
Drama itu sendiri memenangi gangsa bagi Siri Drama Terbaik Buatan Asia Untuk Pasaran Tunggal Asia, manakala Tyler Ten meraih gangsa bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Dalam Rancangan/Siri TV Buatan Asia menerusi wataknya sebagai Bai Ah Li.
Who Did My Ah Ma Kill? pula meraih gangsa bagi Siri Video Terbaik Buatan Asia dalam kategori kandungan bentuk pendek.
Menurut Mediacorp, pencapaian Emerald Hill – The Little Nyonya Story dalam kategori drama dan lakonan menyerlahkan kekuatan penceritaan tempatan serta sumbangan pasukan kreatif, bakat dan rakan penerbitannya.
Kemenangan terbaharu itu menyusuli kejayaan Mediacorp dinobat sebagai Penyiar Terbaik buat dua tahun berturut-turut di World Media Festivals 2026 pada Mei.
Mediacorp menyatakan pencapaian tersebut terus mengukuhkan pengiktirafan serantau dan antarabangsa terhadap kewartawanan yang diyakini serta penceritaan menarik merentasi pelbagai genre dan format.
Mediacorp raih 15 anugerah ContentAsia 2026; CNA rangkul 8 anugerah
Mediacorp meraih 15 anugerah di Anugerah ContentAsia 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, pada Khamis (27 Ogos), dengan lapan daripadanya dimenangi CNA.